Tuesday, August 23, 2011

GCSA TINGKATKAN KESELAMATAN SIBER

PUTRAJAYA 23 Ogos – Majlis Teknologi Maklumat Negara (NITC) bersetuju menubuhkan Pertubuhan Keselamatan Siber Global (GCSA) bagi meningkatkan lagi keupayaan dan kesiapsiagaan keselamatan siber negara.

Mesyuarat tahunan yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di sini hari ini mengumumkan GCSA akan bertindak sebagai platform kepada ahli gabungan untuk berkongsi maklumat mengenai keselamatan siber negara masing-masing.

Pertubuhan itu juga akan memberi tumpuan kepada usaha menghimpunkan bakat dalam kalangan negara ahli dan juga dijadikan platform untuk melatih golongan profesional dalam bidang keselamatan siber.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti), Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili pada sidang akhbar selepas mesyuarat tersebut memberitahu, Malaysia mengetuai gabungan GCSA yang akan dibuka kepada negara ahli Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), Forum Serantau ASEAN dan negara-negara membangun.

‘‘Konsep GCSA itu akan diperhalusi oleh kumpulan pakar E-Kedaulatan yang diterajui oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam tempoh terdekat ini.

‘‘Diharapkan konsep itu dapat diperhalusi oleh MKN dalam tempoh tiga bulan ini sebelum kita buat keputusan yang muktamad,” katanya.

Turut hadir timbalannya, Datuk Fadillah Yusof.

Mesyuarat itu dihadiri 32 ahli NITC yang mewakili kerajaan, swasta dan komuniti serta sembilan kumpulan pakar dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Sebanyak lapan kertas kerja dibincangkan membabitkan tiga keputusan yang perlu diambil tindakan segera dan lima lagi merupakan laporan maklumat daripada setiap kumpulan pakar.

Maximus memberitahu, mesyuarat itu turut bersetuju memberi mandat kepada Prasarana Maklumat Kritikal Negara (CNII) untuk mengutamakan penggunaan produk-produk ICT tempatan yang diberi pensijilan MS ISO/IEC 15408.

‘‘Langkah ini mampu meningkatkan sumber pendapatan negara. Pendapatan Kasar Negara (GNI) yang boleh dijana menjelang 2020 dianggarkan RM3 bilion dan sebanyak 5,000 peluang pekerjaan dijangka diwujudkan,” katanya.

Wednesday, August 10, 2011

PELIHARA KEBEBASAN INSTITUSI KEHAKIMAN



YANG di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin berkenan bergambar bersama Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi selepas majlis angkat sumpah jawatan dan taat setia di Istana Kehakiman, Putrajaya, semalam. Turut hadir, Zaki Tun Azmi (lapan dari kiri). - BERNAMA


PUTRAJAYA 10 Ogos - Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Tun Azmi mengingatkan para hakim agar memelihara kepercayaan yang diberikan masyarakat terhadap badan kehakiman supaya ia terus diyakini sebagai sebuah institusi yang bebas daripada unsur berat sebelah dan ketidakjujuran.

Ketika menegaskan demikian dalam ucapan terakhirnya sebelum bersara bulan depan, beliau menyatakan, para hakim menggalas tugas yang amat berat dalam usaha membuat keputusan berdasarkan fakta dan undang-undang serta tidak memihak.

Ketua Hakim Negara turut menyatakan, keputusan kes juga harus bebas daripada sekatan, pengaruh, sogokan, tekanan, ugutan dan campur tangan daripada mana-mana pihak sama ada secara langsung atau tidak langsung.

Zaki kemudian memetik rencana oleh Sir Thomas Legg bertajuk 'Hakim Alaf Baru' yang tersiar dalam Undang-Undang Awam (Keluaran Musim Bunga 2001) yang menggariskan beberapa kriteria hakim berwibawa.

Ujar beliau, rencana tersebut antara lain menyatakan para hakim tidak sepatutnya mencari populariti ketika mendengar kes kepentingan awam kerana ia perlu diadili berdasarkan undang-undang yang mungkin tidak selari dengan pendapat peribadi.

Ketua Hakim Negara turut menyatakan, rencana itu malah menegaskan bahawa walaupun para hakim melaksanakan tugas mengikut prosedur dengan mengetepikan pandangan semasa, ia tidak menjadikan mereka kebal kepada dakwaan bahawa mereka tidak boleh disentuh.

Zaki berucap pada upacara angkat sumpah jawatan dan taat setia 13 pegawai kehakiman iaitu dua Hakim Mahkamah Persekutuan, dua Hakim Mahkamah Rayuan dan sembilan Hakim Mahkamah Tinggi.

Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Ahmad Maarop, 58, mendahului senarai pelantikan baru itu sebagai hakim Mahkamah Persekutuan. Beliau pernah memegang jawatan Timbalan Pendakwa Raya, Penasihat Undang-Undang Negeri Kelantan dan Pesuruhjaya Penyemak Undang-Undang.

Seorang lagi Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Hasan Lah, 59, turut dinaikkan pangkat sebagai hakim Mahkamah Persekutuan. Beliau pernah berkhidmat sebagai Penasihat Undang-Undang Negeri Kedah dan Penolong Kanan Penggubal Undang-Undang.

Kekosongan jawatan hakim Mahkamah Rayuan itu diisi melalui kenaikan pangkat dua Hakim Mahkamah Tinggi iaitu Datuk Wira Mohtarudin Baki, 58, dan Anantham Kasinather, 63.

Sementara itu, sembilan pesuruhjaya kehakiman turut disahkan jawatan sebagai hakim Mahkamah Tinggi.

Mereka ialah Datuk Noraini Abdul Rahman, Datuk Nor Bee Ariffin, Datin Yeoh Wee Siam, Rhodzariah Bujang, Amelia Tee Hong Geok Abdullah, Datuk Has Zanah Mehat, Dr. Prasad Sandosham Abraham, Varghese George Varughese dan Mah Weng Kwai.

Tuesday, August 9, 2011

MISI UNAMID KE DARFUR


KUALA LUMPUR 9 Ogos - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menghantar semula pegawai dan anggotanya menyertai misi keamanan Kesatuan Afrika-Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unamid) ke Darfur, Sudan setelah tujuh bulan ketiadaan anggota pasukan keselamatan itu di negara berkenaan.

Timbalan Pengarah Pengurusan (Latihan), Bahagian Latihan, Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk Abd. Rahim Hanafi berkata, pada tahun lalu, PDRM telah menghantar 17 pegawai dan anggota menyertai Unamid, namun semua mereka selamat pulang ke tanah air pada Januari lalu iaitu selepas setahun bertugas di wilayah bergolak itu.

Beliau berkata, pasukan yang pulang sebelum ini akan diganti oleh 17 pegawai dan anggota PDRM lain yang turut akan bertugas selama setahun di negara tersebut.

"Seramai 17 pegawai dan anggota terbabit berlepas ke Sudan menaiki pesawat Qatar Airlines dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 10 pagi ini.

"Pasukan yang terdiri daripada tujuh pegawai dan 10 anggota itu diketuai oleh Deputi Supritendan Munsang Sabai yang sebelum ini bertugas di Pasukan Gerakan Marin, Kota Kinabalu, Sabah," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Abd. Rahim sebelum itu, turut hadir di KLIA untuk mengucapkan selamat jalan, di samping memberi kata-kata nasihat dan semangat kepada kumpulan berkenaan.

Menurut Abd. Rahim, penghantaran pasukan pengganti ke Darfur menghadapi sedikit kelewatan kerana perlu menunggu kelulusan visa dari pejabat kerajaan Sudan di Khartoum.

Beliau berkata, meskipun berlepas dan bertugas ke Darfur pada bulan Ramadan, ia tidak memberi masalah kepada para pegawai dan anggota terlibat khususnya yang beragama Islam kerana mereka sudah membuat persediaan untuk menyertai misi berkenaan.

"Sebelum berlepas ke Darfur, mereka terlebih dahulu menjalani latihan sebagai persediaan kira-kira tiga minggu di Pusat Latihan Pasukan Gerakan Am (PGA), Ulu Kinta di Perak.

"Saya yakin latihan tersebut mampu membantu mereka menjalankan tugas dengan baik semasa berada di Darfur nanti," katanya.

Beliau memberitahu, kehadiran anggota PDRM memang diperlukan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di wilayah yang bergolak itu.

Menurutnya, kelebihan pegawai dan anggota PDRM ialah mereka berasal dari Malaysia yang rakyatnya terdiri daripada pelbagai kaum.

"Pengalaman itu amat diperlukan untuk jalankan tugas sebagai penasihat kepada pihak keselamatan di negara yang penduduknya majoriti beragama Islam tetapi mempunyai konflik antara etnik," katanya.

Monday, August 8, 2011

ELAKKAN AKTIVITI KETENTERAAN


KUALA LUMPUR 8 Ogos - Malaysia menggesa negara-negara yang terlibat dalam tuntutan ke atas wilayah maritim di Laut China Selatan menyelesaikan isu itu melalui kaedah diplomatik dan bukannya secara ketenteraan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, negara berkenaan khususnya China yang bertindak menempatkan pasukan keselamatan di wilayah berkenaan perlu melihat bahawa penyelesaian diplomatik mampu memastikan segala tuntutan berlangsung dengan aman.

Atas dasar itu, menurutnya, Malaysia serta negara-negara yang akan menyertai Persidangan Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN di Bali, Indonesia pada Oktober ini perlu menjadikan persidangan itu sebagai platform dalam mencari kaedah penyelesaian terbaik termasuk menolak aktiviti ketenteraan.

''Kerajaan juga yakin bahawa cadangan kita untuk mewujudkan jentera kegunaan khas (SPV) sebagai organisasi perniagaan dalam berkongsi sumber alam di Laut China Selatan dapat direalisasikan dengan mencadangkan agar diadakan perbincangan pelbagai hala, bukan dua hala.

''Segala sumber alam yang ada termasuk hidrokarbon yang dijangka berjumlah 300 bilion tong serta 600 bilion meter kubik gas asli dapat dimanfaatkan oleh masyarakat serantau dan bukan jadi kawasan konflik.

''Perkara-perkara ini akan kita bincangkan dalam persidangan itu melalui perspektif ketenteraan kerana ia membabitkan kapal-kapal tentera laut yang terlibat dengan operasi di kawasan yang menjadi tuntutan bertindih,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menerima kunjungan hormat 10 Duta Besar dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia yang baru di Wisma Pertahanan di sini, hari ini.

Ahmad Zahid berkata, pihaknya tidak terkecuali memantau pergerakan ketenteraan negara-negara yang terlibat dalam tuntutan wilayah maritim terutamanya kepulauan Spratly yang menjadi pertikaian Brunei, China, Filipina, Taiwan, Vietnam termasuk Malaysia.

''Ini lebih-lebih lagi dengan tindakan China yang memperlihatkan keberadaan mereka (tentera) di sana. Kita yakin China tak akan melakukan pencerobohan dan diharap agar tidak berlaku tindak balas terhadap tindakan China itu,'' jelasnya.

KEMENTERIAN KEWANGAN BANTAH BELI TANAH PKFZ


Oleh Ahmad Johari Mohd Ali

2011/08/09

Peguam Negara dirujuk urus niaga di Pulau Indah

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi diberitahu semalam, arahan Kabinet berhubung proses pembelian tanah seluas 404.6 hektar di Lot 67894 di Pulau Indah, Klang bagi projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) ditangguhkan berikutan mendapat bantahan daripada Perbendaharaan, Kementerian Kewangan.

Bekas Timbalan Ketua Setiausaha Perancangan, Kementerian Pengangkutan, Datuk Abdul Rahman Mohd Noor, berkata, keputusan Kabinet melalui mesyuarat pada 2 Oktober 2002 dibantah Kementerian Kewangan kerana ia mahukan tanah berkenaan diperoleh melalui proses pengambilan balik oleh kerajaan.
Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah pada sesi pemeriksaan utama sama ada bantahan Kementerian Kewangan itu mendapat sokongan daripada mana-mana pihak, Abdul Rahman berkata: “Kementerian Kewangan meminta pandangan daripada Jabatan Peguam Negara.”

Monday, August 1, 2011

AGENSI INOVASI MALAYSIA


PETALING JAYA, 11 Feb -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jumaat berkata "Agensi Inovasi Malaysia" tidak akan dibentuk menjadi satu jabatana kerajaan tetapi akan menjadi satu pertubuhan bebas yang berorientasikan mesra perniagaan.

Najib berkata agensi itu akan mengambil warga kerja yang berpengalaman di dalam sektor awam dan korporat.

"Kita akan mengambil warga kerja dari sektor swasta serta yang berpengalaman kerja di dalam sektor korporat, malah sesetengah daripada mereka kemungkinan berpengalaman kerja di dalam Industri Kecil dan Sederhana (IKS). apabila kita adun mereka, kita akan dapat satu jentera yang memahami masalah yang dihadapi oleh komuniti perniagaan yang termasuk IKS.

"Saya ingin menekankan perkara ini bagi memastikan anda bahawa pertubuhan baharu itu akan menjadi mesra perniagaan di mana ia akan dianggotai oleh warga kerja yang mempunyai pengalaman kerja di dalam sektor perniagaan sebelum menyertai pertubuhan itu," katanya.

Najib berkata demikian semasa sesi soal jawab di Rumah Terbuka Tahun Baru Cina dan taklimat mengenai "Agensi Inovasi Malaysia" anjuran IKS Malaysia di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sungai Way di sini pada Jumaat.

Semasa berucap sebelum itu, Najib berkata kesemua aktiviti inovasi akan dipusatkan di bawah satu Badan Berkanun yang dinamakan "Agensi Inovasi Malaysia."

Katanya satu Rang Undang-Undang bernama "Akta Agensi Inovasi Malaysia 2010" yang dilukuskan oleh kedua-dua Dewan Rakyat dan Dewan Negara, menjadi permulaan kepada penubuhan Agensi Inovasi Malaysia.

Najib juga berkata kerajaan sedang di dalam proses menderaf Dasar Inovasi Negara yang akan menyediakan kerangka bagi kerajaan untuk menjadi lebih responsif dan memudahkan garis panduan bagi keperluan inovasi anda.

"Kami sedang mengkaji ekosistem inovasi di negara ini, untuk melakukan perubahan yang diperlukan supaya Malaysia boleh menjadi satu negara berinovasi," katanya.

Perdana Menteri berkata Malaysia memerlukan penyertaan aktif dari IKS di dalam sektor swasta yang melaksanakan inovasi.

"Kerajaan boleh menyediakan ruang dan usaha yang memudahkan tetapi akhirnya andalah yang perlu melakukan pelaksanaannya. Andalah yang perlu mencapaikan kejayaan daripada usaha yang dilakukan dan membawa pulang hasil perolehannya," katanya.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Maximus Ongkili mengemukakan Rang Undang-undang Inovasi Malaysia 2010 pada Disember tahun lepas yang bertujuan menubuhkan agensi berkenaan yang akan mempunyai kuasa untuk merangsang dan membangunkan ekosistem inovasi di Malaysia ke arah mencapai Wawasan 2020.

Fungsi agensi itu antara lain adalah untuk merumuskan dasar, strategi dan haluan negara berhubung dengan inovasi, menggalak dan memudahkan aktiviti dan inisiatif pelaburan oleh sektor awam dan swasta berhubung dengan inovasi, menggalakkan lagi budaya inovasi dalam sektor awam, swasta dan pendidikan di Malaysia serta menasihati kerajaan dalam perkara berkaitan inovasi.

Agensi Inovasi Malaysia akan diuruskan oleh suatu Majlis Tadbir Urus yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri. Ia dianggotai oleh Menteri yang bertanggung jawab bagi sains, teknologi dan inovasi, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Pengajian Tinggi, Kewangan, Menteri yang bertanggung jawab bagi Unit Perancang Ekonomi, seorang Ketua Pegawai Eksekutif selain sepuluh anggota lain yang berkelayakan.

Rang undang-undang itu turut mengadakan peruntukan mengenai penubuhan khazanah pusat harta intelek negara dan peruntukan mengenai kuasa agensi untuk memperoleh apa-apa harta intelek daripada apa-apa dapatan penyelidikan atau projek yang dibiayai sepenuhnya atau sebahagiannya oleh Kerajaan, dan mana-mana badan atau organisasi atau harta intelek milik persendirian dengan melalui perjanjian.

Kesemua harta intelek yang diperolehi itu hendaklah kemudiannya didaftarkan dalam khazanah pusat harta intelek negara.

-- BERNAMA

AIM GARIS 3 KETETAPAN TRANSFORMASI MALAYSIA


najib.d

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak yang mempengerusikan mesyuarat pertama Majlis Tadbir Urus Agensi Inovasi Malaysia (AIM) semalam, menggariskan tiga ketetapan dalam proses transformasi Malaysia menjadi negara inovasi untuk




merealisasikan kekayaan harta intelek nasional dan menjana pendapatan rakyat.





Perdana Menteri berkata, ketetapan pertama ialah menggabungkan pendekatan bagi membina sebuah ekosistem yang boleh mendukung hasrat kerajaan menjadi-kan Malaysia negara inovasi. Ini bererti, Malaysia akan melihat pembangunan modal insan, khususnya suntikan pemikiran lebih inovatif dan kritikal dalam sistem pendidikan negara, terutama dari segi kemahiran berfikir dan sebagainya. Kedua, dana yang boleh mendukung usaha inovasi yang boleh negara jalankan dalam negara seperti memperbanyakkan penyertaan ekuiti modal swasta.






Katanya pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Tadbir Urus AIM semalam, ketetapan ketiga pula menggabungkan pendekatan menentukan hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang boleh negara komersialkan, umpamanya harta intelek milik universiti yang kini ada sekitar 1,000 penemuan.







Majlis 16 anggota diterajui Perdana Menteri itu boleh diumpamakan barisan lembaga pengarah yang memberi pandangan dan terbabit dalam pelaksanaan inisiatif AIM, yang ditubuhkan mengikut Akta AIM 2010. Setakat ini, 113 projek berpotensi komersial sudah dikenal pasti dengan 49 sedang diproses melalui makmal pengkomersialan, manakala sehingga Jumaat lalu, 19 projek sudah mencapai tahap memeterai perjanjian komersial.







Najib berkata, AIM akan menilai berapa banyak daripada kira-kira 1,000 penemuan harta intelek oleh universiti tempatan itu dapat diterjemahkan dalam projek yang boleh dikomersialkan. Katanya, mesyuarat pertama Majlis Tadbir Urus AIM turut merumus untuk menggabungkan pendekatan berdasarkan pembangunan ekosistem inovasi yang menekankan projek berasaskan hasil.






Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif, Unit Inovasi Khas di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Kamal Jit Singh, berkata mesyuarat Majlis Tadbir Urus AIM semalam membincangkan draf dasar pelaksanaan transformasi Malaysia menjadi negara inovasi.






Beliau yang turut menganggotai majlis terbabit, berkata draf dasar itu selari dengan Pelan Transformasi Kerajaan (GTP) dan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10). Mereka mendapat persetujuan Majlis Tadbir Urus AIM bahawa draf ini berada di landasan sepatutnya dan haluannya betul. Sekarang pihaknya mahu membawa pelan ini kepada masyarakat akar umbi untuk mendapat maklum balas sebelum dikemukakan kepada Kabinet untuk kelulusan.






Katanya, cara mereka menggubal dasar ini agak berbeza, mereka tidak guna pakar perunding luar atau syarikat perunding, sebaliknya menggubal dasar ini berdasarkan pendapat pakar tempatan dalam bidang tertentu seperti pendidikan, pelbagai industri, kerajaan dan sebagainya.







Katanya lagi, pihaknya menghabiskan kira-kira 2,500 jam masa rundingan bagi menyiapkan draf ini dan memerlukan kira-kira tiga bulan untuk mendapatkan maklum balas orang ramai bagaimana dasar ini dapat mengubah kehidupan mereka seperti sepatutnya berlaku.















Berita disunting daripada sumber : Berita Harian

TIGA LAGI GLC KE BURSA MALAYSIA


bursaTIGA lagi syarikat milik kerajaan akan disenaraikan di Bursa Malaysia sebelum akhir tahun depan.

Ia adalah antara langkah yang akan diambil kerajaan dalam pelaksanaan Inisiatif Pembaharuan Strategik (SRI) yang dilancarkan semalam.

SRI adalah hasil daripada cadangan Program Transformasi Ekonomi yang antara lain menyarankan kerajaan menyusun semula pembabitannya dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bertujuan meningkatkan lagi kecairan di pasaran saham tempatan, selain memperbaiki kedudukan fiskalnya.

Penyusunan itu juga bermatlamat menyediakan lebih banyak peluang untuk pelabur tempatan dan antarabangsa meraih manfaat daripada pelaburan dalam syarikat berkenaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Ketua Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU), Datuk Seri Idris Jala, berkata dalam usaha menyusun semula pembabitan kerajaan dalam GLC di bawah SRI itu, sejumlah 33 GLC dikenal pasti.

Beliau berkata, Kerajaan akan mempercepatkan pengurangan atau pelupusan pegangannya dalam 33 GLC berkenaan. Bagi tujuan itu, tiga opsyen akan digunakan iaitu mengurangkan kepentingan, penyenaraian atau penjualan secara terus pegangan ekuiti kerajaan kepada pembida yang layak.

Katanya pada sidang media selepas pelancaran SRI di Kuala Lumpur semalam.

Idris berkata, daripada 33 GLC yang sudah dikenal pasti itu, lima akan menyaksikan pengurangan pegangannya oleh kerajaan, tujuh syarikat pula akan disenaraikan, manakala 21 lagi akan dijual secara terus menerusi proses bidaan.

Sebanyak 24 daripada syarikat itu akan menjalani proses yang sudah dikenal pasti untuk mereka itu sebelum akhir tahun depan.

Beliau menambah, MSM Malaysia Holdings Bhd yang senaraikan baru-baru ini adalah empat daripada tujuh syarikat yang dikenal pasti untuk penyenaraian, dengan tiga lagi akan disenaraikan sebelum akhir 2012.

Idris menjelaskan, bagi memudahkan setiap proses pengurangan pegangan kerajaan dalam GLC yang terbabit, kerajaan akan menetapkan paras harga sasaran minimum dan maksimum.

Paras harga ini akan ditetapkan dalam setiap proses pelupusan atau pengurangan kepentingan kerajaan dalam GLC berkenaan.

Idris berkata, ketika ini syarikat yang sudah dikenal pasti itu berada dalam pelbagai peringkat persiapan untuk pengurangan pegangannya oleh kerajaan. Disebabkan setiap syarikat berada dalam situasi berbeza, pengumuman akan dibuat dalam tempoh tertentu oleh pihak pengurusan masing-masing.

Idris berkata, hasil yang diraih kerajaan daripada pengurangan atau pelupusan pegangan dalam GLC berkenaan akan disalurkan ke dalam Akaun Pelepasan Hak Kerajaan Persekutuan atau Akaun Negeri bagi kegunaan tertentu.

Antara lain hasil itu akan digunakan untuk tujuan menampung defisit negara, melabur dalam dana sedia ada, serta untuk kegunaan dana pemudah cara untuk perniagaan.

Berita disunting daripada Berita Harian

PELAN STRATEGIK 10 TAHUN ASEAN


logo-asean

ASEAN dan sumber pelaburan langsung asing (FDI) utamanya, Jepun sedang menimbang untuk membentuk pelan strategik 10 tahun bagi menjadikan rantau ini pusat pengeluaran global yang boleh menyaingi China dan India.


Pelan strategik itu sebaik dibentuk akan menangani aliran rentas perdagangan dan pelaburan dari Jepun ke Asean dan sebaliknya, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Katanya pada sesi dialog dua hari Menteri-Menteri Ekonomi Asean, Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri Jepun (METI) dan Persekutuan Dewan Perniagaan dan Industri Jepun di Asean (FJCCIA), yang dihadiri 250 delegasi, mesyuarat bersetuju membangunkan lagi cadangan membentuk pelan strategik 10 tahun untuk menjadikan Asean lebih menarik bagi perdagangan dan pelaburan.


FJCCIA mewakili 4,441 perusahaan anggota di rantau ini. Antara yang hadir pada dialog itu ialah Menteri Perdagangan Indonesia, Dr Mari Elka Pangestu yang mempengerusikan sesi dialog berkenaan dan Banri Kaieda dari METI.

Pelaburan Jepun di Asean berjumlah AS$5.2 bilion pada 2009.

Jepun kekal sebagai sumber pelaburan penting dengan 13.4 peratus bahagian jumlah pelaburan ke Asean pada tahun berkenaan.

Mustapa berkata, hala tuju baru bagi pelan itu akan menimbang bahagian seperti alam sekitar, tenaga, jaminan makanan, ekonomi hijau, tenaga boleh diperbaharui, perusahaan kecil dan sederhana dan saling hubungan yang akan melengkapkan Perjanjian Perkongsian Ekonomi. Untuk bekerjasama dalam bahagian ini, kita memerlukan pelan strategik.

Antara lainnya, Asean dan Jepun akan bekerjasama menerusi perkongsian sektor awam-swasta bagi meningkatkan produktiviti perkumpulan 10 anggota itu dan daya saing.

Malaysia khususnya, akan bekerjasama dengan negara anggota Asean lain bagi memenuhi pelbagai isu pelaksanaan untuk mewujudkan pasaran serantau dan pangkalan pengeluaran dengan halangan minimum.

Inisiatif ini akan diambil kira dalam semakan Pelan Tindakan Komuniti Ekonomi Asean (AEC), kata Mustapa.

Beliau berkata, amat penting bagi Asean untuk menyelaraskan pelbagai peraturan di bawah perjanjian Asean+1 yang dimeterai dengan China, Jepun, Korea India, Australia dan New Zealand.

Katanya usaha sedang dibuat menerusi empat kumpulan kerja, iaitu bagi peraturan tempasal, prosedur kastam, sistem penamaan tarif dan kerjasama ekonomi.

Beliau menegaskan, usaha juga perlu dipercepatkan bagi menghapuskan halangan bukan tarif yang menyekat aliran bebas perdagangan dalam Asean dan Jepun, termasuk negara Asia Timur lain.


Berita disunting daripada sumber : Berita Harian

CHINA TIADA ALASAN KUAT TUNTUT SPRATLY


bantahan

MANILA: Filipina menyifatkan keengganan China untuk membenarkan sebuah tribunal tajaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memutuskan penyelesaian isu tuntutan wilayah di Laut China Selatan menunjukkan tuntutan Beijing adalah berasaskan undang-undang lemah.


Bagaimanapun, China sekali lagi menegaskan bahawa ia tetap dengan pendirian bahawa ia sepatutnya diselesaikan secara dua hala iaitu antara pihak yang membuat tuntutan.


China dan Filipina mempunyai tuntutan bertindih ke atas sebahagian Laut China Selatan yang dipercayai menyimpan banyak sumber gas dan minyak, bersama Vietnam, Brunei, Malaysia dan Taiwan.

Setiausaha Luar Filipina, Albert del Rosario mengadakan mesyuarat bersama pegawai kanan di Beijing minggu lalu sebelum isu itu dirujuk kepada tribunal PBB namun China menolak cadangan itu kelmarin.

kata Del Rosario dalam kenyataan ringkas sikap China teragak-agak menerima cadangan Filipina boleh menjurus kepada kesimpulan bahawa Beijing mungkin tidak berupaya mengesahkan kedudukan yang dinyatakan menurut Konvensyen Undang-undang Laut PBB.

Filipina mahu pertelingkahan itu dihadapkan ke Tribunal Antarabangsa bagi Undang-Undang Laut, satu badan perundangan bebas yang ditubuhkan oleh konvensyen PBB pada 1982 bagi menguruskan hal sebegitu.

Filipina dan Vietnam sejak beberapa bulan kebelakangan ini menuduh China mengambil tindakan agresif bertambah dalam menguatkan tuntutannya ke atas perairan bertelingkah, termasuk satu insiden di mana China didakwa melepaskan tembakan ke arah nelayan Filipina.

Tuntutan China meliputi satu kawasan berbentuk U seluas 1.7 kilometer persegi (648,000 meter persegi) termasuk Kepulauan Spratly dan Paracel.

Menjawab pandangan del Rosario, jurucakap Kementerian Luar China, Hong Lei, berkata pendirian China konsisten dan jelas. Pertikaian Laut China Selatan sepatutnya diselesaikan menerusi rundingan terus di kalangan pihak yang menuntut mengikut undang-undang antarabangsa.

Tentera China mengkritik keras tindakan tentera Amerika Syarikat pada Isnin lalu kerana mengadakan latihan di perairan yang meliputi tuntutan Beijing dan memberi amaran supaya Washington tidak campur tangan.

Ketika melawat China, Ahad lalu, pemimpin kanan tentera laut Amerika, Laksamana Mike Mullen, berkata Amerika komited untuk mengekalkan kehadirannya di rantau Asia dan menggesa isu itu diselesaikan secara aman.

China menekankan pendiriannya untuk merundingkan pertikaian itu dengan setiap negara lain yang menuntut kawasan berkenaan, strategi yang dianggap sebagai ‘pecah dan perintah’ oleh sesetengah pihak.


Sumber disunting daripada sumber : Berita Harian

FOKUS PERKHIDMATAN SYARIAH


najib_syariah


DATUK Seri Najib Razak berkata, Malaysia akan mengukuhkan prasarana industri pengurusan dana Islam dengan menyediakan kemudahan aliran rentas sempadan untuk produk dan perkhidmatan kewangan Islam serta meningkatkan pertumbuhan bidang aktiviti bernilai tinggi.

Perdana Menteri berkata, untuk itu kerajaan akan memberi fokus kepada perkhidmatan berasaskan syariah dan bukan sekadar patuh kepada perkhidmatan berkenaan dalam usaha menarik modal insan berkemahiran tinggi.
Sehubungan itu, beliau mengajak industri pengurusan dana United Kingdom (UK) membantu membina industri pengurusan dana Islam sejajar dengan peningkatan pengurusan pelaburan Islam global hari ini. Kita mengalu-alukan peluang untuk bekerjasama dengan masyarakat pengurusan dana global. Bagi industri pengurusan pelaburan Islam, ia membabitkan terjemahan konsep seperti perkongsian risiko dan tanggungjawab sosial serta etika pelaburan dalam operasi komersial.

Perdana Menteri menjelaskan Malaysia mempunyai ekonomi yang luas dan pelbagai untuk membina pasaran modal dan sejak sekian lama, syarikat kecil dan sederhana dalam industri pertanian, sumber asli, perkilangan dan perkhidmatan menyediakan banyak peluang menarik untuk pelaburan jangka panjang. Katanya, dalam tempoh 10 tahun, 241 syarikat awam berhad (PLC) mencapai pertumbuhan modal pasaran lebih 10 peratus setiap tahun.
Najib juga berkata, Malaysia adalah ‘rumah’ kepada perbankan Islam dan pasaran kewangan dunia serta sebuah negara pasaran modal paling komprehensif di Asia, selain pasaran ekuiti dan sekuriti kerajaan berbanding 10 tahun lalu. Hari ini gabungan pasaran ekuiti dan hutang meningkat daripada AS$240 bilion pada 2000 kepada AS$667 bilion pada 2010 dan dijangka meningkat tiga kali ganda antara AS$1.5 trilion dan AS$1.9 trilion pada 2020.

Najib berada di sini dalam rangka lawatan lima hari yang turut disertai Datin Seri Rosmah Mansor. Beliau juga berucap pada majlis sambutan oleh Datuk Bandar London, Alderman Michael Bear di Manson House. Selain itu, Najib melawat Stesen Keretapi Antarabangsa St Pancras, disambut oleh Setiausaha Negara bagi Pengangkutan, Philip Hammond serta perbincangan meja bulat dengan syarikat kereta api UK yang memberi fokus kepada pembinaan dan kemajuan kereta api.

Najib kemudian menemui Setiausaha Negara Bagi Hal Ehwal Luar dan Komanwel, William Hague. Beliau dan isteri juga menghadap Ratu Elizabeth di Istana Buckingham, sebelum mengadakan pertemuan dua hala dengan Perdana Menteri David Cameron di No 10, Downing Street.

Ketika berucap di Manson House, Perdana Menteri meyakinkan pelabur UK bahawa Model Baru Ekonomi (MBE) akan meningkatkan peranan sektor swasta dan menjadikan Malaysia sebagai tempat menarik pelabur global.

Beliau berkata kerajaan akan berusaha mengetepikan halangan kepada pelabur, sebaliknya meningkatkan insentif dan mewujudkan persaingan serta memperbaiki persekitaran perniagaan, tetapi paling penting mengimbangi peranan sektor awam dan swasta kerana dalam dunia moden, peranan kerajaan adalah untuk menyokong perniagaan dan bukan menyusahkan.

Sementara itu, pada majlis perbincangan antara kedua-dua pemimpin, Malaysia dan UK turut memeterai memorandum persefahaman (MoU) yang bermatlamat membanteras jenayah merentas sempadan.

Malaysia diwakili Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, manakala UK diwakili Setiausaha Kementerian Luarnya, Teresa May.

Perdana Menteri turut menghadiri majlis jamuan petang yang dihoskan Hague.
Disunting Daripada Berita Harian

73 MAJIKAN MENGAKU GAJI 63,561 PEKERJA HARAM


pati

PENAMPANG: Program 5P – Pendaftaran, Pengampunan, Pemantauan, Penguatkuasaan dan Pengusiran – membabitkan pendatang tanpa izin dan pekerja asing tanpa permit di Sabah yang bermula semalam,



mencatat permulaan meyakinkan dengan 73 majikan mengakui menggaji 63,561 pekerja secara haram.

Bermula sebulan lebih awal berbanding negeri lain, kebanyakan pekerja terbabit didaftar bekerja di ladang. Pengarah Imigresen Sabah, Mohammad Mentek, berkata ada majikan membuat pengakuan 4,000 daripada 11,000 pekerja asing di ladang mereka adalah pendatang tanpa izin. Mereka mengatur temu janji khusus bagi majikan utama untuk mendaftar pekerja asing yang tidak memiliki dokumen sah, minggu depan.Beliau berkataketika ditemui di Dewan Masyarakat Tun Fuad.

Program pendaftaran selama dua minggu itu dilaksanakan di sembilan lokasi di seluruh negeri merangkumi Dewan Masyarakat Tun Fuad Penampang, Dewan Tun Mustapha Kudat, Dewan Serbaguna Ranau, Dewan Masyarakat Sibuga Sandakan, Dewan Masyarakat Sipitang, Dewan Sri Inabah Semporna, Dewan Masyarakat Keningau dan Dewan Perdana Lahad Datu. Masa pendaftaran bermula jam 8 pagi hingga 5 petang, Isnin hingga Jumaat, manakala Sabtu dan Ahad dari jam 8 pagi hingga 1 petang.

Mohammad berkata, program pendaftaran berjalan lancar dan pihaknya yakin sembilan pusat yang dibuka di seluruh negeri berupaya mendaftar sehingga 500 permohonan pada hari pertama. Bagaimanapun, bilangan berkenaan dijangka berkurangan menjelang berakhirnya program berkenaan dalam tempoh dua minggu.

Proses pendaftaran membabitkan pengambilan profil warga, gambar dan cap jari pendatang tanpa izin terbabit bagi rekod pangkalan data biometrik kebangsaan.

Warga asing yang dikategori sebagai pendatang tanpa izin adalah mereka yang memasuki Malaysia secara haram, tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan, mereka yang melanggar syarat permit kerja dan yang memiliki pasport tidak sah.

Berita Disunting Daripada Sumber : Berita Harian

KEBEBASAN BADAN KEHAKIMAN DILINDUNGI


cmja

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata Malaysia komited untuk melindungi dan memastikan kebebasan berterusan badan kehakiman di negara ini kerana ia adalah komponen utama dalam

sistem demokrasi dan antara faktor penting bagi pencapaian negara.




Perdana Menteri berkata, badan kehakiman di Malaysia banyak mengalami perubahan sejak merdeka dan pembaharuan sistem itu pada masa depan penting untuk memastikan ekonomi negara mengalami pertumbuhan berterusan selain melindungi kebebasan sivil penduduknya.


Katanya ketika merasmikan Persidangan Majistret dan Hakim Komanwel 2011, tiga dekad pertama selepas kemerdekaan, badan kehakiman bebas daripada pergolakan, tetapi pada penghujung 1980-an menyaksikan perubahan besar dan dilanda kontroversi serta menerima banyak kritikan.

Kemerosotan keyakinan awam terhadap badan kehakiman menyebabkan langkah segera diambil untuk memperkukuhkan dan melindungi kebebasan badan kehakiman.

Teks ucapan Najib dibacakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz. Turut hadir, Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Tun Azmi. Seramai 320 peserta dari 32 negara Komanwel menyertai persidangan empat hari itu.

Najib berkata, selain itu, akauntabiliti badan kehakiman banyak membantu membina keyakinan dalam sistem perundangan dan pengamal undang-undang.

Beliau berkata, memantapkan badan kehakiman sebagai sebuah institusi adalah satu proses berterusan terutama di Malaysia yang penduduknya terdiri daripada pelbagai kaum.

Katanya amat penting bagi mahkamah memenuhi keperluan setiap rakyat dengan melakukan penambahbaikan dan meningkatkan akses kepada keadilan. Justeru, Malaysia sudah melakukan pelbagai pembaharuan komprehensif yang dapat meningkatkan tahap efisien mahkamah secara drastik.

Sementara itu, beliau berkata, persidangan itu dapat meningkatkan persefahaman dan pertukaran pandangan antara pengamal undang-undang dalam negara Komanwel.


Berita disunting daripada sumber : Berita Harian

PKS SERTAI TERAS DIUMUM OKTOBER


teras

KUMPULAN pertama 1,100 syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Bumiputera yang dipilih menyertai program PKS Bumiputera Berprestasi Tinggi (TERAS) di bawah Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) akan diumumkan Oktober ini.

Program TERAS, satu daripada elemen di bawah inisiatif pembaharuan strategik (SRI) model ekonomi baru itu bermatlamat membangunkan generasi usahawan Bumiputera berkelas dunia dalam semua 12 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA).

Menerusi program itu, kerajaan mahu mengubah syarikat Bumiputera terbabit menjadi kumpulan syarikat besar serta berdaya maju dan dapat menyumbang sehingga 20 peratus kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) menjelang 2020.

Ketua Eksekutif TERAJU, Husni Salleh, berkata 1,100 syarikat PKS Bumiputera yang terdiri daripada 100 bersaiz sederhana dan 1,000 bersaiz mikro akan dipilih berdasarkan beberapa kriteria jelas menerusi proses terbuka dan telus.

Proses pemilihan akan dipantau juruaudit yang dilantik berdasarkan beberapa kelas kriteria yang ditetapkan, katanya pada sidang media selepas pelancaran program TERAS di Kuala Lumpur, semalam.


Pelancarannya disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Hadir sama, Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd, Tan Sri Azman Mokhtar dan Ketua Eksekutif SME Corporation Malaysia, Datuk Hafsah Hashim.

Peserta program TERAS akan meraih manfaat menerusi peluang disediakan dalam jalinan rangkaian dan perkhidmatan profesional serta rundingan perniagaan dari segi pengurusan kewangan, rancangan perniagaan, struktur korporat dan pemasaran.

Ini disediakan menerusi kerjasama TERAJU dengan enam agensi lain iaitu Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB), Majlis Amanah Rakyat (MARA), Malaysian Venture Capital Management Bhd (MAVCAP), Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC), PROKHAS dan SME Bank.

Husni berkata, pemilihan PKS Bumiputera untuk program TERAS akan dinilai menerusi beberapa syarat antaranya syarikat berkenaan tidak hanya bergantung kepada kontrak kerajaan, memiliki penarafan minimum tiga bintang Rating Daya Saing PKS (SCORE) serta mempunyai kedudukan kredit yang baik menerusi penilaian Biro Kredit Malaysia.

Tambahnya, syarikat terbabit juga perlu menunjukkan potensi untuk menjadi sebuah entiti perniagaan yang menguntungkan dan boleh berkembang.

Beliau menegaskan, pemilihan PKS Bumiputera ke dalam program itu akan dibuat Lembaga Pemilihan yang dipengerusikan TERAJU yang mana sebuah firma audit bebas akan dilantik untuk mengawasi keseluruhan proses pemilihan.

Berita disunting daripada Berita Harian

MALAYSIA HAB MINUMAN BERKARBONAT


gas

ASAHI Group Holdings Ltd, iaitu pengeluar minuman ringan terbesar Jepun akan menjadikan Malaysia sebagai hab bagi perniagaannya di Asia Tenggara susulan pengambilalihan 100 peratus kepentingan dalam Permanis Sdn Bhd.

Syarikat itu semalam memeterai perjanjian dengan CI Holdings Bhd bagi membeli Permanis, yang kini adalah pengeluar minuman berkarbonat kedua terbesar di negara ini dengan jenama utama Pepsi dan 7-up pada harga RM820 juta.

Pengambilalihan itui membolehkan syarikat bertapak dalam pasaran minuman berkarbonat Malaysia dan kemudian menggunakannya sebagai pusat bagi peluasan perniagaan ke rantau Asia Tenggara, kata Asahi Group dalam kenyataannya kepada Singapore Stock Exchange semalam.

Syarikat itu berkata, pengambilalihan itu juga sejajar visi jangka panjangnya untuk meningkatkan jualan kepada sehingga 2.5 trilion yen dan meningkatkan penguasaan pasaran antarabangsanya kepada 20-30 peratus.

Katanya, pengambilalihan itu juga akan membantu syarikat itu menjadi antara pengeluar makanan terkenal dunia.

Berita disunting daripada Berita Harian

STRATEGI WUJUD PENDIDIKAN PERUBATAN BERTARAF DUNIA SEDANG DIRUMUSKAN


doktormalaysia

KUALA LUMPUR : Kementerian Pengajian Tinggi sedang merumuskan strategi untuk mewujudkan sistem pendidikan perubatan bertaraf dunia dan mapan di negara ini berikutan kerajaan menyasarkan nisbah seorang doktor bagi 400



penduduk menjelang 2020.







Pengarah Bahagian Pengurusan Pembangunan Akademik, Prof Dr Zarida Hambali berkata antara strategi itu ialah melakukan pembaharuan terhadap fakulti perubatan dan kolej kejururawatan. Juga perlu diselaraskan penemuan-penemuan penyelidikan untuk dijadikan amalan perubatan. Pendekatan pedagogi perubatan sedang disemak semula dan dipantau secara berkala, katanya pada Persidangan Kebangsaan Mengenai Pentakrifan dan Pembaharuan Pendidikan Perubatan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari Khamis.







Dr Zaridah berkata juga akan dilakukan penyesuaian dan adaptasi model barat untuk dipadankan dengan konteks tempatan di mana pendekatan Masalah-Berasaskan- Pembelajaran (PBL) patut diselaraskan dalam pengalaman pengajaran-pembelajaran.




Menurutnya, ini akan membawa kepada perubahan besar dalam kemahiran mengesan masalah dan penyelesaian masalah di kalangan penuntut. Amat penting bagi penuntut perubatan untuk tidak lagi menjadi pelajar pasif tetapi perlu beralih kepada kaedah pembelajaran berasaskan inisiatif sendiri.







Katanya dalam tempoh lima tahun lepas, terdapat peningkatan 20 peratus dalam output graduan-doktor dan lebih 4,000 doktor baru diberikan lesen setiap tahun.










Persidangan itu antara lain membincangkan mengenai model baru pendidikan kesihatan dan perkhidmatan kesihatan, asas bagi pembaharuan penjagaan kesihatan, Peperiksaan Kelayakan Malaysia bagi lulusan perubatan tempatan dan luar negara dan keselamatan pesakit.














Berita disunting daripada sumber : BERNAMA

EMPAT SAHABAT KE TALI GANTUNG

ALOR SETAR: Empat sahabat termasuk seorang warga Thailand dijatuhkan hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini, semalam selepas didapati bersalah mengedar 93.7 kilogram (kg) ganja, lima tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Mohd Zaki Abdul Wahab, menjatuhkan hukuman ke atas Mohd Sabri Ishak, 36; Muhammad Hasbi Baskaran Abdullah, 41; Jaren Saedtanee, 37, dan Azizan Hamid, 45, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.
Mereka didapati bersalah mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana mengedar ganja di Jalan Taman Seri Temin, Bukit Kayu Hitam, kira-kira jam 7 pagi 20 Mei 2006.
Ketika itu, Mohd Sabri ialah pekerja kargo Lapangan Terbang Bayan Lepas di Pulau Pinang, Muhammad Hasbi Baskaran pemandu lori, manakala Saedtanee dan Azizan bekerja sebagai nelayan.
Mohd Zaki berkata, selepas meneliti pembelaan keempat-empat tertuduh mahkamah mendapati mereka gagal menimbulkan keraguan terhadap kes, sehubungan itu, mahkamah mendapati mereka bersalah.
Berita disunting daripada Berita Harian

DAFTAR SEGERA PEKERJA ASING

PUTRAJAYA: Majikan yang gagal mendaftarkan pekerja asing sah mereka menerusi Program Pendaftaran Biometrik Pekerja Asing Sah sehingga 31 Julai ini, akan menghadapi masalah mendapatkan tenaga kerja asing pada masa depan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata majikan perlu menggunakan tempoh sehingga 31 Julai ini untuk berbuat demikian bagi mengelak masalah itu khususnya apabila Program Penyelesaian Menyeluruh Pekerja dan PATI (6P) bermula 1 Ogos ini.

Dianggarkan ada 1.75 juta pekerja asing sah di negara ini yang kerajaan mahu semua data biometrik mereka direkodkan tetapi sehingga kelmarin, hanya 390,404 pekerja asing sah daripada 26,894 majikan sudah didaftarkan di semua 37 pusat pendaftaran di seluruh negara sejak program bermula 13 Julai lalu.

Kementerian pula pada masa ini tidak bercadang melanjutkan tempoh pendaftaran itu selepas tamat pada 31 Julai ini.
Katanya, lagi lambat mereka (majikan) mendaftar (pekerja asing), semakin susah hendak mendapatkan pekerja asing dan ketika itu jangan salahkan kementerian. Ini kerana, apabila kementerian melaksanakan proses ini (pendaftaran), mereka liat memberi kerjasama tetapi akan memberi pelbagai alasan apabila memohon pekerja asing.

Proses pendaftaran dilaksanakan sejak 13 Julai lalu termasuk Sabtu dan Ahad itu secara puratanya memerlukan tempoh dua minit bagi merekodkan data dan biometrik setiap pekerja asing sah.
Disunting Daripada Berita Harian