Sunday, March 25, 2012

SISTEM PENDIDIKAN PERLU DIROMBAK

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata sistem pendidikan negara perlu dirombak kerana sudah sampai ke satu tahap yang memerlukan perubahan terutama dalam aspek mengajar dan cara belajar.


Perdana Menteri berkata, langkah ini sejajar proses transformasi negara bagi melahirkan generasi muda yang mampu berfikir dan mempunyai kelebihan mengadaptasi ilmu bagi menghadapi cabaran masa akan datang.


Katanya transformasi ke arah negara bermaklumat, negara inovasi, berpendapatan tinggi dan berdaya saing memerlukan transformasi sistem pendidikan terutama mengenai cara kita belajar dan mengajar.

Beliau berkata, corak pendidikan sebelum ini yang menekankan kepada ‘hafalan’ perlu diubah dengan menekankan kepada kemahiran proses berfikir di kalangan pelajar supaya mereka mampu menggunakan ilmu yang dipelajari untuk kepentingan diri sendiri.

Oleh kerana dunia sudah berubah, keperluan kita adalah menyediakan generasi hari ini untuk dunia yang akan datang.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin merangkap Menteri Pelajaran dan Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Maximus Ongkili.

Perdana Menteri berkata, walaupun sistem pendidikan negara sudah banyak memberi sumbangan besar kepada pembangunan dan kejayaan negara, namun dunia akan datang berbeza dengan hari ini kerana banyak peluang pekerjaan pada masa depan masih belum wujud ketika ini.

Katanya beliau difahamkan 70 hingga 80 peratus jenis pekerjaan pada hari muka belum wujud hari ini. Jadi bagaimana kita hendak menyediakan anak kita hari ini untuk masa depan kerana pekerjaan untuk mereka belum lagi wujud.

Jadi kita memerlukan kaedah pembelajaran yang menekankan aspek bagaimana untuk menggunakan pengetahuan yang ada serta bagaimana untuk berfikir. Jika kita boleh fikir, maka ia memberi kelebihan untuk mengadaptasi sebarang situasi.

Najib turut memaklumkan bahawa Projek I-Think yang kini dilaksanakan di 10 sekolah akan diperluaskan ke kira-kira 1,000 lagi sekolah tahun depan dan kepada semua sekolah menjelang 2014.

Program I-Think adalah projek bersama Kementerian Pelajaran dan Agensi Inovasi Malaysia bertujuan memupuk kemahiran pemikiran yang tinggi dan inovasi di peringkat sekolah rendah dan menengah.

Pada awal tahun ini, sepuluh sekolah dipilih di seluruh negara untuk menjadi sebahagian daripada projek perintis yang bertujuan memperkenalkan proses berfikir di kalangan pelajar sekolah.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, kementerian dalam proses mentransformasi sistem pendidikan dengan meningkatkan mutu pembelajaran dan pengajaran.

Katanya menerusi program I-Think ini, kementerian berusaha menerap proses berfikir bagi membantu murid memahami sesuatu konsep dan aplikasi konsep itu dalam menyelesaikan segala permasalahan yang diberikan.

Muhyiddin berkata, kemahiran itu juga akan menjadi sebahagian daripada modul di Institut Pendidikan Guru untuk memastikan bakal guru cukup terlatih dan bersedia menyampaikan teknik program I-Think selepas tamat pengajian mereka.

Katanya, langkah seumpama itu adalah satu permulaan penting dalam menaik taraf mutu sistem pendidikan negara agar aspirasi holistik Falsafah Pendidikan Kebangsaan dapat dicapai.




Berita disunting daripada sumber : Berita Harian

KAKITANGAN KERAJAAN, PELAJAR DI LUAR NEGARA BOLEH UNDI POS

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia di luar negara dibenar mengundi secara pos pada masa akan datang menerusi cadangan yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Berhubung Penambahbaikan Proses Pilihan Raya (PAC).


Pengerusi PAC, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, berkata pengundian berkenaan tidak dapat dijalankan jika Parlimen dibubar dalam tempoh terdekat kerana Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu melakukan beberapa pindaan terhadap peraturan sedia. “Seperti yang dinyatakan oleh SPR kepada kami, ia boleh dilakukan. Walaupun ada beberapa ahli PAC yang tidak bersetuju selaras dengan usaha mengurangkan pengundi pos, namun untuk keadaan yang tidak boleh dielakkan, (pengundian) perlu dilakukan secara pos laju

Berita Disunting Daripada Sumber : Berita Harian

DASAR PENDIDIKAN MASA DEPAN

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi jaminan kerajaan akan membuat perancangan dan penilaian teliti serta komprehensif sebelum Pelan Pembangunan Pendidikan dan Perancangan Strategik



sistem pendidikan negara dibentuk untuk memenuhi keperluan global dan cabaran masa depan.

Ia membabitkan rombakan menyeluruh pendidikan teras sekolah rendah dan menengah, termasuk sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan, sekolah bantuan kerajaan, sekolah agama, Orang Asli, pendidikan khas dan sekolah vokasional.

Bagi memastikan matlamatnya dicapai, pandangan, maklum balas dan idea rakyat akan menjadi sebahagian daripada pembentukan laporan pelan itu kerana kerajaan berpendapat pembabitan bersama rakyat sangat penting dalam penggubalan hala tuju sistem pendidikan negara.

Muhyiddin berkata, objektif utama pelan itu adalah menilai kembali prestasi sistem pendidikan Malaysia melalui penanda aras antarabangsa seperti Kajian Aliran Dalam Sains dan Matematik Antarabangsa (TIMMS) dan Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) serta Penyata Razak pada 1956, Laporan Rahman Talib (1960) dan Penyata Mahathir (1979).

Ia juga untuk memangkinkan transformasi sistem pendidikan dan menaik taraf penyampaian serta piawaian dalam pembentukan modal insan seiring keperluan ekonomi global dan wawasan 2020.

Rombakan juga bertujuan melakar hala tuju transformasi Kementerian Pelajaran Malaysia sebagai organisasi yang mampu menjana aspirasi pendidikan dan menjadi contoh kementerian kepada sebahagian dari agenda program transformasi kerajaan, katanya pada sesi taklimat kepada editor media, di sini semalam.

Muhyiddin berkata, sistem pendidikan baru itu berpandukan falsafah pendidikan kebangsaan yang juga akan membentuk aspirasi sistem pendidikan pada masa depan.

Katanya, penilaian merangkumi dua fasa dengan fasa satu membabitkan penilaian semula atau diagnostik yang bermula sejurus pembentukan sebuah jawatankuasa kerja khas pada Oktober tahun lalu sehingga Februari 2012 dan fasa kedua pada April hingga November tahun ini yang membabitkan hala tuju dan pelan strategik.

Beliau berkata, laporan fasa satu dibuat berasaskan kajian lain untuk memastikan ketepatan dan ketelusan fakta, termasuk kajian UNESCO, Bank Dunia, TIMSS, PISA dan lapan universiti tempatan, lawatan serta kaji selidik merangkumi 800 pengetua, 11,000 guru, 500 pegawai Jabatan Pendidikan negeri dan daerah, 13,000 pelajar serta ibu bapa.

Selain itu, panel yang dianggotai anggota bebas tempatan dan antarabangsa di kalangan pakar pelbagai bidang sudah dibentuk untuk memberi perakuan dan maklum balas terhadap laporan fasa satu itu.

Berita disunting daripada Berita Harian

MAHKAMAH PERSEKUTUAN BENAR RAYUAN KES AUKU

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan semalam membenarkan kerajaan, Menteri Pengajian Tinggi dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan mengisytiharkan Seksyen 15 (5)(a) Akta

Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 sebagai tidak sah di sisi undang-undang.

Seksyen 15 (5) akta itu melarang mahasiswa menyatakan sokongan atau bangkangan terhadap mana-mana parti politik. Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md Raus Shariff yang mengetuai panel lima hakim, dalam keputusan sebulat suara membenarkan permohonan kerajaan, Menteri Pengajian Tinggi dan UKM bagi merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 31 Oktober tahun lalu, yang mengisytiharkan bahawa seksyen itu tidak sah di sisi undang-undang. Turut sama dalam panel itu ialah Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinuddin dan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Hashim Yusoff, Tan Sri Abdull Hamid Embong dan Datuk Suriyadi Halim Omar.

Mahkamah membenarkan satu persoalan undang-undang yang ditimbulkan oleh pemohon untuk diputuskan dalam rayuan mereka.

Persoalan ialah sama ada Seksyen 15(5)(a) AUKU itu konsisten dengan Artikel 10(1)(a) dibaca dengan Artikel 10(2)(a) Perlembagaan Persekutuan dan oleh itu adalah undang-undang yang sah?

Artikel 10(1)(a) menjamin hak warga negara untuk kebebasan bersuara dan ekspresi, manakala Artikel 10(2)(a) menyatakan bahawa hak itu tidak mutlak dengan membenarkan Parlimen mengenakan sekatan, jika perlu, demi keselamatan negara, hubungan rapat dengan negara lain, ketenteraman awam atau prinsip moral yang direka untuk melindungi keistimewaan Parlimen atau mana-mana Dewan Undangan atau untuk mengadakan peruntukan menentang penghinaan terhadap mahkamah, fitnah atau hasutan bagi mana-mana kesalahan.


Muhammad Hilman Idham, Woon King Chai, Muhammad Ismail Aminuddin dan Azlin Shafina Mohamad Adza, ketika itu mahasiswa UKM, mendapat notis daripada universiti untuk hadir di hadapan Tribunal Disiplin bagi menjawab tuduhan kerana terbabit dalam kempen pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor pada 24 April 2010 dan melanggar Seksyen 15(5)(a) akta itu.

Mereka kemudian memfailkan saman pemula terhadap pemohon untuk mencabar tindakan UKM, tetapi tuntutan mereka ditolak Mahkamah Kuasa-kuasa Khas dan Rayuan Kuala Lumpur pada September 2010. Mahkamah Rayuan bagaimanapun mengubah keputusan Mahkamah Tinggi dalam keputusan majoriti 2-1 dengan memutuskan Seksyen 15(5)(a) akta itu tidak munasabah dan melanggar kebebasan bersuara.

Terdahulu, Mahkamah Persekutuan menolak bantahan awal dibangkitkan peguam Malik Imtiaz Sarwar mewakili keempat-empat mereka, bahawa perkara itu adalah akademik kerana mereka didapati tidak bersalah semasa prosiding disiplin universiti dan sudah tamat pengajian.

Bagaimanapun, Peguam Kanan Persekutuan Amarjeet Singh berkata perkara itu bukan akademik kerana penghakiman Mahkamah Rayuan mengisytiharkan Seksyen 15(5)(a) tidak sah di sisi undang-undang. Pemohon terjejas teruk dengan keputusan itu kerana ia membabitkan persoalan dalam undang-undang domain awam dan bukan semata-mata undang-undang persendirian.

Sementara itu, Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili UKM, berkata isu yang dibangkitkan adalah kukuh sambil menambah keputusan Mahkamah Rayuan berhubung Seksyen 15(5)(a) bukan hanya mengikat UKM tetapi juga 17 universiti lain.

Berita Disunting Daripada Sumber : Berita Harian

PARLIMEN LULUS PSC KAJI LYNAS

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat semalam meluluskan penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) Mengenai Projek Lynas Advanced Materials Plant (LAMP) bertujuan meneliti dan menilai isu sensitif yang mendapat perhatian ramai

serta piawaian keselamatan projek nadir bumi itu.

Usul dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz itu dipersetujui melalui pungutan suara yang dilakukan Timbalan Speaker, Datuk Ronald Kiandee, walaupun pembangkang berterusan membantah dan ada wakilnya keluar dewan sebaik usul itu dipersetujui.

Jawatankuasa itu akan dianggotai sembilan Ahli Parlimen - lima wakil Barisan Nasional (BN) termasuk seorang pengerusi, tiga wakil rakyat pembangkang dan seorang Bebas yang diberi tempoh tiga bulan untuk melaksanakan tugas.

Selama 45 minit menggulung usul berkenaan, Nazri berkata, tempoh tiga bulan itu boleh dilanjutkan jika jawatankuasa berkenaan tidak dapat melaksanakan tugas dalam tempoh itu dengan merujuk kepada Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Jawatankuasa itu juga hendaklah menyiapkan dan membentangkan penyata jawatankuasa yang mengandungi syor berkaitan dan dikemukakan kepada Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat untuk dipersetujui atau mengikut cara yang diperintahkan majlis mesyuarat itu, katanya.

Katanya, jawatankuasa itu akan memberi jawapan tepat terhadap beberapa isu yang dibangkitkan pembangkang kerana ia akan mendapatkan fakta tepat daripada pakar pelbagai bidang berkaitan.

Sebab itulah perlunya penubuhan jawatankuasa ini supaya segala yang dibangkitkan Ahli Parlimen pembangkang dapat diperjelaskan, malah Yang Berhormat juga boleh mengemukakan pandangan dan ia akan direkod secara rasmi.

Apa juga yang ada kaitan dengan isu Lynas, hanya yang tercatat dalam usul ini saja diberi perhatian dan PSC bukan untuk menepis sebarang idea mana-mana pihak, katanya apabila pembangkang menganggap penubuhan jawatankuasa itu tidak akan membawa kepada pembatalan projek itu.

Mengenai dakwaan Ahli Parlimen (PKR-Balik Pulau) Yusmadi Mohd Yusoff penubuhan PSC itu bersifat subjudis Nazri berkata, usul itu dibentangkan selepas mendapati amalan itu tidak subjudis walaupun ada kes berkaitan Lynas akan dihadapkan ke mahkamah.

Ketika dipersoalkan kenapa jawatankuasa itu dicadangkan hanya selepas kerajaan mengeluarkan lesen operasi sementara kilang berkenaan, Nazri berkata, penubuhan PSC belum terlewat untuk membincangkan pelbagai isu berbangkit berkaitan kilang Lynas.

Usul penubuhan PSC itu hangat dibahaskan 21 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang yang silih berganti duduk dan bangun bagi menegakkan pendirian masing-masing.

Ahli Parlimen Bebas Kulim Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Nordin turut membangkitkan suasana panas.

Tadi saya nampak Yang Berhormat (YB) Hulu Langat (Dr Che Rosli Che Mat) yang juga pakar nuklear pembangkang ada dalam dewan tapi lepas itu saya nampak YB Shah Alam (Khalid Samad) bisik sesuatu padanya, beliau kemudian keluar, dah tak ada sini.

Kenapa semasa sesi perbahasan ini pembangkang tidak benarkan pakarnya dalam bidang ini (nuklear) bersuara, kenapa sembunyikan dia. Mungkin juga kerana YB Hulu Langat pernah buat kenyataan menyatakan pembinaan kilang Lynas ini selamat, katanya.

Suara bantahan pembangkang juga dibangkitkan Ahli Parlimen (PAS-Shah Alam), Khalid Samad; Tian Chua (PKR-Batu); Zuraidah Kamaruddin (PKR-Ampang); Salahuddin Ayub (PAS-Kubang Kerian) dan Dr Zulkefly Ahmad (PAS-Kuala Selangor).

Berita disunting daripada Berita Harian

KELEMAHAN PBT PUNCA TANAH RIZAB DICEMARI

HULU LANGAT: Kelemahan penguatkuasaan dan kurang pemantauan pihak berkuasa tempatan dikenal pasti punca syarikat kontraktor pembinaan membuang sisa binaan di kawasan tanah rizab persekutuan di Batu 7 Jalan Cheras



berhampiran Hutan Simpan Kekal Bukit Sungei Puteh B.

Kawasan seluar 4.8 hektar itu dikesan bukan saja dijadikan tempat pembuangan sisa bangunan, malah turut dijadikan tempat pembuangan sampah domestik yang diangkut oleh lori tanah dan lori sampah yang mengambil jalan mudah untuk melupuskan sampah dengan dikenakan bayaran tertentu.

Difahamkan, kontraktor itu diberi kebenaran dan permit menjalankan kerja menimbus dan menambak oleh Jabatan Ketua Pengarah Tanah & Galian (JKPTG) dan Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Langat (PTDHL) namun dikesan melanggar syarat dengan menjadikan kawasan itu tempat pembuangan sampah berbayar. Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menjalankan siasatan sejak tiga minggu lalu mendapati kontraktor terbabit mengenakan bayaran RM25 hingga RM40 bagi setiap lori sampah, bergantung kepada saiz lori.

Sumber SPRM memberitahu, kontraktor yang sudah lebih dua bulan menjalankan kegiatan di situ sepatutnya hanya boleh menerima lori membawa tanah yang dikorek dari mana-mana kawasan pembangunan baru namun apa yang berlaku adalah sebaliknya.

Menerusi maklumat diterima, ada berlaku penyelewengan namun siasatan mendapati kurangnya pemantauan dan kelemahan penguatkuasaan menyebabkan kontraktor terbabit mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan dengan membenarkan lori membawa sampah domestik melupuskannya di situ.

Syarikat terbabit jelas melanggar syarat yang ditetapkan dan pada masa sama kita dapati sebahagian tanah itu turut diceroboh dengan dijadikan ladang sayur, justeru kita bekerjasama dengan JKPTG dan PTDHL untuk melakukan satu operasi khas. Beliau berkata, dalam operasi itu, semua pihak dibawa melihat sendiri penyelewengan yang dilakukan kontraktor terbabit kerana tindakan mereka membuang sampah tidak dibenarkan di tanah berkenaan akan menjejaskan struktur tanah di kawasan terbabit selain menyebabkan berlaku pencemaran.

Difahamkan, JKPTG dan PTDHL yang sudah pun menarik balik kebenaran dan membatalkan permit menambak kontraktor itu selain mengambil tindakan mengikut Seksyen 425 Kanun Tanah Negara 1965 kerana menceroboh tanah kerajaan ke atas kontraktor itu dan pengusaha ladang sayur berkenaan.

Berita Disunting Daripada Sumber : Berita Harian

SESI BINCANG PINDAAN AKTA KUKUH BUDAYA DEMOKRASI

KUALA LUMPUR: Penubuhan jawatankuasa khusus bagi mengkaji dan mendapatkan pandangan menyeluruh warga pelbagai peringkat terutama pihak berkepentingan dalam penggubalan undang-undang baru atau pindaan adalah trend sihat yang dapat membantu memperkukuh budaya demokrasi negara.


Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah bertitah, dengan adanya sesi perjumpaan dan perbincangan, penggubal dasar dan penggubal undang-undang berpeluang mendengar secara langsung maklum balas pelbagai pihak untuk diimbangkan pandangan ketika melakukan kerja penggubalan.


Baginda bertitah, penubuhan jawatankuasa itu juga dapat memastikan undang-undang digubal adalah komprehensif, relevan, bertepatan bagi tujuan dihasratkan serta selaras peruntukan undang-undang utama negara iaitu Perlembagaan Persekutuan.

Baginda bertitah mengikuti usaha pelbagai pihak yang mahu memperbaharui, menyemak dan mengkaji semula undang-undang negara untuk dikemas kini selaras senario dan tuntutan semasa. Pengumuman memansuhkan dan cadangan meminda undang-undang tertentu menarik perhatian ramai dan perdebatan berlaku di pelbagai peringkat.

Titah baginda walaupun proses ini (penubuhan jawatankuasa khusus) lebih rumit dan memakan masa lebih lama namun ia pendekatan terbaik dapat menangkis persepsi negatif terhadap undang-undang baru yang bakal diperkenalkan atau undang-undang bakal dipinda.

Baginda bertitah demikian pada Majlis Konvokesyen ke-17 Peperiksaan Sijil Amalan Guaman 2011 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, malam tadi.

Raja Nazrin bertitah, pihak terbabit dalam menentukan masa depan negara perlu mengambil ingatan akan keunikan senario setempat terutama faktor berkait langsung dengan sejarah dan budaya, ketenteraman awam serta perpaduan warga yang tidak boleh sama sekali dikorbankan atas nama liberalisasi.

Baginda bertitah, ahli politik pula mempunyai tanggungjawab nasional yang sama demi menjamin kelangsungan sebuah negara aman, stabil, makmur dan sejahtera. Faktor kelangsungan sebuah sistem demokrasi yang lestari berteraskan sejarah dan budaya setempat amat penting dipertimbangkan dari sekadar matlamat meraih keuntungan politik jangka pendek.



Berita disunting daripada sumber : Berita Harian