Monday, September 12, 2011

CUKAI 6% DITANGGUHKAN

KUALA LUMPUR 12 Sept. - Cadangan pelaksanaan cukai perkhidmatan sebanyak enam peratus terhadap pengguna perkhidmatan talian telefon prabayar yang dijadual Khamis ini, ditangguhkan sehingga kajian mengenainya selesai.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, keputusan tersebut dicapai setelah kementeriannya mengadakan pertemuan bersama empat pengendali utama telekomunikasi di negara ini.

"Perundingan yang melibatkan pengurusan utama Celcom, Maxis, Digi dan U-Mobile itu berlangsung dalam suasana cukup baik dan kesemua mereka telah bersetuju untuk menangguhkannya dan tidak dilaksanakan seperti yang diumumkan sebelum ini.

"Mereka menerima baik nasihat kementerian, pandangan kerajaan serta sentimen yang dilahirkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan wakil syarikat-syarikat telekomunikasi tersebut di Angkasapuri di sini hari ini.

Antara yang hadir dalam pertemuan tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Celcom, Datuk Seri Mohammed Shazalli Ramly; CEO Kumpulan Maxis, Sandip Das; CEO Kumpulan Digi, Henrik Clausen dan CEO U-Mobile, Dr. Kaizad Heerjee.

Menurut Rais, penangguhan itu dibuat bagi membolehkan kajian sama ada cukai tersebut akan dikenakan terhadap pengguna yang membeli pek permulaan talian prabayar atau mengenakannya setiap kali pengguna membuat tambah nilai kredit.

"Saya rasa lega apabila mereka bersetuju menangguhkannya dan kementerian akan membuat beberapa kajian tentang isu yang dibangkitkan seperti waktu terbaik bagi melaksanakan cukai perkhidmatan tersebut," katanya.

Menurutnya, kajian berhubung caj tersebut akan dilakukan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan syarikat komunikasi terlibat yang turut sama akan membincangkan kadar yang sepatutnya dikenakan.

"Jadi, isu-isu yang berbangkit ini akan saya bawa kepada mesyuarat Jemaah Menteri kelak untuk menghuraikan dengan lebih jelas berkenaan data dan fakta yang lengkap," katanya.

Rais berkata, beliau juga akan menyarankan kepada kerajaan untuk memberi penghargaan di atas sumbangan dan peranan yang dibuat syarikat-syarikat telekomunikasi tersebut terhadap cukai perkhidmatan selama ini.

"Jumlah yang disumbang syarikat-syarikat itu terhadap cukai perkhidmatan amat besar dan boleh saya anggarkan jumlahnya bernilai hampir RM6 bilion bermula dari 1998 sehingga kini kepada hampir 26 juta pengguna talian prabayar di negara ini," katanya.

Justeru itu, Rais berharap isu cukai perkhidmatan tersebut tidak lagi dibangkitkan kerana syarikat telekomunikasi terbabit sudah bersetuju untuk menangguhkan pelaksanaan caj tersebut.

Wednesday, September 7, 2011

ANTARTIKA

BENUA Antartika - tiada tempat di dalam dunia ini yang dapat menandingi keunikan dan keindahan kawasan ini yang diliputi lautan salji tanpa mengira musim.

Antartika dikatakan paksi kepada pembentukan sejarah awal benua. Menurut ahli-ahli geologi, di sekitar 360 juta tahun lalu, daratan bumi ini sebenarnya bersatu di sekitar kutub selatan.

Satu daratan yang disebut Pangeas kemudian terpecah dua menjadi Laurasia dan Gondwana. Seterusnya, kedua-duanya ini terurai dan menjadi benua-benua dan pulau-pulau yang kini tersebar mengelilingi bumi.

Manusia mula mendekati benua Antartika sejak 1820.

Bagaimanapun, penjelajahan di daratan Antartika hanya bermula pada awal 1990-an.

Bumi Antartika sebenarnya menyimpan seribu satu macam rahsia yang masih belum diterokai manusia kerana pelbagai halangan yang tidak terlawan oleh kudrat mahupun teknologi canggih ciptaan manusia.

Di sebalik putih sucinya, benua Antartika sebenarnya begitu ‘keras’ dan telah mengorbankan banyak nyawa.


Blue whale adalah ikan paus biru yang terdapat di Antartika.

Sejak lebih 45 tahun lalu, lebih 200 ilmuan dan saintis yang menjalankan penyelidikan di benua ini tewas dan terkorban kerana suhu sejuknya yang melampau.

Ikuti beberapa fakta menarik yang perlu anda tahu mengenai benua Antartika.

  • Benua Antartika diselaputi ais sejak 35 juta tahun dahulu.
  • Benua Antartika sebenarnya adalah sebuah gurun yang hampir sama dengan Gurun Sahara.
  • Perairan Antartika adalah antara kawasan yang paling berangin di dunia dengan cacatan kelajuan angin sehingga 200 batu sejam.
  • Suhu di Antartika sememangnya tidak menentu. Antara yang pernah dicatatkan ialah penurunan suhu sehingga 65 darjah Ferenheit dalam masa 12 minit sahaja.
  • Puncak tertinggi di Antartika ialah Vinson Massif dengan ketinggian 4,897 meter.
  • Benua Antartika juga sebenarnya mempunyai gunung berapi, tetapi tidak ada satu pun yang aktif.
  • Sampel ais yang dikenali sebagai empulur ais (ice core) adalah sampel penting yang selalu diambil oleh saintis untuk tujuan uji kaji.
  • Empulur ais berbentuk silinder panjang ini memberikan maklumat-berguna mengenai sesuatu perkara sejak berpuluh-puluh ribu tahun dahulu. Ini kerana, objek-objek yang terperangkap dalam ais itu termasuklah buih-buih udara memberikan informasi yang sangat berguna mengenai cuaca dan iklim dunia pada sesuatu masa dahulu.

  • Sekumpulan penguin jenis emperor di dataran ais Antartika.

  • Jika semua bongkah ais (ice sheets) yang terdapat di Antartika cair, air laut di seluruh dunia akan meningkat antara 60 hingga 65 meter.
  • Kebanyakan hidupan laut di Antartika termasuklah ikan mempunyai sejenis bahan anti sejuk dalam darah masing-masing untuk mengelakkan binatang-binatang ini menjadi beku.
  • Pada musim sejuk yang melibatkan suhu sejuk melampau dan keadaan gelap berterusan selama enam bulan, terdapat kira-kira 900 orang saintis yang menjalankan penyelidikan di 34 stesyen. Jumlah saintis ini bertambah sehingga 3,000 orang pada musim panas.
  • Serangga terbesar di atas tanah di Antartika sebenarnya ialah sejenis serangga kecil tanpa sayap - Belgica antarctica yang berukuran kurang daripada 1.3 cm panjang.
  • Tiada serangga terbang di Antartika (kerana ia akan mudah ditiup angin), sebaliknya hanyalah jenis serangga seperti kutu yang menghinggapi penguin.
  • Antartika adalah tempat terbaik di dunia untuk melihat tahi bintang. Tidak seperti di tempat biasa yang dipenuhi dengan tumbuh-tumbuhan, tahi bintang boleh dilihat secara jelas di persekitaran Antartika yang serba putih.
  • Keadaan sejuk dan kering di ‘Daerah Kering’ di Antartika hampir menyamai keadaan di planet Mars seperti mana yang pernah diuji oleh pihak NASA. Di daerah kering itu, tiada hujan dicatatkan sejak 2 juta tahun lalu.

  • Saintis menjalankan penyelidikan di Antartika.

  • Dianggarkan, semasa musim makan di Antartika, paus biru (blue whale) memakan kira-kira 40 juta krill (sejenis hidupan laut seperti udang) setiap hari ataupun 3,600 kilogram atau 4 tan setiap hari selama enam bulan.
  • Jumlah pengambilan makanan itu boleh mengenyangkan seorang manusia selama empat tahun!.
  • Sejak kemunculan benua Antartika lebih 20 juta tahun dahulu, tidak banyak hidupan lautnya yang berubah. Ikan-ikan di Antartika hidup pada suhu antara 2 darjah Celsius hingga - 2 darjah Celcius sejak lima juta tahun lalu. (-2 darjah Celcius adalah tahap beku air laut iaitu di bawah kosong kerana kandungan garam). Secara puratanya, suhu musim panas di Antartika ialah -30 darjah celcius manakala purata suhu musim sejuk ialah -60 darjah celcius.
  • Suhu paling rendah yang pernah dicatatkan ialah -89.6 darjah celcius iaitu di stesyen Russian Vostok. Hanya kira-kira 0.4 peratus daripada Antartika yang tidak diselaputi ais.
  • Di Antartika, terdapat sejenis kumpulan ikan yang agak pelik yang dipanggil ikan ais (ice fish). Ikan ini tidak mempunyai pigmen darah merah - haemoglobin dalam darah untuk membawa oksigen. Memandangkan suhu di sana sangat sejuk dan oksigen boleh larut dalam suhu yang sejuk, ikan ini boleh hidup tanpa haemoglobin.

Baru-baru ini, DNA ikan ini didapati telah rosak kerana tahap sinaran tinggi ultra violet akibat lubang ozon.

Ikan ini kurang pigmen yang boleh menghalang sinaran UV.


Antartika terletak di Kutub Selatan

FAKTA PENTING

Tahukah anda terdapat perbezaan yang nyata antara kawasan Artik dan Antartika.

Kawasan Artik terletak di Kutub Utara manakala Antartika terletak di Kutub Selatan.

Kawasan Artik adalah lautan yang dikeliling oleh benua dan pulau-pulau manakala Antartika adalah benua yang dikelilingi oleh lautan.

Walaupun Artik pada dasarnya ialah seperti laut beku, pengaruh air secara sederhana menjadikan iklim di kawasan ini lebih sesuai untuk kehidupan manusia dan binatang berbanding benua antartika.

Di kawasan Artik, salji lebih mudah cair dan mengalami proses pengejatan berbanding di Antartika. Keadaan ini menjadikan pembentukan ais kurang berbanding di Antartika.

Semasa musim panas, kawasan di Artik tidak mempunyai ais dan ini memberi peluang kepada tumbuh-tumbuhan untuk hidup.

Kawasan Artik dihuni oleh manusia sejak 20,000 tahun lalu manakala di Antartika tiada penduduk tetap, hanya bermusim.

Banyak negara menuntut haknya ke atas Antartika, walaupun ia diistiharkan sebagai milik antarabangsa.

Sementara itu, kawasan Artik pula, dimiliki oleh lapan negara yang berbeza iaitu Norway, Sweden, Finland, Rusia, Amerika Syarikat, Kanada, Greenland dan Iceland.

Tuesday, September 6, 2011

SHTP MENGIKUT KONSEP PERKONGSIAN AWAM-SWASTA

PUTRAJAYA: Kerajaan memberi jaminan Taman Teknologi Tinggi Senai (SHTP), Johor, akan terus dibangunkan mengikut konsep perkongsian awam-swasta (PPP) berikutan kejayaan pelaksanaannya sejak dilancarkan tahun lalu.


Ini berdasarkan komitmen kerajaan memajukan lagi kegiatan berasaskan teknologi tinggi, inovasi dan kreativiti ke arah menjadikan negara berpendapatan tinggi dan ekonomi berasaskan pengetahuan menjelang 2020.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata pembangunan SHTP sejajar dengan pelan dasar jangka panjang kerajaan untuk mentransformasikan negara ke arah negara membangun berasaskan inovasi teknikal dan industri kreatif.

Kunci utama pembangunan teknologi tinggi ialah taman teknologi tinggi dan ia dibuktikan dengan kejayaan membawa masuk banyak pelaburan asing terus (FDI) ke negara ini dengan adanya Kulim Hi-Tech Park (Kedah).

Katanya ketika berucap pada majlis memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) antara Senai Hi-Tech Park Sdn Bhd dan Solexel (M) Sdn Bhd (SHTPSB), inisiatif ini bukan saja mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dalam bidang teknologi tinggi, penyelidikan dan pembangunan, tetapi juga memberi kesan kepada keseluruhan ekonomi negara.

MoU itu ditandatangani Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Solexel Inc, Michael Wingert dan Ketua Eksekutif SHTPSB, Datuk Ahmad Shukri Tajuddin.

Hadir sama, Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman dan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir.

Sehubungan itu, Najib mengalu-alukan hasrat Solexel Inc membuka kilang pengeluaran sel solar kristal di atas tapak seluas kira-kira 30 hektar di zon perindustrian fasa satu SHTP, membabitkan pelaburan RM2.8 bilion dalam tempoh lima tahun.

Katanya, pelaburan itu mampu menyediakan peluang pekerjaan kepada 2,300 rakyat tempatan, sekali gus menjana kegiatan ekonomi di wilayah Iskandar Malaysia.

Pada masa sama, beliau berkata, projek sel solar itu juga selaras polisi kerajaan yang ingin memajukan lagi industri teknologi hijau dan tenaga yang boleh diperbaharui di negara ini.

Katanya pelaburan Solexel di negara ini mampu menarik minat dan membina rangkaian pembekal tempatan khususnya bahan kimia yang digunakan dalam teknologi solar dan pengeluaran semikonduktor.


Berita disunting daripada sumber : Berita Harian

4 MENTERI MEMBINCANGKAN ISU KELDAI DADAH

KUALA LUMPUR: Tiga kementerian bersetuju dengan cadangan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil untuk mengadakan pertemuan bagi membincangkan

isu ramai warga Malaysia terpedaya dengan sindiket dadah antarabangsa hingga menjadi keldai dadah dan merengkuk dalam penjara di luar negara.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, berkata kementeriannya menyambut baik cadangan Shahrizat dan bersedia bekerjasama mencari jalan membanteras ancaman jenayah sindiket dadah antarabangsa yang menyebabkan ramai warga Malaysia, terutama wanita terjerat selepas terpengaruh dengan janji manis warga asing, terutama dari Afrika.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata pihaknya sedia bertemu dan berbincang dengan kementerian itu bagi membanteras jenayah yang banyak memanipulasikan wanita dan pelajar hingga terjerat serta terpaksa menjadi keldai dadah.

Mengikut rekod kementerian, belum ada kes menunjukkan pelajar kulit hitam di negara ini terbabit dalam jenayah itu, namun Kementeria sedia mengambil tindakan jika terbukti ada antara mereka menjadi ejen sindiket itu.

Berita Harian semalam melaporkan Shahrizat akan membawa isu wanita menjadi mangsa sindiket dadah antarabangsa pada mesyuarat Kabinet dalam masa terdekat, selain mengadakan perbincangan dengan tiga kementerian berkaitan bagi menjalin kerjasama berhubung kes penipuan sindiket dadah antarabangsa yang banyak membabitkan wanita Malaysia sebagai mangsa kelicikan mereka.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, pula berkata, pihaknya menyambut baik cadangan mengadakan perbincangan antara empat kementerian berkenaan, apatah lagi sindiket dadah itu menggunakan wanita sebagai mangsa menyeludup dadah di luar negara.

Kementerian akan bekerjasama dengan semua pihak bagi membanteras jenayah antarabangsa yang menggunakan rakyat tempatan, termasuk perdagangan wanita dan kanak-kanak, selain kes keldai dadah hingga menyebabkan mereka terpaksa menjadi tahanan di penjara luar negara serta dijatuhkan hukuman mati.

Berita disunting daripada Berita Harian

Monday, September 5, 2011

PERUBAHAN STRUKTUR KEHAKIMAN D MALAYSIA

Hakim Besar Malaya Tan Sri Arifin Zakaria dilantik sebagai Ketua Hakim Negara berkuat kuasa 12 September ini, menggantikan Tun Zaki Tun Azmi yang mencapai umur persaraan wajib 66 tahun pada tarikh berkenaan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pelantikan itu diperkenankan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin berdasarkan Fasal (1) Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan, atas nasihat Perdana Menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.

Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri hari ini, Najib berkata Tuanku Mizan juga memperkenankan pelantikan Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin sebagai Hakim Besar Malaya menggantikan Arifin, manakala Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Md Raus Sharif dilantik sebagai Presiden Mahkamah Rayuan menggantikan Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff yang bersara awal.

Perdana Menteri berkata semua pelantikan berkuat kuasa 12 September ini.

"Bagi pihak kerajaan, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Tun Zaki Tun Azmi di atas segala khidmat bakti beliau di sepanjang tempoh memegang jawatan Ketua Hakim Negara, khususnya dalam mentransformasikan badan kehakiman sehingga berjaya mengurangkan kes-kes tertunggak di semua peringkat mahkamah, demi memberi keadilan yang pantas kepada semua pihak.

"Saya juga memaklumkan persaraan awal Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff, Presiden Mahkamah Rayuan, pada umur 65 tahun yang telah mendapat perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

"Kerajaan amat berterima kasih atas segala jasa beliau kepada badan kehakiman, khususnya dalam memimpin Mahkamah Rayuan," katanya.

Najib juga berkata Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan kini berurusan dengan Istana Negara bagi menetapkan majlis penyampaian watikah pelantikan serta majlis mengangkat dan menandatangani sumpah jawatan dan setia untuk hakim berkenaan.

--Bernama

Sunday, September 4, 2011

DASAR PENAPISAN MEDIA

KUALA LUMPUR: Langkah kerajaan mengkaji semula dasar penapisan media yang menjurus kepada pertambahan kebebasan akan membolehkan media cetak bersaing dengan media sosial, kata bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin.

Beliau berkata, kebanyakan media cetak hari ini boleh dikatakan ‘tertekan’ dengan kewujudan media baru itu yang dilihat lebih menjadi pilihan pengguna yang menuntut maklumat yang pantas. “Dalam soal penapisan berita mesti difikirkan supaya akhbar tidak tertekan dengan penapisan itu sehingga tidak boleh bersaing dengan media sosial.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semalam dilaporkan berkata kerajaan akan mengkaji cara mengendali penapisan media selaras dengan perkembangan landskap dan persekitaran semasa. Pengerusi Institut Akhbar Malaysia, Datuk Seri Azman Ujang, pula berkata kebebasan media penting dalam memastikan rakyat bermaklumat dan ia dilihat sebagai sesuatu yang mencerminkan kematangan sesebuah negara.

Penapisan media sebenarnya tidak akan membantu negara, malahan imej negara akan terjejas. Ia akan membuatkan rakyat dan negara kita ketinggalan zaman. Kalau sesebuah negara mahu maju, ia juga perlu kepada kebebasan media yang menunjukkan kematangan dan kemajuan negara itu. Kebebasan media adalah satu perkara yang penting apabila masyarakat luar menggambarkan negara kita.

Pensyarah Jabatan Pengajian Media, Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya (UM), Prof Dr Azizah Hamzah, menyifatkan langkah kerajaan mengkaji dasar penapisan media sebagai tindakan cukup responsif terhadap tuntutan dan kehendak masyarakat. Beliau berkata ia jelas menunjukkan kerajaan benar-benar peka dan bersedia melakukan transformasi ke arah kebaikan yang memanfaatkan rakyat dan negara.

Cubalihat di seluruh dunia hari ini, rakyat semakin berpendidikan, mereka tidak lagi bergantung kepada satu-satu sumber untuk mendapatkan maklumat. Beliau berkata, media sosial dan telefon pintar yang kini semakin meluas penggunaannya menunjukkan betapa berkuasa teknologi semasa sekali gus memerlukan negara ini keluar dari kepompong tradisionalnya.

Berita Disunting Daripada Sumber : Berita Harian

Tuesday, August 23, 2011

GCSA TINGKATKAN KESELAMATAN SIBER

PUTRAJAYA 23 Ogos – Majlis Teknologi Maklumat Negara (NITC) bersetuju menubuhkan Pertubuhan Keselamatan Siber Global (GCSA) bagi meningkatkan lagi keupayaan dan kesiapsiagaan keselamatan siber negara.

Mesyuarat tahunan yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di sini hari ini mengumumkan GCSA akan bertindak sebagai platform kepada ahli gabungan untuk berkongsi maklumat mengenai keselamatan siber negara masing-masing.

Pertubuhan itu juga akan memberi tumpuan kepada usaha menghimpunkan bakat dalam kalangan negara ahli dan juga dijadikan platform untuk melatih golongan profesional dalam bidang keselamatan siber.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti), Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili pada sidang akhbar selepas mesyuarat tersebut memberitahu, Malaysia mengetuai gabungan GCSA yang akan dibuka kepada negara ahli Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), Forum Serantau ASEAN dan negara-negara membangun.

‘‘Konsep GCSA itu akan diperhalusi oleh kumpulan pakar E-Kedaulatan yang diterajui oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam tempoh terdekat ini.

‘‘Diharapkan konsep itu dapat diperhalusi oleh MKN dalam tempoh tiga bulan ini sebelum kita buat keputusan yang muktamad,” katanya.

Turut hadir timbalannya, Datuk Fadillah Yusof.

Mesyuarat itu dihadiri 32 ahli NITC yang mewakili kerajaan, swasta dan komuniti serta sembilan kumpulan pakar dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Sebanyak lapan kertas kerja dibincangkan membabitkan tiga keputusan yang perlu diambil tindakan segera dan lima lagi merupakan laporan maklumat daripada setiap kumpulan pakar.

Maximus memberitahu, mesyuarat itu turut bersetuju memberi mandat kepada Prasarana Maklumat Kritikal Negara (CNII) untuk mengutamakan penggunaan produk-produk ICT tempatan yang diberi pensijilan MS ISO/IEC 15408.

‘‘Langkah ini mampu meningkatkan sumber pendapatan negara. Pendapatan Kasar Negara (GNI) yang boleh dijana menjelang 2020 dianggarkan RM3 bilion dan sebanyak 5,000 peluang pekerjaan dijangka diwujudkan,” katanya.