Tuesday, October 4, 2011

SURUHANJAYA PENGANGKUTAN AWAM DARAT

BIDANG KUASA DAN FUNGSI

Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) merancang, menyelia dan menguatkuasa semua hal-hal berkaitan pengangkutan awam darat di Semenanjung Malaysia

  • Kuasa Merancang
    Melakar pelan induk yang komprehensif, bersepadu dan mapan bagi pembangunan infrastruktur.

  • Kuasa Mengawal Selia
    Memantau mengawal selia tahap dan perkhidmatan yang diberikan oleh operator melalui perlesenan.

  • Penguatkuasa
    Kuasa bagi menguatkuasa adalah dalam lingkungan audit, siasatan, pembatalan/penggantungan lesen, menyita kenderaan dan penalti kepada pengendali.

Monday, September 26, 2011

MATA PELAJARAN SEJARAH PERLU DI IPT

ipta-malaysia

JITRA: Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Muadzam Shah, bertitah mata pelajaran sejarah yang mula diajar pada peringkat sekolah perlu diteruskan ke institusi pengajian tinggi (IPT) bagi membentuk generasi Malaysia yang matang

dan maju pada masa depan.

Bertitah pada majlis Konvokesyen ke-25 Politeknik Sultan Abdul Halim Muadzam Shah (POLIMAS), di sini, semalam baginda melahirkan keyakinan pembelajaran sejarah secara berterusan adalah penting kepada sesebuah negara bangsa kerana ia memberi kesedaran kepada generasi baru mengenai sesuatu kejadian yang memberi kesan terhadap kehidupan masa kini.

Titah baginda, sejarah adalah guru kehidupan yang boleh menjadi panduan untuk perancangan, perkembangan dan kemajuan sesebuah negara pada masa depan. Apa yang lebih ketara adalah dengan mempelajari sejarah dan mengambil iktibar daripadanya, generasi baru ini lebih menghargai erti kemerdekaan berasaskan kedaulatan bangsa serta negara secara lebih bermakna serta bijaksana.

Justeru, sejarah negara bangsa itu perlu diketahui, difahami dan diserapkan ke seluruh lapisan masyarakat. Mempelajari sejarah bukan saja untuk pengetahuan, tetapi perlu dijadikan iktibar dan pedoman kepada sesuatu bangsa mengenai apa yang pernah berlaku satu masa dulu, titah baginda.

Sementara itu, baginda turut mengingatkan semua graduan supaya tidak menjadi seperti kacang lupakan kulit yang melupakan asal usul apabila sudah mengecapi kejayaan suatu hari nanti.

Titah baginda, pelajar perlu menghargai jasa segala didikan, tunjuk ajar, dorongan dan bimbingan ibu bapa serta pensyarah yang banyak menyumbang dalam membentuk seorang individu berjaya.
Terdahulu, Pengarah POLIMAS, Kamaruzaman Ismail, berkata seramai 2,309 graduan menerima diploma dan sijil dalam pelbagai bidang pendidikan yang ditawarkan di institusi itu.

Daripada jumlah itu seramai 722 adalah graduan Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Jabatan Kejuruteraan Elektrik (599), Kejuruteraan Awam (594), Jabatan Perdagangan (283) dan 133 Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi.

Berita Disunting Daripada Sumber : Berita Harian

Tuesday, September 20, 2011

PELAN STRATEGIK DASAR AGRO MAKANAN

KEMENTERIAN Pertanian dan Industri Asas Tani, telah mengenal pasti pelan strategik yang bakal dilaksanakannya di bawah Dasar Agro Makanan untuk mewujudkan lebih ramai usahawan tani serta memastikan sektor pertanian negara terus berdaya maju dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Bagi menjayakan dasar itu ia telah mengemukakan permohonan peruntukan berjumlah RM1.34 bilion kepada Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10).
Bagi program pembiayaan di bawah Agrobank, ia mengemukakan permohonan sebanyak RM640 juta, manakala RM700 juta adalah bagi program pembiayaan di bawah kendalian TEKUN.
Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan) Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd Hashim Abdullah, berkata dasar yang sedang digubal itu akan turut membantu mencapai matlamat Model Ekonomi Baru (MEB) iaitu melahirkan golongan petani, penternak dan nelayan berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Kementerian telah mengenal pasti 10 langkah strategik yang bakal dilaksanakan di bawah Dasar Agro Makanan itu, katanya dalam temu bual dengan Berita Harian di Putrajaya, baru-baru ini.

Beliau berkata, antara langkah itu ialah meneroka bidang pertanian bernilai tinggi; meningkatkan pengeluaran dan produktiviti sektor pertanian; membabitkan sektor swasta sebagai pemacu pertumbuhan; mengukuhkan rangkaian bekalan agro makanan dan memantapkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta inovasi.

Langkah strategik lain katanya ialah persediaan untuk menghadapi kesan perubahan iklim; meluaskan amalan pertanian mesra alam, melaksanakan amalan kitar semula; membangunkan sumber manusia berkualiti serta menghasilkan pemakanan untuk kesihatan rakyat.
Daripada langkah itu, kementerian akan memberi penekanan kepada produk pertanian bernilai tinggi yang telah dikenal pasti seperti cendawan, herba, rumpai laut dan burung walit selain industri florikultur dan ikan hiasan untuk pasaran tempatan dan eksport, katanya.

Mohd Hashim menjelaskan, Dasar Agro Makanan yang sedang digubal adalah satu pelan tindakan menyeluruh industri pertanian negara bagi tempoh 2011 hingga 2020 bagi menggantikan Dasar Pertanian Negara Ketiga (DPN3).

Katanya, matlamat utama kerajaan sepanjang tempoh itu ialah memastikan hasil industri pertanian mencukupi untuk kegunaan rakyat dan berupaya untuk terus meningkatkan pendapatan daripada industri terbabit.

DPN3, yang diperkenalkan pada 1999 bagi memaksimumkan sumbangan sektor pertanian kepada pendapatan dan eksport negara akan berakhir tahun ini.

Ia dirangka untuk meningkatkan bekalan makanan, meninggikan keluaran dan daya saing sektor, mengukuhkan pertalian dengan sektor lain dan mewujudkan sumber pertumbuhan baru. selain bertujuan memulihara dan menggunakan sumber asli negara secara mapan menggunakan pendekatan strategik iaitu pendekatan perhutanan dan berasaskan produk.

Tahun lalu, industri pertanian menyumbang kira-kira tiga peratus kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia.

Sumber: Berita Harian Online

KABINET DIJANGKA LULUS DASAR AGROMAKANAN

noh-omar

KUALA LUMPUR: Kabinet dijangka meluluskan penggubalan Dasar Agromakanan Negara (DAN) 2011-2020 pada mesyuarat 28 September ini, sekali gus

menggantikan Dasar Pertanian Negara (DPN) yang tamat penghujung tahun lalu, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar.

Katanya, penggubalan DAN 2011-2020 adalah kesinambungan kepada DPN Ketiga 1998-2010 yang bertujuan memastikan bekalan makanan berasaskan pertanian di negara ini terjamin dan selamat serta meningkatkan pendapatan petani, penternak dan nelayan.

Beliau berkata, DAN 2011-2020 turut memberi tumpuan dalam meningkatkan sumbangan industri agromakanan, memperkasakan modal insan, memantapkan kegiatan penyelidikan dan pembangunan serta mewujudkan persekitaran perniagaan yang diterajui sektor swasta.

Menurut beliau, kebergantungan orang ramai terhadap kerajaan semata-mata dalam memastikan bekalan makanan negara tidak lagi relevan. DAN 2011-2020 dilihat dapat mencetuskan rangkaian perkhidmatan kerjasama antara swasta dengan agensi berkaitan bagi menangani krisis makanan global yang dijangka berlaku 10 tahun akan datang.

Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha kementerian, Raihan Sharif; Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Persekutuan (FAMA), Ahmad Ishak dan Pengerusi Jawatankuasa Penganjuran Pameran Malaysia Agro 2011, Datuk Mohamed Shariff Abd Aziz.

Noh berkata, penubuhan Majlis Benih Negara yang sudah dipersetujui Kabinet baru-baru ini dan beliau sendiri menjadi Pengerusinya membuktikan kementerian serius dalam menangani krisis makanan sedunia itu.

Kita tidak mahu terlalu bergantung dengan mengimport bekalan dari luar. Dengan dianggotai pakar pertanian, penternakan dan perikanan, majlis ini akan mencari jalan bagaimana bagi memastikan masalah bekalan makanan negara dapat ditangani dalam tempoh berkenaan.

Pakar-pakar ini juga memikirkan rantaian bekalan dari anak benih, makanan haiwan hingga bagaimana hendak memasarkannya. Ketika ini kita berjaya menangani masalah daging ayam dan telur hingga satu ketika negara menghadapi lambakan anak-anak ayam.
Disunting Daripada Berita Harian

ISA DIMANSUHKAN

KUALA LUMPUR 15 Sept. – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960.

Berucap dalam perutusan khas Hari Malaysia yang disiarkan secara langsung di RTM malam ini, beliau turut mengumumkan pemansuhan Akta Buang Negeri 1959 di samping mengkaji semula beberapa undang-undang lain bagi memastikan ia memenuhi kehendak semasa.

Menurutnya, dua undang-undang baru yang sesuai akan digubal di bawah semangat serta payung Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan bagi mencegah perbuatan subversif, keganasan terancang dan perbuatan jenayah supaya ketenteraman dan keselamatan awam sentiasa terpelihara.

“Pokoknya, akta-akta itu nanti bermatlamatkan untuk memelihara keamanan, kesejahteraan, kesentosaan serta kerukunan hidup rakyat dan negara.

“Seperti mana yang saya janjikan dalam ucapan sulung saya semasa saya mula-mula mengambil alih jawatan Perdana Menteri pada 3 April 2009, bahawa ISA akan dikaji secara komprehensif. Sehubungan itu, suka saya mengumumkan pada malam yang bersejarah ini, bahawa ISA akan dimansuhkan terus,’’ kata Perdana Menteri.

Najib berkata, melalui undang-undang baru itu kerajaan akan tetap memastikan hak asasi mereka yang terbabit terpelihara.

“Apa-apa undang-undang yang diperbuat akan mengambil kira hak dan kebebasan asasi berlandaskan Perlembagaan Persekutuan.

“Undang-undang baru ini juga akan memperuntukkan tempoh tahanan oleh polis yang secara substansialnya lebih pendek daripada apa yang ada sekarang dan apa-apa tahanan lanjut hanya boleh dibuat dengan perintah mahkamah,’’ ujarnya

Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata, undang-undang berkaitan keganasan masih dikekalkan bawah kuasa Menteri.

Di dalam ucapannya itu beliau berkata, kerajaan turut memberi komitmen bahawa mana-mana individu tidak akan ditahan semata-mata hanya kerana ideologi politik.

“Kuasa untuk melanjutkan penahanan juga akan beralih daripada badan eksekutif kepada badan kehakiman kecuali undang-undang berkaitan keganasan,’’ katanya lagi.

Beliau menambah, kerajaan juga tidak akan teragak-agak untuk meminda atau memansuhkan undang-undang yang tidak relevan.

Dalam perkembangan berkaitan, Najib berkata, kajian semula terhadap beberapa undang-undang negara secara lebih komprehensif turut melibatkan Akta Kediaman Terhad 1933 dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

“Bagi Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, prinsip pembaharuan tahunan akan dihapuskan sebaliknya akan digantikan dengan pengeluaran lesen sehingga ia dibatalkan,’’ katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga akan mengkaji semula Seksyen 27 Akta Polis 1967 dengan mengambil kira peruntukan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan mengenai kebebasan berhimpun dengan prinsip menentang sekeras-kerasnya demonstrasi jalanan,

Namun katanya, kebenaran berhimpun diberikan selaras dengan kaedah-kaedah yang akan ditetapkan kelak di samping mengambil kira norma-norma di peringkat antarabangsa.

Monday, September 12, 2011

UNIVERSITI PERDANA

SERDANG 12 Sept. – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melancarkan Universiti Perdana dan mengumumkan kerajaan akan menyediakan biasiswa yang besar kepada rakyat Malaysia yang dipilih menuntut jurusan perubatan di kedua-dua sekolah perubatan universiti itu.

Biasiswa itu adalah bagi penuntut Sekolah Graduan Perubatan Universiti Perdana (PUGSOM) dan Sekolah Perubatan Perdana University-Royal College of Surgeons in Ireland (PU-RSCI), kata Perdana Menteri.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini diumumkan sebagai Canselor pertama universiti itu.

Dalam ucapannya, Najib menyifatkan pembukaan universiti itu di sini sebagai langkah yang dapat meletakkan Malaysia dalam peta dunia bagi menyediakan pendidikan dan penyelidikan serta perkhidmatan kesihatan bertaraf dunia.

“Saya berharap bahawa dalam usahanya mencapai tahap bertaraf dunia itu, universiti ini akan berusaha menjalin hubungan dengan institusi tempatan dan bakat-bakat tempatan,” katanya.

Pengambilan pertama seramai 105 penuntut akan mengikuti pengajian mereka di fakulti sementaranya di ibu pejabat Mardi di sini sementara menunggu kampus tetapnya siap pada 2013.

PUGSOM menawarkan buat pertama kalinya di Malaysia, program kemasukan mahasiswa selama empat tahun berdasarkan kurikulum Amerika Syarikat, dengan kerjasama Sekolah Perubatan University Johns Hopkins.

Sekolah Perubatan PU-RCSI pula menawarkan program lima tahun berdasarkan kurikulum konvensional, dengan kerjasama Royal College of Surgeons di Ireland.

Najib berkata, universiti baru itu, yang disifatkannya sebagai hasil satu kerjasama berpandangan jauh antara konsep perkongsian awam-swasta kerajaan dan sektor korporat, merupakan satu mercu tanda buat Malaysia.

“Secara peribadi, saya amat teruja dan begitu yakin ianya akan memberikan hasil yang amat besar dalam mendidik dan memajukan satu generasi baru profesional perubatan dan melengkapkan mereka dengan kemahiran dan kepakaran bagi memenuhi keperluan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang semakin meningkat di seluruh dunia,” katanya.

Perdana Menteri berkata, Universiti Perdana akan menjadi institusi yang menakjubkan, dengan mempunyai dua sekolah perubatan, dan merupakan hospital latihan swasta pertama di Malaysia.

Ia mempunyai 600 katil pelbagai fungsi khas dan sebuah Pusat Penyelidikan Sains Kehidupan bagi meletakkan Malaysia ke hadapan dalam penyelidikan klinikal, katanya.

Najib berkata, Hospital Latihan Universiti Perdana dicadangkan dibuka pada 2013 bagi menempatkan penuntutnya yang memasuki tahun-tahun klinikal mereka, dan ia akan dikendalikan oleh Johns Hopkins Medicine International.

“Dengan menawarkan kemudahan terkini bagi tujuan diagnostik dan rawatan, ia akan menjadi antara institusi utama dalam memacu Malaysia ke arah pelancongan kesihatan, sebagai satu model perubatan persendirian dalam era abad ke-21 dan satu simbol antarabangsa bagi kecemerlangan dalam perkhidmatan kesihatan,” kata Perdana Menteri.

Pengerusi Lembaga Pengelola Universiti Perdana, Tan Sri Dr. Mohan Swami berkata, separuh daripada penuntut universiti itu adalah tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam. – BERNAMA