PETALING JAYA, 11 Feb -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jumaat berkata "Agensi Inovasi Malaysia" tidak akan dibentuk menjadi satu jabatana kerajaan tetapi akan menjadi satu pertubuhan bebas yang berorientasikan mesra perniagaan.
Najib berkata agensi itu akan mengambil warga kerja yang berpengalaman di dalam sektor awam dan korporat.
"Kita akan mengambil warga kerja dari sektor swasta serta yang berpengalaman kerja di dalam sektor korporat, malah sesetengah daripada mereka kemungkinan berpengalaman kerja di dalam Industri Kecil dan Sederhana (IKS). apabila kita adun mereka, kita akan dapat satu jentera yang memahami masalah yang dihadapi oleh komuniti perniagaan yang termasuk IKS.
"Saya ingin menekankan perkara ini bagi memastikan anda bahawa pertubuhan baharu itu akan menjadi mesra perniagaan di mana ia akan dianggotai oleh warga kerja yang mempunyai pengalaman kerja di dalam sektor perniagaan sebelum menyertai pertubuhan itu," katanya.
Najib berkata demikian semasa sesi soal jawab di Rumah Terbuka Tahun Baru Cina dan taklimat mengenai "Agensi Inovasi Malaysia" anjuran IKS Malaysia di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sungai Way di sini pada Jumaat.
Semasa berucap sebelum itu, Najib berkata kesemua aktiviti inovasi akan dipusatkan di bawah satu Badan Berkanun yang dinamakan "Agensi Inovasi Malaysia."
Katanya satu Rang Undang-Undang bernama "Akta Agensi Inovasi Malaysia 2010" yang dilukuskan oleh kedua-dua Dewan Rakyat dan Dewan Negara, menjadi permulaan kepada penubuhan Agensi Inovasi Malaysia.
Najib juga berkata kerajaan sedang di dalam proses menderaf Dasar Inovasi Negara yang akan menyediakan kerangka bagi kerajaan untuk menjadi lebih responsif dan memudahkan garis panduan bagi keperluan inovasi anda.
"Kami sedang mengkaji ekosistem inovasi di negara ini, untuk melakukan perubahan yang diperlukan supaya Malaysia boleh menjadi satu negara berinovasi," katanya.
Perdana Menteri berkata Malaysia memerlukan penyertaan aktif dari IKS di dalam sektor swasta yang melaksanakan inovasi.
"Kerajaan boleh menyediakan ruang dan usaha yang memudahkan tetapi akhirnya andalah yang perlu melakukan pelaksanaannya. Andalah yang perlu mencapaikan kejayaan daripada usaha yang dilakukan dan membawa pulang hasil perolehannya," katanya.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Maximus Ongkili mengemukakan Rang Undang-undang Inovasi Malaysia 2010 pada Disember tahun lepas yang bertujuan menubuhkan agensi berkenaan yang akan mempunyai kuasa untuk merangsang dan membangunkan ekosistem inovasi di Malaysia ke arah mencapai Wawasan 2020.
Fungsi agensi itu antara lain adalah untuk merumuskan dasar, strategi dan haluan negara berhubung dengan inovasi, menggalak dan memudahkan aktiviti dan inisiatif pelaburan oleh sektor awam dan swasta berhubung dengan inovasi, menggalakkan lagi budaya inovasi dalam sektor awam, swasta dan pendidikan di Malaysia serta menasihati kerajaan dalam perkara berkaitan inovasi.
Agensi Inovasi Malaysia akan diuruskan oleh suatu Majlis Tadbir Urus yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri. Ia dianggotai oleh Menteri yang bertanggung jawab bagi sains, teknologi dan inovasi, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Pengajian Tinggi, Kewangan, Menteri yang bertanggung jawab bagi Unit Perancang Ekonomi, seorang Ketua Pegawai Eksekutif selain sepuluh anggota lain yang berkelayakan.
Rang undang-undang itu turut mengadakan peruntukan mengenai penubuhan khazanah pusat harta intelek negara dan peruntukan mengenai kuasa agensi untuk memperoleh apa-apa harta intelek daripada apa-apa dapatan penyelidikan atau projek yang dibiayai sepenuhnya atau sebahagiannya oleh Kerajaan, dan mana-mana badan atau organisasi atau harta intelek milik persendirian dengan melalui perjanjian.
Kesemua harta intelek yang diperolehi itu hendaklah kemudiannya didaftarkan dalam khazanah pusat harta intelek negara.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment