Sunday, October 30, 2011

SYOR WUJUD WEO UNTUK TANGANI ALAM SEKITAR


pbb

KUALA LUMPUR: Malaysia semalam mencadangkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menubuhkan Pertubuhan Alam Sekitar Sedunia (WEO) bagi memacu usaha global untuk alam sekitar.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata cadangan penubuhan badan alam sekitar itu perlu bagi memudahkan dan membantu negara anggota memenuhi komitmen hasil daripada persetujuan bersama mereka.

Katanya, hanya melalui penambahbaikan besar sistem urus tadbir, membolehkan dunia menangani cabaran alam sekitar yang mapan. Ia hampir mustahil untuk negara membangun mengambil bahagian secara bermakna. Negara yang boleh menampung sistem berkenaan hanyalah yang kaya sementara negara yang membangun dinafikan haknya.

Badan baru seperti WEO boleh membantu penyertaan negara membangun dengan cara yang lebih realistik dan bermakna.

Teks ucapan Najib dibacakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.
Perdana Menteri berkata, sejak beberapa tahun lalu, masyarakat antarabangsa menerima ratusan perjanjian alam sekitar (MEA) pelbagai hala, semuanya dengan sekretariat dan pentadbiran masing-masing.

Antara 1992 hingga 2007, menerusi 18 MEA besar saja, 540 mesyuarat diadakan yang menghasilkan lebih 5,000 keputusan yang sepatutnya diambil tindakan oleh negara yang terbabit, katanya.

Najib berkata, kongres di Brazil dari 4 hingga 6 Jun tahun depan, akan memberi peluang yang kena pada masanya bagi meneliti norma dan prinsip keadilan, urus tadbir dan undang-undang kemapanan alam sekitar dan kaitan antaranya.

Beliau berkata, kongres itu perlu menyediakan peluang untuk mengambil keputusan terhadap langkah kepada evolusi dan pelaksanaan norma dan prinsip berkenaan, yang akan menyediakan cara menangani cabaran kemapanan abad ke-21.

Najib berkata, peserta mesyuarat persediaan itu akan berpeluang menyampaikan mesej jelas bagaimana mereka boleh bergerak pada pelbagai peringkat urus tadbir alam sekitar antarabangsa dengan membawa perspektif baru untuk dibahaskan.

Menurut Najib, mesyuarat persediaan ini adalah penting kerana ia akan memberi peluang untuk meletak asas kepada perbincangan yang akan dibuat di Kongres Sedunia. Kongres Sedunia adalah peluang unik untuk dilibatkan perbahasan mengenai urus tadbir Rio+20 dan menjadi peserta aktif, terutama untuk negara membangun yang cadangannya menyamai keperluan kita untuk pembangunan.

Pengarah Bahagian Undang-Undang Alam Sekitar dan Konvensyen Program Alam Sekitar PBB, Bakary Kanter, berkata cadangan Perdana Menteri ke arah kelestarian alam sekitar adalah langkah besar untuk alam sekitar global.

Ini pertama kali seorang pemimpin menyatakan pandangan maju mengenai WEO. Perdana Menteri memahami bagaimana alam sekitar adalah penting kepada masa depan negara ini dan dunia.

Disunting Daripada Berita Harian

No comments:

Post a Comment