Thursday, December 22, 2011

TAK PERLU PINDA PERLEMBAGAAN

KUALA LUMPUR: Tiada keperluan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan jika dakwat kekal digunakan pada pilihan raya akan datang, sebaliknya hanya perlu meminda Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981.

Perkara berkenaan dijelaskan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail pada mesyuarat kali kelima Jawatankuasa Pilihan Khas Berhubung Dengan Penambahbaikan Proses Pilihan Raya di Parlimen, semalam.

Pengerusi Jawatankuasa, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, berkata penggunaan dakwat kekal hanya memerlukan pindaan atau pertambahan peruntukan dan persetujuan daripada Yang di-Pertuan Agong serta dibentangkan di Parlimen. Peguam Negara menjelaskan penggunaan dakwat kekal secara lisan dan kita berpuas hati dengan beliau. Jika SPR bercadang melaksanakan penggunaan dakwat kekal pada bila-bila masa, ia tidak membabitkan pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan.

Merekaakan mempertimbangkan penjelasan itu sebelum membuat resolusi mengenai perkara berkenaan. Beliau berkata pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas Berhubung Dengan Penambahbaikan Proses Pilihan Raya di Parlimen.

Mengenai cadangan pendaftaran pemilih yang berusia 21 tahun ke atas secara automatik, Dr Maximus berkata, Peguam Negara berpendapat ia memerlukan pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan bagi Perkara 119 (4)(b) dan peraturan pilihan raya berkaitan. Perkara 119 (4)(b) bagi menjelaskan tarikh kelayakan yang bermaksud tarikh seseorang itu memohon supaya didaftarkan sebagai pemilih.

Mesyuarat jawatankuasa akan menimbangkan perkara ini dan membuat ketetapan dari segi resolusi dan pandangan bagi laporan kepada Dewan Rakyat. Mengulas mengenai kenyataan Abdul Gani yang bercanggah berhubung penggunaan dakwat kekal pada 2008, Dr Maximus berkata, beliau masih konsisten dengan pandangannya. Beliau sudah meminta Peguam Negara untuk menyediakan surat secara hitam putih berhubung perkara berkenaan dan menyerahkan kepada jawatankuasa itu Isnin depan. Bagaimanapun, Abdul Gani yang ditemui selepas mesyuarat itu enggan mengulas lanjut.

ASEAN CADANG SATUKAN FTA

ASEAN serta rakan dialog sedang mengkaji kemungkinan memperluaskan serta memantapkan lagi integrasi ekonomi dengan mewujudkan hanya satu Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) antara pertubuhan

serantau 10 negara anggota itu dengan kesemua rakan perdagangannya di kawasan Asia Timur.

Kini ASEAN sudah mewujudkan FTA secara berasingan dengan enam rakan dialog di kawasan Asia Timur iaitu FTA Asean-China (2005), FTA Asean-Korea (2006), FTA Asean-Jepun (2009), FTA Asean-India (2010) dan FTA Asean-Australia dan New Zealand (2010).

Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata untuk memastikan pemusatan ASEAN dikekalkan dalam proses perluasan itu, Menteri-menteri Ekonomi ASEAN menggariskan satu set prinsip umum dalam usaha memperluas dan memperdalam hubungan ASEAN dengan rakan FTA masing-masing.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-19 di Bali, Indonesia katanya, memperakukan Rangka Kerja Serantau bagi Kerjasama Komprehensif.

Pemimpin ASEAN juga memperakukan pelan kerja bagi ASEAN untuk mewujudkan templat ASEAN + 1 FTA, dengan mengambil kira Kawasan Perdagangan Bebas Asia Timur (EAFTA – ASEAN+3) dan Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif (ASEAN + 6), katanya kepada wartawan Malaysia.

Mustapha mewakili Malaysia pada Mesyuarat Persediaan Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN untuk Sidang Kemuncak ASEAN dan Sidang Kemuncak Berkaitan.


Beliau berkata, Sidang Kemuncak ASEAN ke-19 bersetuju menerima cadangan bersama oleh Jepun dan China agar tiga kumpulan kerja dibentuk bagi menjalankan kajian integrasi berkenaan iaitu Kumpulan Kerja Perdagangan, Kumpulan Kerja Sektor Perkhidmatan dan Kumpulan Kerja Pelaburan.

Katanya, ketiga-tiga kumpulan kerja itu akan meneliti butiran terperinci modaliti bagi integrasi ekonomi itu dan semua rakan perdagangan FTA akan kemudian turut diundang menyertai kumpulan kerja berkenaan.

Beliau berkata, sidang kemuncak itu mengarahkan supaya semua kerja berkaitan dengan tempat dan modaliti berkaitan dengan tiga kumpulan kerja itu dimuktamadkan sebelum Sidang Kemuncak ASEAN ke-21 pada November 2012.

Seorang ahli ekonomi yang dihubungi Berita Harian berkata, senario ekonomi global semasa memberi motivasi kepada negara ASEAN untuk bergerak lebih pantas dari segi integrasi ekonomi dan perdagangan.

Keadaan ekonomi Amerika Syarikat dan Eropah menjadikan agenda berkenaan lebih diperlukan dan rancangan ke arah integrasi itu akan dilaksanakan dengan segera.

Ketika Asia mencatatkan prestasi yang baik, fokus perlu digerakkan kepada ekonomi dan perdagangan yang lebih baik di kalangan negara ASEAN serta dengan pasaran luar secara bersepadu, katanya.

2,250 PELUANG KERJA PERTANIAN

2,250 PELUANG KERJA PERTANIAN

PUTRAJAYA: Kira-kira 2,250 peluang pekerjaan baru berkaitan pertanian akan diwujudkan menerusi penyertaan enam syarikat swasta dalam empat projek permulaan (EPP) di bawah Bidang Utama Ekonomi Negara (NKEA) sektor itu.


Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar, berkata penyertaan enam syarikat peneraju, Natureceuticals Sdn Bhd (Natureceuticals); Aning Resources Sdn Bhd (Aning Resouces); Nova Laboratories Sdn Bhd (Nova Laboratories); Hannan Corporation Sdn Bhd (Hannan); Pegagau Speciality Sdn Bhd (Pegagau Speciality) dan Allied Dairy Sdn Bhd (Allied Dairy) dalam melaksanakan projek di bawah NKEA pertanian, dijangka dapat menyumbangkan RM2.38 bilion kepada pendapatan negara kasar (PNK).

Noh berkata, perjanjian antara kementerian dan agensi di bawahnya dengan enam syarikat berkenaan yang ditandatangani semalam itu bagi melaksanakan projek di bawah NKEA adalah peringkat permulaan untuk mencapai sasaran PNK berjumlah RM21.44 bilion dan menawarkan 74,000 peluang pekerjaan menjelang 2020. Perjanjian dengan syarikat peneraju adalah bagi menggalakkan syarikat memainkan peranan sebagai penaung berpandukan kepada konsep syarikat peneraju di bawah syarikat swasta yang berkemampuan. Noh Omar, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Perjanjian dengan syarikat peneraju adalah bagi menggalakkan syarikat memainkan peranan sebagai penaung berpandukan kepada konsep syarikat peneraju di bawah syarikat swasta yang berkemampuan.

Ia juga memberi peluang kepada pengusaha berskala kecil untuk turut sama melalui skim ladang kontrak selain menyediakan program latihan dan perantisan serta pekerjaan. Ini termasuk pemindahan kepakaran serta khidmat nasihat pengurusan supaya pembangunan aktiviti pertanian setempat dapat berjalan melalui pembiayaan ini. Enam perjanjian itu membabitkan Natureceuticals, Aning Resources dan Nova Laboratories dengan kementerian dalam EPP pembangunan produk herba bernilai tinggi yang dapat mewujudkan 1,200 peluang pekerjaan dan menyumbang RM1.84 bilion kepada PNK.


Dua syarikat lagi, Hannan Corporation dan Pegagau Speciality menandatangani perjanjian dengan Jabatan Perikanan dalam EPP pembangunan ternakan dalam sangkar secara bersepadu dan model akuakultur. Perjanjian itu dijangka dapat mewujudkan 850 peluang pekerjaan dan menyumbang RM430 juta kepada PNK. Perjanjian antara Allied Dairy dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) bagi EPP Pembangunan Kelompok Ladang Tenusu pula dijangka menyumbang RM105 juta kepada PNK dan 200 peluang pekerjaan.

DASAR-DASAR KERAJAAN DALAM MEMBENTUK PERPADUAN

PENGENALAN
Perpaduan ialah satu proses yang menyatupadukan anggota masyarakat dan negara keseluruhannya melalui ideologi negara supaya tiap-tiap anggota masyarakat dapat membentuk satu identiti dan nilai bersama serta satu perasaan kebangsaan bersama di kalangan mereka.

Perpaduan memainkan peranan penting dalam memacu kestabilan & kemajuan negara. Sejak merdeka lagi, kerajaan telah memupuk semangat perpaduan dalam memakmurkan negara kita. Pelbagai dasar telah dijalankan untuk mencapai proses perpaduan ini. Tanpa perpaduan, kemajuan negara yang ingin dicapai untuk Wawasan 2020 tidak mungkin akan menjadi kenyataan kerana kerjasama diperlukan untuk menjana kemajuan.

DASAR PERPADUAN
Dalam membentuk perpaduan kaum, kerajaan perlu menjalankan dasar perpaduan supaya rakyat Malaysia menjadikan dasar ini sebagai pegangan mereka dalam mencapai perpaduan kaum yang harmoni. Dasar perpaduan boleh dicapai melalui dua cara iaitu:

1) Integrasi
Integrasi merupakan satu proses bagi mewujudkan satu identiti nasional di kalangan kumpulan-kumpulan yang terpisah dari segi kebudayaan, sosial dan lokasi dalam sesebuah unit politik.
2) Asimilasi.
Manakala asimilasi pula ialah satu proses bagaimana kumpulan-kumpulan minoriti diasimilasikan melalui perkahwinan campur dan sebagainya ke dalam kumpulan etnik yang lebih besar.

DASAR-DASAR KERAJAAN DALAM MEMBENTUK PERPADUAN

1) DASAR PENDIDIKAN – FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN
2) AKTA BAHASA KEBANGSAAN- Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu.
3) DASAR KEBUDAYAAN KEBANGSAAN
4) SUKAN ALAT PERPADUAN
DASAR PENDIDIKAN: Sistem pendidikan yang berbeza.
-Punca masalah perpaduan-
1) Jika kita lihat pada zaman British dahulu, sistem pendidikan kita berpandukan dasar pendidikan British pada abad ke-19. Sistem ini hanya dijalankan di Negeri-negeri Selat (Melaka, Pulau Pinang & Singapura). Negara kita dahulu terikat dengan pendidikan yang dijalankan oleh penjajah iaitu British yang mementingkan pendidikan untuk kepentingan mereka sendiri.

2) Pada zaman itu, pihak British memberi keutamaan kepada pelajaran Melayu dan Inggeris. Pendidikan untuk orang Melayu diberikan untuk diberi jawatan rendah kerajaan sama ada sebagai kerani atau guru. Pendidikan Cina dan Tamil dibiarkan berkembang secara sendirian. Pendidikan ini dikenali sebagai pendidikan vernakular.

3) Pendidikan kaum Cina menggunakan bahasa Mandarin sebagai bahasa pengantar, gurunya & buku teks didatangkan dari China. Mereka mempunyai sistem pendidikan yang tersendiri.

4) Pendidikan kaum India menggunakan bahasa Tamil sebagai bahasa pengantar di sekolah. Kebanyakan sekolah Tamil ini terletak di kawasan ladang getah atau kopi.

5) Sekolah Inggeris pula dianggap sistem persekolahan yang unggul pada zaman penjajahan British. Sekolah ini terdedah dengan budaya pemikiran Barat. Tambahan pula, sukatan pembelajaran pelajaran juga tidak sama dengan sistem pendidikan sekolah lain menyebabkan perpecahan perpaduan kaum berlaku.

Jelas sekali bahawa British sengaja mengasingkan sistem pendidikan antara semua kaum supaya perpaduan kaum tidak berlaku. Jika perpaduan kaum berlaku, akan wujud kesedaran berpolitik antara kaum dan sekali gus menggugat penjajahan British di Tanah Melayu. Pihak Inggeris tidak memberatkan objektif perpaduan dalam sistem pelajarannya. Tidak ada satu dasar pendidikan kebangsaan sepertimana yang kita lihat hari ini. Yang penting bagi mereka ialah memberi pelajaran kepada segolongan rakyat untuk membolehkan sebahagian mereka memenuhi keperluan tenaga dan ekonomi. Kesimpulannya, perbezaan sistem pendidikan menyebabkan perpaduan kaum sukar wujud suatu ketika dahulu.

DASAR PENDIDIKAN: PENENTU PERPADUAN KAUM.

Dasar pendidikan kerajaan yang mentadbir penting dalam membentuk perpaduan kaum di negara kita. Bermula dengan Laporan Barnes ketika zaman penjajahan British dahulu sehinggalah ke Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang dijalankan kini. Berikut telah saya sediakan kronologi dasar-dasar pendidikan kerajaan sejak dahulu:

1) Pada peringkat permulaan, kerajaan British telah memperkenalkan Laporan Barnes pada 1950 sebelum negara ini ingin mencapai kemerdekaan. Tujuannya ialah supaya Tanah Melayu boleh berkerajaan sendiri dengan perpaduan kaum yang berlaku. Tambahan pula, tentangan kuat komunis pada masa itu menyebabkan British khuatir kaum-kaum di negara ini akan terpengaruh dengan komunis sekali gus menyebabkan huru-hara. Laporan Barnes mencadangkan bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa pengantar pada peringkat sekolah rendah serta bahasa Inggeris pada peringkat sekolah menengah & peringkat yang lebih tinggi. Cadangan ini diharapkan dapat merapatkan jurang komunikasi antara kaum serta merapatkan hubungan mereka.

2) Masyarakat Cina menentang cadangan ini kerana dikatakan menggugat bahasa ibunda mereka. Masyarakat Cina mencadangkan Laporan Fenn-Wu supaya sekolah vernakular Cina dikekalkan walaupun mereka bersetuju dengan sistem pendidikan kebangsaan.

3) Ordinan Pelajaran 1952 kemudiannya diperkenalkan dengan mengambil kira kedua-dua laporan di atas. Walau bagaimanapun, ordinan ini tak dapat dijalankan kerana tentangan masyarakat Cina & India, kekurangan kewangan & ancaman komunis.

4) Selepas itu, kerajaan yang dipelopori penduduk Tanah Melayu, Parti Perikatan telah memperkenalkan Penyata Razak 1956 dengan mengemukakan sistem persekolahan yang sama & penyeragaman kurikulum yang bercorak kebangsaan. Penyata ini bertujuan menyuburkan semangat perpaduan kaum.

5) Kemudian, Laporan Rahman Talib diperkenalkan yang menekankan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan & ia menjadi Akta Pelajaran 1961. Jawatankuasa Kabinet telah mengkaji keberkesanan sistem pendidikan serta mempertingkatkan kualitinya dengan pelaksanaan Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) & Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM).

6) Jika kita lihat pada sistem pendidikan kini, kerajaan telah melaksanakan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang menjadi pelengkap kepada Dasar Pendidikan Kebangsaan. Dasar ini penting dalam memupuk perpaduan kaum & integrasi nasional.
Sebagai intiha, dasar pendidikan yang kerajaan jalankan menitikberatkan dasar dalam membentuk perpaduan. Sebagaimana yang dinyatakan sebelum ini & kajian sejarah yang diperoleh, DASAR PENDIDIKAN MEMBENTUK PERPADUAN KAUM.

BAGAIMANA PENDIDIKAN BOLEH MEMBENTUK PERPADUAN

Persoalan besar yang dihadapi para pemimpin dan pendidik selepas Perang dunia Kedua ialah mencari formula untuk melahirkan satu masyarakat Malaysia yang bersatu padu, yakni masyarakat majmuk yang mempunyai keazaman, kesanggupan dan kesediaan untuk hidup bersama dengan rukun dan damai serta mempunyai kesedaran, keperibadian dan nilai-nilai sebagai rakyat Malaysia.

Satu cara yang penting untuk mewujudkan perpaduan di dalam sesebuah negara ialah menerusi pendidikan. Dalam konteks Malaysia, hakikat bahawa pendidikan merupakan faktor unggul dalam membina kerakyatan yang tunggal telah lama disedari. Berikut merupakan cara bagaimana sistem pendidikan boleh membentuk perpaduan:

1) Sistem persekolahan yang sama bagi semua
Pada asasnya Laporan Razak mencadangkan penubuhan sekolah-sekolah umum yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantarnya dan sekolah-sekolah jenis umum menggunakan bahasa pengantar Cina, Tamil dan Inggeris. Kepentingan bahasa Melayu sebagai bahasa untuk perpaduan jelas dinyatakan. Laporan ini telah menjadi rujukan sebagai dasar pendidikan kerajaan sehingga kini & bahasa Melayu telah menjadi bahasa pengantar di semua peringkat sekolah.

2) Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama.
Cara paling penting untuk menyatupadukan masyarakat berbilang kaum di Malaysia ialah melalui penggunaan bahasa kebangsaan. Penggunaan satu bahasa perhubungan dan persefahaman di antara satu kaum dengan yang lain dapat diwujudkan tanpa menimbulkan rasa curiga. Langkah ini mempercepatkan lagi perpaduan dan rasa harmoni antara kaum di negara ini.

3) Kurikulum yang sama

Kurikulum ialah satu rancangan pendidikan yang terkandung di dalamnya segala ilmu pengetahuan serta kemahiran, nilai-nilai dan norma, unsur-unsur kebudayaan dan kepercayaan yang telah menjadi pilihan masyarakat untuk diperturunkan kepada ahli-ahlinya. Peranan kurikulum dalam pendidikan adalah untuk membina perkembangan pelajar yang lengkap dari segi jasmani, rohani, akal dan emosi. Dalam konteks negara Malaysia, kurikulum juga berperanan untuk melahirkan rakyat yang mendukung cita-cita negara dalam mewujudkan perpaduan yang berpandukan Rukun Negara di samping menghasilkan tenaga rakyat yang terlatih untuk keperluan negara (modal insan).

4) Sukatan pelajaran yang seragam

Sukatan pelajaran yang sama isi kandungannya yang disyorkan oleh Penyata Razak adalah dianggap sebagai salah satu asas sistem pelajaran kebangsaan bagi mewujudkan perpaduan negara.

Mata pelajaran Sejarah memainkan peranan penting ke arah matlamat pembangunan. Melalui pelajaran Sejarah diharapkan dapat membina semangat perpaduan dan perasaan hormat menghormati terutama dalam masyarakat yang berbilang kaum, agama dan adat resam. Sukatan pelajaran yang seragam membolehkan pandangan dunia (world view) setiap kaum di Malaysia hampir sama & tidak mewujudkan perselisihan dalam persefahaman.

5) Peperiksaan yang seragam

Rancangan kerajaan untuk menyeragamkan kurikulum di sekolah-sekolah telah diperkukuhkan lagi dengan mewujudkan satu sistem peperiksaan yang seragam. Dengan adanya sukatan pelajaran dan peperiksaan yang seragam, pelajaran para pelajar tidaklah terganggu apabila terpaksa berpindah sekolah. Langkah ini boleh menolong proses menyatupadukan pelajar berbilang kaum di samping mewujudkan keperibadian yang sama.

Jika kita lihat sekarang, dasar pendidikan yang dijalankan kerajaan kini menampakkan hasilnya. Oleh itu, ditekankan bahawa pendidikan menjadi alat membentuk perpaduan kaum. Belajar & kajilah sejarah untuk mendapatkan manfaat berguna & meningkatkan kualiti hidup kita. Kita sepatutnya mencontohi Dr. Mahathir Mohamad yang rajin membaca & mengkaji bahan sejarah serta berjaya menaikkan nama Malaysia di persada dunia dengan kekuatan pembacaannya.
AKTA BAHASA KEBANGSAAN- Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu.

Akta ini diluluskan pada tahun 1967. Akta ini memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan seperti yang termaktub dalam perlembagaan & menjadi jaminan kepada perpaduan rakyat Malaysia. Pada tahun 1982, bahasa Melayu menjadi bahasa pengantar di sekolah dan menjadi bahasa yang digunakan di mahkamah pada 1990.

Akta ini mewujudkan penggunaan satu bahasa perhubungan dan persefahaman di antara satu kaum dengan yang lain tanpa menimbulkan rasa curiga.
DASAR KEBUDAYAAN KEBANGSAAN

Dasar ini menjadi panduan pembentukan & pengekalan identiti rakyat Malaysia.
Objektif dasar ini dijalankan adalah untuk mengukuhkan perpaduan melalui kebudayaan. Sebagai contoh, kerajaan telah menjalankan perarakan Citrawarna Malaysia pada tahun 2001 yang menyaksikan persembahan pelbagai budaya kaum masing-masing. Selain itu, tujuannya juga ialah memelihara keperibadian kebangsaan & meningkatkan kualiti kehidupan rakyat Malaysia.

SUKAN ALAT PERPADUAN

Dasar ini bertujuan untuk menyemarakkan semangat patriotik rakyat. Majlis Sukan-Sukan Malaysia (MSSM) yang ditubuhkan pada peringkat sekolah & Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) adalah contoh dasar ini. Ia mengeratkan perpaduan kaum & hubungan antara negeri.

Jika kita lihat sekarang ini, Sukan Olimpik Beijing yang berlangsung telah menyemarakkan semangat patriotik rakyat negara kita. Pelbagai kaum bersatu padu memberi sokongan & dorongan untuk membolehkan Malaysia mendapat pingat.

Terbaru ini, Lee Chong Wei telah mara ke suku akhir & menjadi harapan rakyat untuk mendapatkan pingat emas pertama Malaysia.

TARGET NEGARA MAJU 2020

Idea wawasan ini digagaskan oleh Perdana Menteri kita yang ke-4, Datuk Seri Mahathir Mohamad pada 28 Februari 1991. Idea ini dicelup daripada sejarah kemajuan Jepun iaitu ketika zaman pemerintahan Mikado Meiji, beliau telah menetapkan dalam masa 30 tahun pemerintahannya, Jepun menjadi negara maju setanding dengan negara maju lain.
Kita lihat bagaimana seorang pemimpin kita seperti Tun Dr. Mahathir Mohamad yang kuat membaca & mengkaji sejarah telah mengaplikasikannya dalam memajukan negara kita. Beliau mempunyai pandangan yang jauh & bijak mentadbir negara. Beliau menetapkan tahun 2020 negara Malaysia akan menjadi negara industri yang maju di dunia.

Target:

Menjadikan Malaysia sebagai negara industri maju dengan menggunakan acuan tersendiri setanding negara-negara maju dunia. Kemajuan yang diharapkan bukan seperti di negara-negara maju di Barat yang menitikberatkan kemajuan fizikal tetapi menekankan kemajuan bersepadu.

Kemajuan bersepadu yang dimaksudkan ialah perpaduan rakyat, kestabilan politik, ketinggian taraf hidup, kekukuhan nilai moral & etika, kekukuhan sistem kerajaan, ketinggian maruah bangsa serta semangat keyakinan bangsa.
Sebagai rakyat jelata, kita perlulah mencapai target Wawasan 2020 ini dalam menjadikan Malaysia sebagai negara industri maju setanding dengan negara-negara maju lain di dunia.

Oleh itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada zaman pemerintahannya telah menetapkan 9 cabaran yang perlu ditempuhi negara dalam mencapai status negara maju.

Dengan mengetahui kelemahan-kelemahan yang perlu kita atasi, mudahlah bagi kita membuat ‘checklist’ bagi cabaran yang diatasi untuk merealisasikan Wawasan 2020.

1. Membina bangsa Malaysia yang bersatu padu
2. Membina bangsa yang berjiwa bebas, tenteram & berkeyakinan.
3. Memupuk & membina masyarakat demokratik yang matang.
4. Mewujudkan masyarakat yang bermoral & beretika.
5. Mewujudkan masyarakat yang matang, liberal & bertoleransi.
6. Membina masyarakat yang maju & saintifik.
7. Masyarakat yang berbudaya penyayang.
8. Menjamin masyarakat yang adil & saksama ekonominya.
9. Memupuk & membina masyarakat makmur.
Bagi mencapai status negara maju, perpaduan menjadi tunjangya & dingatkan bahawa PERPADUAN TERAS KEJAYAAN negara.

KEJAYAAN MALAYSIA DALAM MEMBENTUK PERPADUAN PADA MATA DUNIA

Datuk Seri Abdullah Badawi berkata, Malaysia kini dijadikan contoh kajian oleh Universiti Cambridge atas kejayaannya mewujudkan perpaduan pelbagai kaum.

Menurut Abdullah, mereka mengambil Malaysia sebagai satu-satunya contoh bagi mengkaji tentang hubungan baik di antara pelbagai kaum dan yang menganut agama yang berbeza.

``Kajian itu adalah tentang apa yang berlaku di Malaysia dan boleh dipelajari,'' katanya kepada pemberita pada 15 Disember 2007.

Wednesday, December 21, 2011

NOVEL KONSERTO TERAKHIR GANTI INTERLOK

KUALA LUMPUR, (Bernama) - Novel "Konserto Terakhir" karya Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain akan menggantikan novel "Interlok" sebagai teks Komponen Sastera (Komsas) bagi pelajar Tingkatan 5 mulai tahun depan.
Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Seri Abdul Ghafar Mahmud berkata penggantian teks Komsas bagi mata pelajaran Bahasa Malaysia itu melibatkan pelajar bagi Zon Dua meliputi Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya serta Selangor.
"Novel Konserto Terakhir telah melalui proses penyaringan dan pemilihan yang ditetapkan, dan sesuai digunakan sebagai teks Komsas berdasarkan nilai-nilai dan mutu karya yang dihasilkan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Pada 14 Dis lepas, kabinet memutuskan bahawa penggunaan novel Interlok, yang juga karya Abdullah, sebagai teks Komsas Tingkatan Lima tidak akan diteruskan mulai tahun depan.
Keputusan itu dibuat berikutan timbulnya rasa kurang senang sesetangah masyarakat selain bagi mengelak mana-mana pihak daripada terus mempolemikkannya.
Novel Konserto Terakhir, yang pernah dijadikan teks Komsas Tingkatan Lima di Zon Dua dari tahun 2000 hingga 2010, berkisar mengenai perjuangan hidup dan kegigihan seorang anak muda dari kampung yang berhijrah ke bandar untuk mencari pekerjaan dan akhirnya berjaya menjadi seorang seniman besar negara.

Thursday, December 8, 2011

Yang di-Pertuan Agong anugerahi Sultan Muhammad V

KOTA BHARU: Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin berkenaan menganugerahkan darjah kebesaran Darjah Utama Seri Mahkota Negara (DMN) kepada Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V, di Istana Kubang Kerian di sini, semalam.

Penganugerahan itu disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, bagi mewakili Tuanku Mizan Zainal Abidin pada majlis rasmi yang diadakan petang semalam.


Turut hadir menyaksikan penganugerahan terbabit Tengku Mahkota Kelantan, Dr Tengku Muhammad Faiz Petra, kerabat diraja Kelantan dan isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Sidek Hassan; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Timbalan Menteri Kewangan, Senator Datuk Dr Awang Adek Hussin dan Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Mohd Fatmi Che Salleh.


Pada majlis berasingan, Sultan Muhammad V, berkenan menyampaikan Darjah Kebesaran Ahli Yang Pertama (Seri Paduka) bagi Darjah Kebesaran Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (Al-Muhammadi I) (SPMK) kepada Rosmah.