Monday, February 20, 2012

PENDAPATAN PERKAPITA MALAYSIA NAIK LEBIH RM28,000 SETAHUN

EKONOMI Malaysia terus berkembang seperti dibuktikan menerusi pendapatan perkapita yang meningkat ketara sejak 1970, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Beliau berkata, pendapatan perkapita meningkat kepada lebih US$9,000 (kira-kira RM28,000) setahun pada akhir tahun lalu berbanding hanya US$376 (RM1,159) pada 1970.

Katanya pada sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Pusat Pembangunan Sumber Manusia Selangor (SHRDC) dan enam syarikat utama yang menyertai program Bakat Berpendapatan Tinggi-Jurutera Saintis Penyelidikan (HIT-RSE) di Shah Alam semalam.

Program itu yang dilancarkan pada November tahun lalu antara SHRDC dan Talent Corporation Malaysia Bhd (TalentCorp), adalah antara program yang diluluskan menerusi Program Transformasi ekonomi (ETP).

Ia bertujuan meningkatkan peluang pekerjaan kepada graduan dalam kerjaya bidang elektrik dan elektronik, minyak dan gas serta telekomunikasi.

Syarikat yang terbabit dalam program itu adalah Marvell Semiconductor Sdn Bhd, Spansion (Penang) Sdn Bhd, Agilent Technologies Microwave Products (M) Sdn Bhd, Renesas Semiconductor KL Sdn Bhd, Technip Geoproduction (M) Sdn Bhd dan Rohde and Schwarz (M) Sdn Bhd.

MoU itu adalah selaras dengan matlamat TalentCorp untuk membangunkan kumpulan bakat Malaysia menerusi pelaksanaan inisiatif seperti Program Latihan Berstruktur (SIP).
SIP membolehkan majikan memperoleh kumpulan bakat yang lebih besar.

Mengulas lanjut, Nor Mohamed yang juga tokoh penting dalam Lembaga Pemegang Amanah TalentCorp, berkata aspirasi negara untuk menjadi negara berpendapatan tinggi hanya boleh dicapai menerusi pertumbuhan yang dipacu oleh produktiviti, inovasi dan kecekapan yang tinggi.

Oleh itu katanya institusi latihan seperti SHRDC mempunyai peranan penting dalam membangunkan tenaga kerja berbakat tinggi yang mampu merealisasikan hasrat itu.

"Meningkatkan kemahiran dan keupayaan bakat sedia ada dan akan datang sangat penting bagi menyediakan bakat bersesuaian," kata Nor Mohamed.

Sementara itu, Pengerusi SHRDC, Tham Wai Keong, berkata MoU itu mencerminkan komitmen pusat itu dalam mengeluarkan kumpulan bakat untuk menggerakkan negara ke hadapan, seperti yang dilakukan sejak 20 tahun lalu.

Berita disunting daripada Berita Harian

CYBERJAYA DIPILIH BANDAR MASA DEPAN

CYBERJAYA, yang dipilih sebagai antara bandar masa depan, FutureCities 2011 Jepun, dipelawa negara matahari terbit itu untuk menghadiri forum antarabangsa mengenai inisiatif bandar masa depan pada 21 Februari ini.


Bandar lain dipilih sebagai FutureCities yang akan berkongsi inisiatif adalah Copenhagen (Denmark), Malmo (Sweden) dan Surabaya (Indonesia).

Inisiatif bandar masa depan Jepun itu bagi menyelesaikan isu alam sekitar dan mewujudkan bandar raya yang memberi tumpuan kepada kemanusiaan.

Ia antara projek strategik Jepun, yang dikenal pasti dalam Strategi Pertumbuhan Barunya yang diputuskan kerajaannya pada Jun 2010.



Berdasarkan inisiatif itu, kerajaan Jepun akan memilih beberapa bandar sebagai model pertama FutureCities di Jepun dan akan mendapatkan maklumat mengenai amalan utama dalam bidang pembangunan bandar mampan di dunia.

Kerajaan Jepun menyasar mencergaskan semula kawasan bandar serta serantau dan merealisasikan ekonomi dan masyarakat mampan.

Pada forum itu kelak, Cyberjaya diwakili Pipah Mohd Nasir, Pengurus Besar Pembangunan Perniagaan Setia Haruman Sdn Bhd yang menjadi pemaju induk bandar itu.

Pipah akan berkongsi inisiatif dan masa depan Cyberjaya, kejayaan dan cabaran merealisasikan matlamat menjadi Bandar Hijau dunia.

Cyberjaya, dilancarkan pada Mei 1997, memulakan agenda teknologi hijau pada 2010 selaras Dasar Teknologi Hijau Malaysia yang dibina atas empat tonggak, iaitu tenaga, ekonomi, alam sekitar dan sosial.

Cyberjaya mempunyai sasaran memenuhi agenda teknologi hijau bersama-sama pihak berkepentingan termasuk Majlis Perbandaran Sepang (pihak berkuasa tempatan), Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Cyberview Sdn Bhd, Perbadanan Pembangunan Multimedia, serta pemaju/pelabur dan komuniti Cyberjaya.

Berita disunting daripada Berita Harian

PUTRAJAYA SASAR BANDAR HIJAU PERTAMA 2017

PUTRAJAYA: Perbadanan Putrajaya (PPj) sedang dan akan melaksanakan pelbagai program bagi membolehkan Putrajaya muncul sebagai bandar hijau pertama di Malaysia dalam tempoh lima tahun akan datang.



Pada masa sama, Samsudin berkata, PPj mensasarkan kadar kutipan harian sisa pepejal untuk program kitar semula dijangka meningkat kepada 20 peratus menjelang 2017.

Matlamat itu bukan mustahil kerana kadar penyertaan orang ramai termasuk penduduk, jabatan kerajaan dan pihak sekolah terhadap program kitar semula di Putrajaya semakin meningkat setiap tahun. Ini terbukti apabila kadar kutipan bahan kitar semula (BKS) mencatatkan peningkatan iaitu 235 tan (2005) kepada 1,260 tan pada 2010 serta meningkat kepada 1,404 tan, pada 2011 iaitu peningkatan 10.4 peratus atau purata 4.2 tan sehari .

Peningkatan ini adalah sejajar dengan usaha dan kempen kesedaran kitar semula berterusan diadakan PPj dengan pihak terbabit kepada kumpulan sasar termasuk penduduk, jabatan, agensi kerajaan, sekolah dan peniaga. Mengulas lanjut, Samsudin berkata, berdasarkan rekod pengumpulan sepanjang 2011, kutipan sampah jenis kertas adalah paling tinggi dengan mencatatkan sebanyak 1,239 tan iaitu 88 peratus kutipan bahan kitar semula, manakala selebihnya ialah terdiri daripada bahan plastik, besi, kaca, aluminium dan sisa buangan elektronik atau 'e-waste'.

Beliau berkata, kutipan terbesar dikutip dari kawasan kompleks bangunan kerajaan dan swasta iaitu 44 peratus, manakala selebihnya 56 peratus BKS dikutip dari Pusat Kitar Semula tetap atau bergerak, kawasan perumahan, sekolah dan lain-lain. Walaupun dari jumlah pengumpulan dicatatkan agak tinggi berbanding bandar lain khususnya Lembah Klang, nisbahnya masih rendah berbanding jumlah sisa pepejal terhasil di bandar ini.

Bagi tahun 2011 sebanyak 13,500 sisa pepajal dikutip dari sekitar Putrajaya kadar kitar kutipan bahan kitar semula adalah rendah iaitu kira-kira 10.4 peratus daripada sisa pepejal terhasil. Jadi kita masih jauh daripada sasaran nisbah 20 peratus BKS daripada sisa pepejal. Bagaimanapun, pujian seharusnya diberikan kepada warga Putrajaya yang mula menunjukkan kesedaran mengenai amalan kitar semula ini.

Berita Disunting Daripada Sumber : Berita Harian

Sunday, February 19, 2012

TAK BOLEH LAKSANA SYARIAH DI AS

COLUMBIA: Bekas Speaker Kongres Amerika Syarikat, Newt Gingrich bersetuju dan tiada masalah jika ada calon Islam bertanding jawatan presiden, dengan syarat orang itu berjanji tidak melaksanakan undang-undang Syariah.


Katanya sokongan kepadanya kepada calon Islam bagi jawatan Presiden Amerika, bergantung sepenuhnya kepada kesediaan beliau untuk tidak melaksanakan peraturan Islam. Beliau mahu calon itu menyatakan sikapnya secara terbuka sebelum saya boleh menyokongnya. Apa yang pasti ia menentang pelaksanaan undang-undang

Dalam ucapannya, Gingrich mendakwa seseorang yang menyembah Allah dan berfikiran moden tidak akan menjadi satu ancaman, sebaliknya seorang yang cara pemikirannya sempit tetapi mahu pandangannya diterima semua pihak, adalah satu ancaman kepada manusia sejagat.

Gingrich mempunyai pandangan berbeza mengenai undang-undang Islam. Beliau memberi contoh peningkatan kesedaran terhadap Islam di Turki, berlaku seiring dengan pertambahan pembunuhan ke atas wanita sebanyak 1,400 peratus.

Katanya, lihat pelaksanaan Syariah di Iran, bagaimana gereja dibakar di Nigeria dan Mesir. Lihat pula kemerosotan jumlah penganut Kristian di Iraq, daripada sejuta orang kepada 200,000 ketika pencerobohan Amerika dan meningkat semula kepada 500,000 orang sekarang.

Berdasarkan semua ini, semuanya bergantung kepada falsafah dan cara pemikiran individu Islam itu sendiri. Jika beliau seorang manusia moden, berintegrasi dalam dunia moden dan sedia mengakui kewujudan semua agama, kita boleh timbang sokongan kepadanya.

Namun, jika warga Arab Saudi meminta kita hormati mereka sedangkan penganut Kristian tidak dibenarkan mengamalkan ajaran agamanya di negara itu, kita juga pasti tidak dapat memberi tanggapan positif kepada mereka.

Dalam sesi soal jawab di Aiken, Gingrich menyifatkan masjid Ground Zero (tapak serangan 11 September) sebagai ‘satu penghinaan secara sengaja ke atas rakyat Amerika Syarikat yang menjadi mangsa keganasan.

Katanya beliau berpendapat, masanya sudah sampai untuk kita mengadakan satu perbincangan secara terbuka dan jujur mengenai radikal Islam.

Gingrich sebelum ini mencetuskan kontroversi apabila menyifatkan penduduk Palestin sebagai masyarakat yang ‘dicipta.’

Mengulas kenyataan terbaru itu, Majlis Perhubungan Islam Amerika, (CAIR) menyifatkan beliau sebagai ‘alat kerajaan Amerika.’

Pengarah Perundangan CAIR, Corey Sayolor dalam kenyataannya berkata, Gingrich adalah antara ahli politik yang paling kuat menentang kehadiran Islam di Amerika.

Katanya visi Gingrich akan memisahkan rakyat Amerika mengikut kepercayaan agama. Idea politik beliau sudak lapuk dan tidak boleh diguna pakai. Masa untuk sikap berat sebelah dalam politik Amerika sudah berlalu.



Berita disunting daripada sumber : Berita Harian

PROGRAM TUKAR MAMPU JANA EKONOMI PENIAGA KEDAI RUNCIT

TESCO Stores (Malaysia) Sdn Bhd komited untuk membantu kerajaan memodenkan perniagaan runcit di negara ini menerusi Program Transformasi Kedai Runcit (TUKAR), yang dijangka mampu menjana pertumbuhan ekonomi.


Ketua Eksekutifnya, Sung-Hwan Do, berkata Tesco amat berbesar hati dapat membantu pemilik kedai runcit kecil untuk beroperasi dengan lebih baik dan setakat ini, mengubah wajah 101 kedai seluruh Semenanjung Malaysia di bawah program itu.

Bercakap kepada Bernama selepas pelancaran semula Pasar Mini Harvest Packaging, iaitu antara peserta di bawah program TUKAR, kelmarin, Do berkata, Tesco akan mengubah wajah 100 lagi kedai tahun ini.

Pelancarannya disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Turut hadir, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.



Program TUKAR dimulakan untuk membantu kedai kecil meningkatkan daya saing mereka menerusi penggunaan teknologi moden. Ia juga menggalakkan pemindahan pemilikan daripada generasi lama kepada generasi baru.



Sementara itu, Pengarah Hal Ehwal Korporat dan Kerajaan Tesco, Azlam Shah Alias, berkata pasar raya besar itu melabur RM150,000 untuk transformasi perintis membabitkan dua kedai di Shah Alam dan Puchong.



Ini adalah kali pertama di dunia, yang mana pasar raya besar membantu mentransformasikan perniagaan kecil. Ia tidak pernah dilakukan di mana-mana juga di dunia, katanya.


Beliau berkata, Tesco memperuntukkan lebih 100 kakitangannya untuk program TUKAR, yang mana mereka bertindak sebagai perunding dengan pekedai runcit dari segi reka letak kedai, rangkaian produk, tempat peraga serta latihan untuk pengurusan operasi kedai moden.



Transformasi ini amat berjaya sekali sehinggakan semua kedai yang menyertainya mencatatkan purata pertumbuhan 40 peratus dari segi pendapatan.

Sebuah kedai di Gombak mencatatkan pertumbuhan jualan 94 peratus. Pemiliknya begitu gembira melihat kedainya begitu moden dan mudah diakses. Hasilnya, ia mencatatkan peningkatan dalam kekerapan dan pembelian pengguna, tambahnya.

Pemilik Pasar Raya Harvest Pac-kaging, Jessica Wong, berkata tiga bulan selepas kedainya dibuka semula, ia mencatatkan kenaikan 30 peratus dalam aliran pengguna dan lonjakan 60 peratus untuk jualan.



Berita disunting daripada Berita Harian

JENAYAH PEMERDAGANGAN TURUN

KUALA LUMPUR: Usaha membanteras jenayah pemerdagangan manusia oleh Malaysia sejak 2009 mula menunjukkan kesan memberangsangkan apabila jumlah kes jenayah rentas sempadan itu menurun setiap tahun.

Perangkaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan sepanjang 2011 hanya 116 kes dilaporkan di seluruh negara, iaitu penurunan 16 kes berbanding 132 pada 2010 dengan keseluruhannya 218 mangsa diselamatkan berbanding 471 pada tahun sebelumnya.

Pada masa sama, seramai 159 orang ditangkap sepanjang tahun lalu kerana disyaki terbabit dalam kegiatan pemerdagangan orang berbanding 195 pada 2011.

Malaysia meningkatkan usaha membanteras pemerdagangan manusia secara serius selepas Amerika Syarikat (AS) meletakkan Malaysia sebagai satu daripada 17 negara pada Tahap Tiga Laporan Pemerdagangan Manusia, iaitu mempunyai rekod buruk dalam jenayah itu.

Bagaimanapun, berikutan kejayaannya sejak 2009, pada 2010 AS menaik taraf Malaysia ke Tahap Dua.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin, berkata pencapaian itu bukan saja menunjukkan pembanterasan kegiatan pemerdagangan orang yang lebih berkesan, malah PDRM dengan kerjasama pelbagai agensi lain turut berjaya melakukan tangkapan berkualiti.

Ia termasuk penahanan dalang utama dalam kegiatan jenayah terancang itu, khususnya membabitkan kes eksploitasi seks, perkhidmatan buruh paksa, penyeludupan dan eksploitasi untuk visa serta sindiket penjualan bayi.

Katanya daripada 159 kes yang ditumpaskan pada 2011, 52 membabitkan eksploitasi seks, 45 perkhidmatan buruh paksa, 10 kes penyeludupan dan eksploitasi untuk visa serta sembilan tangkapan penjualan bayi dengan 132 tangkapan membabitkan rakyat Malaysia, 11 Myanmar dan enam warga Indonesia. Dalam tempoh sama, 55 mangsa warga Myanmar diselamatkan daripada cengkaman penjenayah pemerdagangan orang, selain 54 Indonesia dan 38 dari Pakistan dengan kebanyakannya wanita.

Sementara itu, Mohd Bakri berkata, Bahagian Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman menahan 11,832 wanita warga asing yang terbabit dalam pelacuran sepanjang tahun lalu, dengan 5,922 adalah warga China, Vietnam (2,169) dan Thailand (1,492), menurun berbanding 11,919 tangkapan pada 2010.

Bagaimanapun, katanya, tangkapan wanita tempatan pula menunjukkan peningkatan ketara apabila 1,801 ditahan pada 2011 berbanding hanya 1,060 tahun sebelumnya.

Mereka mendapati, sindiket kini mengubah modus operandi dengan membawa masuk wanita Timur Tengah bagi mengaburi pihak berkuasa selain permintaan pelanggan.

Mohd Bakri berkata, D7 Bukit Aman bersama Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) seluruh negara, melakukan 34,865 serbuan ke atas premis judi haram tahun lalu dengan 24,962 tangkapan, masing-masing peningkatan lebih 10,000 dan 4,000 serbuan serta tangkapan berbanding 2010.

Katanya bagi 2012, mereka memutuskan turut membawa kaki judi ke mahkamah untuk didakwa, berbanding hanya pengendali perjudian atau premis sebelum ini.

Disunting Daripada Berita Harian

Thursday, February 2, 2012

TRIBUNAL TUNTUTAN PENGGUNA

Latar Belakang Tribunal
1. Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) adalah satu badan yang telah ditubuhkan di bawah Seksyen 85, Bahagian XII Akta Pelindungan Pengguna 1999 yang mula berkuatkuasa pada 15 November 1999
2. Bahagian XII Akta mengandungi 38 Seksyen yang menyentuh tentang berbagai aspek Tribunal seperti keanggotaan Tribunal, bidangkuasa Tribunal, prosiding Tribunal, award-award Tribunal dan sebagainya.
Objektif Tribunal
1. Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia adalah merupakan sebuah badan bebas untuk mendengar dan mengadili tuntutan-tuntutan pengguna yang dibuat di bawah Akta dan tertakluk kepada peruntukan Akta Pelindungan Pengguna 1999
2. Sebelum penubuhan Tribunal ini, segala tuntutan gantirugi oleh seorang pengguna terhadap seorang pembekal atau pengilang terpaksa dibawa ke Mahkamah Sivil di mana ia melibatkan prosedur yang rumit, kos yang tinggi dan mengambil masa yang panjang untuk diselesaikan. Ini adalah antara sebab-sebab mengapa pengguna tidak berminat untuk membuat tuntutan di Mahkamah terhadap pembekal atau pengilang yang tidak bertanggungjawab terutamanya jika sekiranya amaun yang dituntut adalah kecil, walaupun pada masa ini sudah adanya Mahkamah Tuntutan Kecil di setiap negeri untuk mendengar tuntutan-tuntutan yang tidak melebihi RM5,000.00.
3. Memahami hakikat ini, Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia telah ditubuhkan bagi menyediakan satu saluran atau kemudahan alternatif kepada seorang pengguna untuk menuntut gantirugi dan pampasan daripada seorang pembekal atau pengilang dengan cara mudah, murah dan cepat.
KEANGGOTAAN TRIBUNAL
Seksyen 86 Akta memperuntukkan bahawa Tribunal hendaklah dianggotai oleh seorang pengerusi dan seorang Timbalan Pengerusi (terdiri daripada pegawai-pegawai daripada Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan) dan tidak kurang daripada 5 orang anggota Tribunal yang lain dilantik oleh Menteri
BIDANG KUASA TRIBUNAL

Tribunal mempunyai bidang kuasa mendengar :
a) apa-apa tuntutan mengenai apa-apa perkara yang ia mempunyai bidang kuasa untuk mendengar seperti diperuntukkan di bawah Akta;
b) di mana jumlah amaun yang dituntut tidak melebihi RM25,000.00;
c) apa-apa perkara lain yang ditetapkan oleh Menteri melalui perintah yang disiarkan dalam Warta.

Bidang kuasa Tribunal hendaklah dilaksanakan oleh Pengerusi, Timbalan Pengerusi dan mana-mana anggota yang dipilih oleh Pengerusi yang akan bersidang sendirian.

BATASAN BIDANG KUASA

Tribunal tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar apa-apa tuntutan :-
a) yang berbangkit daripada kecederaan diri atau kematian;
b) bagi mendapatkan kembali tanah atau apa-apa estet atau kepentingan mengenai tanah;
c) yang mempersoalkan hakmilik-hakmilik tanah atau apa-apa estet atau kepentingan mengenai tanah, atau apa-apa francais; dan
d) yang mengandungi pertikaian mengenai -

i. hak di bawah satu wasiat atau peruntukan, atau disebabkan kematian tak berwasiat;
ii. nama baik (good will)
iii. apa-apa hak dalam tindakan;
iv. rahsia perdagangan atau harta intelek lain.
e) apabila mana-mana tribunal telah ditubuhkan melalui mana-mana undang-undang bertulis lain untuk mendengar dan memutuskan tuntutan-tuntutan tentang perkara yang menjadi hal perkara tuntutan itu.

Bidang kuasa Tribunal hendaklah terhad kepada suatu tuntutan yang berasaskan pada suatu kuasa tindakan yang terakru dalam masa tiga tahun dari tuntutan itu.
JENIS TUNTUTAN YANG BOLEH DIKEMUKAKAN KE TRIBUNAL

Mana-mana pengguna boleh memfailkan tuntutan di Tribunal menuntut gantirugi bagi kerugian yang ditanggung berhubung apa-apa perkara yang melibatkan kepentingan beliau sebagai pengguna di bawah akta yang berbangkit daripada :-
a. Perlakuan mengelirukan dan memperdaya, representasi palsu dan amalan tak saksama, iaitu :-
i. perlakuan mengelirukan dan memperdaya berkaitan dengan jenis, proses pengilangan, kesesuaian, kualiti dan kuantiti;

ii. gambaran yang mengelirukan mengenai harga;

iii. tawaran pemberian, hadiah atau benda percuma lain dengan niat untuk tidak mengadakannya;

iv. tuntutan-tuntutan lain yang mengelirukan seperti -
1) selagi stok masih ada;
2) barang-barang adalah terhad; dan sebagainya.
v. menerima bayaran tanpa niat untuk membekalkan barang atau perkhidmatan;

vi. kontrak perkhidmatan hadapan bagi perkhidmatan yang akan diadakan atas dasar berterusan.

b. Keselamatan barang dan perkhidmatan
i. standard keselamatan berkaitan dengan apa-apa barang atau kelas barang;

ii. standard keselamatan berkaitan dengan apa-apa perkhidmatan atau kelas perkhidmatan.

c. Hak terhadap pembekal berkenaan dengan gerenti tersirat berkaitan dengan pembekalan barang-barang :-
i. mengenai hakmilik;

ii. mengenai kualiti boleh terima;

iii. mengenai kesesuaian bagi maksud tertentu;

iv. bahawa barang mematuhi perihal;

v. bahawa barang mematuhi sampel;

vi. mengenai harga munasabah;

vii. mengenai pembaikan dan barang ganti.

d. Hak terhadap pembekal berkenaan dengan gerenti tersirat berkaitan dengan pembekal perkhidmatan :-
i. mengenai ketelitian dan kemahiran munasabah;

ii. mengenai kesesuaian bagi maksud tertentu;

iii. mengenai masa siap munasabah;

iv. mengenai harga munasabah.

e. Hak terhadap pengilang berkenaan dengan gerenti nyata berkaitan dengan pembekalan barang-barang :-
i. mengenai kualiti prestasi atau ciri-ciri barang;

ii. mengenai pemberian perkhidmatan yang diperlukan;

iii. mengenai kebolehdapatan barang yang serupa pada masa hadapan;

iv. mengenai pemulangan wang atau balasan sekiranya barang tidak memenuhi apa-apa akujanji oleh penggerenti.

f. Hak terhadap pengilang berkenaan dengan gerenti tersirat berkaitan dengan pembekalan barang-barang :-
i. mengenai kualiti yang boleh diterima;

ii. bahawa barang mematuhi;

iii. mengenai pembaikan dan barang ganti.

Untuk tujuan perenggan-perenggan di atas, perkataan 'barang' ertinya barang yang terutamanya dibeli atau digunakan bagi maksud diri, rumah tangga atau isi rumah, dan termasuklah :-
a. barang yang dipasang pada, atau digabungkan dalam, apa-apa harta tak alih atau harta alih;
b. haiwan, termasuk ikan;
c. vesel atau kenderaan;
d. kemudahan; dan
e. pokok, tumbuh-tumbuhan dan tanaman sama ada atau tidak di atas, di bawah atau terlekat pada tanah, tetapi tidaklah termasuk hak dalam tindakan, termasuk surat cara niaga, syer, debentur dan wang.

Perkataan 'pengguna' ertinya seorang yang :-
a) memperoleh atau menggunakan barang atau perkhidmatan daripada jenis yang pada lazimnya diperoleh bagi maksud, kegunaan atau penggunaan diri, rumah tangga atau isi rumah; dan
b) tidak memperoleh atau menggunakan barang atau perkhidmatan itu, terutamanya bagi maksud :-
i. membekalkannya semula secara perdagangan;
ii. menggunakannya dalam perjalanan suatu proses pengilangan;
iii. dalam hal barang, membaiki atau mengolah, secara perdagangan, barang lain atau lekapan pada tanah.

Perkataan 'perkhidmatan' termasuklah apa-apa hak, faedah, keistimewaan atau kemudahan yang atau yang akan, diberikan atau dianugerahkan di bawah apa-apa kontrak tetapi tidaklah termasuk :-
a) hak, faedah atau keistimewaan dalam bentuk pembekalan barang atau pelaksanaan kerja di bawah suatu perkhidmatan; atau
b) apa-apa perkhidmatan yang dibekalkan atau akan dibekalkan oleh ahli professional yang dikawal selia oleh mana-mana undang-undang bertulis (seperti doktor, peguam atau arkitek);atau
c) perkhidmatan jagaan kesihatan yang dibekalkan atau akan dibekalkan oleh professional jagaan kesihatan atau oleh kemudahan jagaan kesihatan (seperti perkhidmatan perubatan, pergigian, kejururawatan, perbidanan, farmasi dan ambulans).

Sumber http://www.kpdnkk.gov.my/web/guest/pengguna/ttpm/pengenalan