Monday, February 20, 2012

PENDAPATAN PERKAPITA MALAYSIA NAIK LEBIH RM28,000 SETAHUN

EKONOMI Malaysia terus berkembang seperti dibuktikan menerusi pendapatan perkapita yang meningkat ketara sejak 1970, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Beliau berkata, pendapatan perkapita meningkat kepada lebih US$9,000 (kira-kira RM28,000) setahun pada akhir tahun lalu berbanding hanya US$376 (RM1,159) pada 1970.

Katanya pada sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Pusat Pembangunan Sumber Manusia Selangor (SHRDC) dan enam syarikat utama yang menyertai program Bakat Berpendapatan Tinggi-Jurutera Saintis Penyelidikan (HIT-RSE) di Shah Alam semalam.

Program itu yang dilancarkan pada November tahun lalu antara SHRDC dan Talent Corporation Malaysia Bhd (TalentCorp), adalah antara program yang diluluskan menerusi Program Transformasi ekonomi (ETP).

Ia bertujuan meningkatkan peluang pekerjaan kepada graduan dalam kerjaya bidang elektrik dan elektronik, minyak dan gas serta telekomunikasi.

Syarikat yang terbabit dalam program itu adalah Marvell Semiconductor Sdn Bhd, Spansion (Penang) Sdn Bhd, Agilent Technologies Microwave Products (M) Sdn Bhd, Renesas Semiconductor KL Sdn Bhd, Technip Geoproduction (M) Sdn Bhd dan Rohde and Schwarz (M) Sdn Bhd.

MoU itu adalah selaras dengan matlamat TalentCorp untuk membangunkan kumpulan bakat Malaysia menerusi pelaksanaan inisiatif seperti Program Latihan Berstruktur (SIP).
SIP membolehkan majikan memperoleh kumpulan bakat yang lebih besar.

Mengulas lanjut, Nor Mohamed yang juga tokoh penting dalam Lembaga Pemegang Amanah TalentCorp, berkata aspirasi negara untuk menjadi negara berpendapatan tinggi hanya boleh dicapai menerusi pertumbuhan yang dipacu oleh produktiviti, inovasi dan kecekapan yang tinggi.

Oleh itu katanya institusi latihan seperti SHRDC mempunyai peranan penting dalam membangunkan tenaga kerja berbakat tinggi yang mampu merealisasikan hasrat itu.

"Meningkatkan kemahiran dan keupayaan bakat sedia ada dan akan datang sangat penting bagi menyediakan bakat bersesuaian," kata Nor Mohamed.

Sementara itu, Pengerusi SHRDC, Tham Wai Keong, berkata MoU itu mencerminkan komitmen pusat itu dalam mengeluarkan kumpulan bakat untuk menggerakkan negara ke hadapan, seperti yang dilakukan sejak 20 tahun lalu.

Berita disunting daripada Berita Harian

No comments:

Post a Comment