Monday, February 20, 2012

CYBERJAYA DIPILIH BANDAR MASA DEPAN

CYBERJAYA, yang dipilih sebagai antara bandar masa depan, FutureCities 2011 Jepun, dipelawa negara matahari terbit itu untuk menghadiri forum antarabangsa mengenai inisiatif bandar masa depan pada 21 Februari ini.


Bandar lain dipilih sebagai FutureCities yang akan berkongsi inisiatif adalah Copenhagen (Denmark), Malmo (Sweden) dan Surabaya (Indonesia).

Inisiatif bandar masa depan Jepun itu bagi menyelesaikan isu alam sekitar dan mewujudkan bandar raya yang memberi tumpuan kepada kemanusiaan.

Ia antara projek strategik Jepun, yang dikenal pasti dalam Strategi Pertumbuhan Barunya yang diputuskan kerajaannya pada Jun 2010.



Berdasarkan inisiatif itu, kerajaan Jepun akan memilih beberapa bandar sebagai model pertama FutureCities di Jepun dan akan mendapatkan maklumat mengenai amalan utama dalam bidang pembangunan bandar mampan di dunia.

Kerajaan Jepun menyasar mencergaskan semula kawasan bandar serta serantau dan merealisasikan ekonomi dan masyarakat mampan.

Pada forum itu kelak, Cyberjaya diwakili Pipah Mohd Nasir, Pengurus Besar Pembangunan Perniagaan Setia Haruman Sdn Bhd yang menjadi pemaju induk bandar itu.

Pipah akan berkongsi inisiatif dan masa depan Cyberjaya, kejayaan dan cabaran merealisasikan matlamat menjadi Bandar Hijau dunia.

Cyberjaya, dilancarkan pada Mei 1997, memulakan agenda teknologi hijau pada 2010 selaras Dasar Teknologi Hijau Malaysia yang dibina atas empat tonggak, iaitu tenaga, ekonomi, alam sekitar dan sosial.

Cyberjaya mempunyai sasaran memenuhi agenda teknologi hijau bersama-sama pihak berkepentingan termasuk Majlis Perbandaran Sepang (pihak berkuasa tempatan), Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Cyberview Sdn Bhd, Perbadanan Pembangunan Multimedia, serta pemaju/pelabur dan komuniti Cyberjaya.

Berita disunting daripada Berita Harian

No comments:

Post a Comment