KUALA LUMPUR, (Bernama) - Novel "Konserto Terakhir" karya Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain akan menggantikan novel "Interlok" sebagai teks Komponen Sastera (Komsas) bagi pelajar Tingkatan 5 mulai tahun depan.
Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Seri Abdul Ghafar Mahmud berkata penggantian teks Komsas bagi mata pelajaran Bahasa Malaysia itu melibatkan pelajar bagi Zon Dua meliputi Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya serta Selangor.
"Novel Konserto Terakhir telah melalui proses penyaringan dan pemilihan yang ditetapkan, dan sesuai digunakan sebagai teks Komsas berdasarkan nilai-nilai dan mutu karya yang dihasilkan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Pada 14 Dis lepas, kabinet memutuskan bahawa penggunaan novel Interlok, yang juga karya Abdullah, sebagai teks Komsas Tingkatan Lima tidak akan diteruskan mulai tahun depan.
Keputusan itu dibuat berikutan timbulnya rasa kurang senang sesetangah masyarakat selain bagi mengelak mana-mana pihak daripada terus mempolemikkannya.
Novel Konserto Terakhir, yang pernah dijadikan teks Komsas Tingkatan Lima di Zon Dua dari tahun 2000 hingga 2010, berkisar mengenai perjuangan hidup dan kegigihan seorang anak muda dari kampung yang berhijrah ke bandar untuk mencari pekerjaan dan akhirnya berjaya menjadi seorang seniman besar negara.
No comments:
Post a Comment