Thursday, December 22, 2011

ASEAN CADANG SATUKAN FTA

ASEAN serta rakan dialog sedang mengkaji kemungkinan memperluaskan serta memantapkan lagi integrasi ekonomi dengan mewujudkan hanya satu Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) antara pertubuhan

serantau 10 negara anggota itu dengan kesemua rakan perdagangannya di kawasan Asia Timur.

Kini ASEAN sudah mewujudkan FTA secara berasingan dengan enam rakan dialog di kawasan Asia Timur iaitu FTA Asean-China (2005), FTA Asean-Korea (2006), FTA Asean-Jepun (2009), FTA Asean-India (2010) dan FTA Asean-Australia dan New Zealand (2010).

Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata untuk memastikan pemusatan ASEAN dikekalkan dalam proses perluasan itu, Menteri-menteri Ekonomi ASEAN menggariskan satu set prinsip umum dalam usaha memperluas dan memperdalam hubungan ASEAN dengan rakan FTA masing-masing.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-19 di Bali, Indonesia katanya, memperakukan Rangka Kerja Serantau bagi Kerjasama Komprehensif.

Pemimpin ASEAN juga memperakukan pelan kerja bagi ASEAN untuk mewujudkan templat ASEAN + 1 FTA, dengan mengambil kira Kawasan Perdagangan Bebas Asia Timur (EAFTA – ASEAN+3) dan Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif (ASEAN + 6), katanya kepada wartawan Malaysia.

Mustapha mewakili Malaysia pada Mesyuarat Persediaan Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN untuk Sidang Kemuncak ASEAN dan Sidang Kemuncak Berkaitan.


Beliau berkata, Sidang Kemuncak ASEAN ke-19 bersetuju menerima cadangan bersama oleh Jepun dan China agar tiga kumpulan kerja dibentuk bagi menjalankan kajian integrasi berkenaan iaitu Kumpulan Kerja Perdagangan, Kumpulan Kerja Sektor Perkhidmatan dan Kumpulan Kerja Pelaburan.

Katanya, ketiga-tiga kumpulan kerja itu akan meneliti butiran terperinci modaliti bagi integrasi ekonomi itu dan semua rakan perdagangan FTA akan kemudian turut diundang menyertai kumpulan kerja berkenaan.

Beliau berkata, sidang kemuncak itu mengarahkan supaya semua kerja berkaitan dengan tempat dan modaliti berkaitan dengan tiga kumpulan kerja itu dimuktamadkan sebelum Sidang Kemuncak ASEAN ke-21 pada November 2012.

Seorang ahli ekonomi yang dihubungi Berita Harian berkata, senario ekonomi global semasa memberi motivasi kepada negara ASEAN untuk bergerak lebih pantas dari segi integrasi ekonomi dan perdagangan.

Keadaan ekonomi Amerika Syarikat dan Eropah menjadikan agenda berkenaan lebih diperlukan dan rancangan ke arah integrasi itu akan dilaksanakan dengan segera.

Ketika Asia mencatatkan prestasi yang baik, fokus perlu digerakkan kepada ekonomi dan perdagangan yang lebih baik di kalangan negara ASEAN serta dengan pasaran luar secara bersepadu, katanya.

No comments:

Post a Comment