KUALA LUMPUR: Penubuhan jawatankuasa khusus bagi mengkaji dan mendapatkan pandangan menyeluruh warga pelbagai peringkat terutama pihak berkepentingan dalam penggubalan undang-undang baru atau pindaan adalah trend sihat yang dapat membantu memperkukuh budaya demokrasi negara.
Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah bertitah, dengan adanya sesi perjumpaan dan perbincangan, penggubal dasar dan penggubal undang-undang berpeluang mendengar secara langsung maklum balas pelbagai pihak untuk diimbangkan pandangan ketika melakukan kerja penggubalan.
Baginda bertitah, penubuhan jawatankuasa itu juga dapat memastikan undang-undang digubal adalah komprehensif, relevan, bertepatan bagi tujuan dihasratkan serta selaras peruntukan undang-undang utama negara iaitu Perlembagaan Persekutuan.
Baginda bertitah mengikuti usaha pelbagai pihak yang mahu memperbaharui, menyemak dan mengkaji semula undang-undang negara untuk dikemas kini selaras senario dan tuntutan semasa. Pengumuman memansuhkan dan cadangan meminda undang-undang tertentu menarik perhatian ramai dan perdebatan berlaku di pelbagai peringkat.
Titah baginda walaupun proses ini (penubuhan jawatankuasa khusus) lebih rumit dan memakan masa lebih lama namun ia pendekatan terbaik dapat menangkis persepsi negatif terhadap undang-undang baru yang bakal diperkenalkan atau undang-undang bakal dipinda.
Baginda bertitah demikian pada Majlis Konvokesyen ke-17 Peperiksaan Sijil Amalan Guaman 2011 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, malam tadi.
Raja Nazrin bertitah, pihak terbabit dalam menentukan masa depan negara perlu mengambil ingatan akan keunikan senario setempat terutama faktor berkait langsung dengan sejarah dan budaya, ketenteraman awam serta perpaduan warga yang tidak boleh sama sekali dikorbankan atas nama liberalisasi.
Baginda bertitah, ahli politik pula mempunyai tanggungjawab nasional yang sama demi menjamin kelangsungan sebuah negara aman, stabil, makmur dan sejahtera. Faktor kelangsungan sebuah sistem demokrasi yang lestari berteraskan sejarah dan budaya setempat amat penting dipertimbangkan dari sekadar matlamat meraih keuntungan politik jangka pendek.
Berita disunting daripada sumber : Berita Harian
No comments:
Post a Comment