Sunday, July 31, 2011

MEMERANGI KOS KEHIDUPAN JADI SATU LAGI BIDANG NKRA

MEMERANGI KOS KEHIDUPAN JADI SATU LAGI BIDANG NKRA

najib.d

PUTRAJAYA, - Kabinet Rabu memutuskan untuk menambah satu lagi Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) iaitu yang berkaitan usaha untuk memerangi kos kehidupan yang kian meningkat.


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengumumkan perkara itu berkata langkah itu menjadikan bidang NKRA menjadi tujuh kesemuanya dan bukan lagi enam seperti sebelum ini.

Katanya, enam NKRA telah diputuskan hampir dua tahun lalu, berdasarkan kepada kajian dan penelitian mengenai apa yang dikehendaki dan dituntut oleh rakyat dari segi apa yang patut dilakukan oleh kerajaan. Pada masa itu, tidak terdapat fenomena global kenaikan harga barangan makanan terutama sekali yang sedang melanda semua negara di dunia.

Tambahnya selepas majlis dialog pertama Meja Bulat Online 1Malaysia bersama tokoh dan personaliti yang terlibat dalam bidang masing-masing, di pejabat Perdana, berikutan fenomena itu telah membawa impaknya kepada rakyat Malaysia, maka kerajaan berpendapat ini sudahpun menjadi isu utama di kalangan rakyat dan justeru itu, kita perlu menentukan respons dan penyelesaian yang boleh memberi kesan dan kelegaan kepada rakyat.

Enam teras NKRA sedia ada ialah membabitkan bidang usaha bagi mengurangkan kadar jenayah, memerangi rasuah, meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan, meningkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah, memperkasa prasarana luar bandar dan pedalaman dan menambah baik pengangkutan awam dalam jangka masa sederhana.

Najib berkata kementerian yang terlibat akan bertanggungjawab mengenai barangan makanan atau perkhidmatan yang membabitkan rakyat dan juga Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) dalam menguruskan makmal dengan kementerian-kementerian yang sesuai.

Katanya kita akan menggunakan kepakaran Pemandu untuk membantu agensi dan kementerian termasuk jawatankuasa kabinet yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung harga barangan dan langkah untuk mengurangkan kos kepada rakyat.

Beliau berkata langkah-langkah yang telah dibuat akan diteruskan seperti kebanyakan harga barangan dikawal oleh kerajaan dan sistem subsidi yang masih dikekalkan bagi kebanyakan barangan keperluan rakyat.

Jelasnya kita ada inisiatif seperti klinik 1Malaysia yang memberi perkhidmatan dengan kos RM1 sahaja dan kita ada rangkaian kedai runcit 1Malaysia yang pertama yang telah dimulakan dan sedang diperluaskan ke seluruh negara.

Najib berkata langkah sedemikian boleh memberi kesan kepada kepentingan rakyat seperti langkah untuk mengurangkan harga ayam di pasaran seperti yang telah dilakukan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar yang mengadakan rundingan dengan pihak yang terlibat dalam industri ternakan ayam.

Katanya bidang NKRA yang ketujuh itu merangkumi aspek utama yang memberi kesan kepada rakyat, iaitu bukan sahaja makanan tetapi juga keperluan lain yang akan diberi keutamaan tertinggi apabila ia dijadikan sebagai satu lagi bidang NKRA.

Tambahnya kita sudahpun mulakan langkahnya. Kita nak tengok dari segi rangkaian bekalan bagaimana kita boleh meliberalkan rangkaian bekalan, mungkin kita boleh benarkan pengimportan yang lebih untuk menambah bekalan pada pasaran.

Kedua, sama ada dalam negara kita boleh menyediakan kawasan tanah lapang dan tanah yang tidak digunakan untuk pengeluaran barang makanan dan kita perlu lihat juga dari kos input iaitu barangan makanan untuk ternakan dan sebagainya sama ada boleh mencari alternatif yang lebih rendah lagi.

Najib berkata sebarang cadangan yang baik berhubung perkara itu boleh dipertimbangkan dalam belanjawan akan datang.

Beliau turut menolak dakwaan bahawa keputusan Kabinet itu mempunyai kaitan dengan pilihan raya umum.

Katanya apabila kita mulakan NKRA, ia bukan kerana pilihan raya, ia adalah kerana rakyat mahu kita berbuat demikian. Pada masa yang sama, ia bukan satu isu kerana jika tidak kita mungkin jalankannya sebagai satu daripada NKRA pada masa itu, tapi kali ini kita sedar ia adalah satu isu dan oleh itu kita perlu tanganinya.


Berita disunting daripada sumber : BERNAMA

No comments:

Post a Comment