Sunday, March 25, 2012

MAHKAMAH PERSEKUTUAN BENAR RAYUAN KES AUKU

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan semalam membenarkan kerajaan, Menteri Pengajian Tinggi dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan mengisytiharkan Seksyen 15 (5)(a) Akta

Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 sebagai tidak sah di sisi undang-undang.

Seksyen 15 (5) akta itu melarang mahasiswa menyatakan sokongan atau bangkangan terhadap mana-mana parti politik. Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md Raus Shariff yang mengetuai panel lima hakim, dalam keputusan sebulat suara membenarkan permohonan kerajaan, Menteri Pengajian Tinggi dan UKM bagi merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 31 Oktober tahun lalu, yang mengisytiharkan bahawa seksyen itu tidak sah di sisi undang-undang. Turut sama dalam panel itu ialah Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinuddin dan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Hashim Yusoff, Tan Sri Abdull Hamid Embong dan Datuk Suriyadi Halim Omar.

Mahkamah membenarkan satu persoalan undang-undang yang ditimbulkan oleh pemohon untuk diputuskan dalam rayuan mereka.

Persoalan ialah sama ada Seksyen 15(5)(a) AUKU itu konsisten dengan Artikel 10(1)(a) dibaca dengan Artikel 10(2)(a) Perlembagaan Persekutuan dan oleh itu adalah undang-undang yang sah?

Artikel 10(1)(a) menjamin hak warga negara untuk kebebasan bersuara dan ekspresi, manakala Artikel 10(2)(a) menyatakan bahawa hak itu tidak mutlak dengan membenarkan Parlimen mengenakan sekatan, jika perlu, demi keselamatan negara, hubungan rapat dengan negara lain, ketenteraman awam atau prinsip moral yang direka untuk melindungi keistimewaan Parlimen atau mana-mana Dewan Undangan atau untuk mengadakan peruntukan menentang penghinaan terhadap mahkamah, fitnah atau hasutan bagi mana-mana kesalahan.


Muhammad Hilman Idham, Woon King Chai, Muhammad Ismail Aminuddin dan Azlin Shafina Mohamad Adza, ketika itu mahasiswa UKM, mendapat notis daripada universiti untuk hadir di hadapan Tribunal Disiplin bagi menjawab tuduhan kerana terbabit dalam kempen pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor pada 24 April 2010 dan melanggar Seksyen 15(5)(a) akta itu.

Mereka kemudian memfailkan saman pemula terhadap pemohon untuk mencabar tindakan UKM, tetapi tuntutan mereka ditolak Mahkamah Kuasa-kuasa Khas dan Rayuan Kuala Lumpur pada September 2010. Mahkamah Rayuan bagaimanapun mengubah keputusan Mahkamah Tinggi dalam keputusan majoriti 2-1 dengan memutuskan Seksyen 15(5)(a) akta itu tidak munasabah dan melanggar kebebasan bersuara.

Terdahulu, Mahkamah Persekutuan menolak bantahan awal dibangkitkan peguam Malik Imtiaz Sarwar mewakili keempat-empat mereka, bahawa perkara itu adalah akademik kerana mereka didapati tidak bersalah semasa prosiding disiplin universiti dan sudah tamat pengajian.

Bagaimanapun, Peguam Kanan Persekutuan Amarjeet Singh berkata perkara itu bukan akademik kerana penghakiman Mahkamah Rayuan mengisytiharkan Seksyen 15(5)(a) tidak sah di sisi undang-undang. Pemohon terjejas teruk dengan keputusan itu kerana ia membabitkan persoalan dalam undang-undang domain awam dan bukan semata-mata undang-undang persendirian.

Sementara itu, Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili UKM, berkata isu yang dibangkitkan adalah kukuh sambil menambah keputusan Mahkamah Rayuan berhubung Seksyen 15(5)(a) bukan hanya mengikat UKM tetapi juga 17 universiti lain.

Berita Disunting Daripada Sumber : Berita Harian

No comments:

Post a Comment