KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat semalam meluluskan penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) Mengenai Projek Lynas Advanced Materials Plant (LAMP) bertujuan meneliti dan menilai isu sensitif yang mendapat perhatian ramai
serta piawaian keselamatan projek nadir bumi itu.
Usul dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz itu dipersetujui melalui pungutan suara yang dilakukan Timbalan Speaker, Datuk Ronald Kiandee, walaupun pembangkang berterusan membantah dan ada wakilnya keluar dewan sebaik usul itu dipersetujui.
Jawatankuasa itu akan dianggotai sembilan Ahli Parlimen - lima wakil Barisan Nasional (BN) termasuk seorang pengerusi, tiga wakil rakyat pembangkang dan seorang Bebas yang diberi tempoh tiga bulan untuk melaksanakan tugas.
Selama 45 minit menggulung usul berkenaan, Nazri berkata, tempoh tiga bulan itu boleh dilanjutkan jika jawatankuasa berkenaan tidak dapat melaksanakan tugas dalam tempoh itu dengan merujuk kepada Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.
Jawatankuasa itu juga hendaklah menyiapkan dan membentangkan penyata jawatankuasa yang mengandungi syor berkaitan dan dikemukakan kepada Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat untuk dipersetujui atau mengikut cara yang diperintahkan majlis mesyuarat itu, katanya.
Katanya, jawatankuasa itu akan memberi jawapan tepat terhadap beberapa isu yang dibangkitkan pembangkang kerana ia akan mendapatkan fakta tepat daripada pakar pelbagai bidang berkaitan.
Sebab itulah perlunya penubuhan jawatankuasa ini supaya segala yang dibangkitkan Ahli Parlimen pembangkang dapat diperjelaskan, malah Yang Berhormat juga boleh mengemukakan pandangan dan ia akan direkod secara rasmi.
Apa juga yang ada kaitan dengan isu Lynas, hanya yang tercatat dalam usul ini saja diberi perhatian dan PSC bukan untuk menepis sebarang idea mana-mana pihak, katanya apabila pembangkang menganggap penubuhan jawatankuasa itu tidak akan membawa kepada pembatalan projek itu.
Mengenai dakwaan Ahli Parlimen (PKR-Balik Pulau) Yusmadi Mohd Yusoff penubuhan PSC itu bersifat subjudis Nazri berkata, usul itu dibentangkan selepas mendapati amalan itu tidak subjudis walaupun ada kes berkaitan Lynas akan dihadapkan ke mahkamah.
Ketika dipersoalkan kenapa jawatankuasa itu dicadangkan hanya selepas kerajaan mengeluarkan lesen operasi sementara kilang berkenaan, Nazri berkata, penubuhan PSC belum terlewat untuk membincangkan pelbagai isu berbangkit berkaitan kilang Lynas.
Usul penubuhan PSC itu hangat dibahaskan 21 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang yang silih berganti duduk dan bangun bagi menegakkan pendirian masing-masing.
Ahli Parlimen Bebas Kulim Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Nordin turut membangkitkan suasana panas.
Tadi saya nampak Yang Berhormat (YB) Hulu Langat (Dr Che Rosli Che Mat) yang juga pakar nuklear pembangkang ada dalam dewan tapi lepas itu saya nampak YB Shah Alam (Khalid Samad) bisik sesuatu padanya, beliau kemudian keluar, dah tak ada sini.
Kenapa semasa sesi perbahasan ini pembangkang tidak benarkan pakarnya dalam bidang ini (nuklear) bersuara, kenapa sembunyikan dia. Mungkin juga kerana YB Hulu Langat pernah buat kenyataan menyatakan pembinaan kilang Lynas ini selamat, katanya.
Suara bantahan pembangkang juga dibangkitkan Ahli Parlimen (PAS-Shah Alam), Khalid Samad; Tian Chua (PKR-Batu); Zuraidah Kamaruddin (PKR-Ampang); Salahuddin Ayub (PAS-Kubang Kerian) dan Dr Zulkefly Ahmad (PAS-Kuala Selangor).
Berita disunting daripada Berita Harian
No comments:
Post a Comment