Tuesday, September 6, 2011

4 MENTERI MEMBINCANGKAN ISU KELDAI DADAH

KUALA LUMPUR: Tiga kementerian bersetuju dengan cadangan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil untuk mengadakan pertemuan bagi membincangkan

isu ramai warga Malaysia terpedaya dengan sindiket dadah antarabangsa hingga menjadi keldai dadah dan merengkuk dalam penjara di luar negara.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, berkata kementeriannya menyambut baik cadangan Shahrizat dan bersedia bekerjasama mencari jalan membanteras ancaman jenayah sindiket dadah antarabangsa yang menyebabkan ramai warga Malaysia, terutama wanita terjerat selepas terpengaruh dengan janji manis warga asing, terutama dari Afrika.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata pihaknya sedia bertemu dan berbincang dengan kementerian itu bagi membanteras jenayah yang banyak memanipulasikan wanita dan pelajar hingga terjerat serta terpaksa menjadi keldai dadah.

Mengikut rekod kementerian, belum ada kes menunjukkan pelajar kulit hitam di negara ini terbabit dalam jenayah itu, namun Kementeria sedia mengambil tindakan jika terbukti ada antara mereka menjadi ejen sindiket itu.

Berita Harian semalam melaporkan Shahrizat akan membawa isu wanita menjadi mangsa sindiket dadah antarabangsa pada mesyuarat Kabinet dalam masa terdekat, selain mengadakan perbincangan dengan tiga kementerian berkaitan bagi menjalin kerjasama berhubung kes penipuan sindiket dadah antarabangsa yang banyak membabitkan wanita Malaysia sebagai mangsa kelicikan mereka.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, pula berkata, pihaknya menyambut baik cadangan mengadakan perbincangan antara empat kementerian berkenaan, apatah lagi sindiket dadah itu menggunakan wanita sebagai mangsa menyeludup dadah di luar negara.

Kementerian akan bekerjasama dengan semua pihak bagi membanteras jenayah antarabangsa yang menggunakan rakyat tempatan, termasuk perdagangan wanita dan kanak-kanak, selain kes keldai dadah hingga menyebabkan mereka terpaksa menjadi tahanan di penjara luar negara serta dijatuhkan hukuman mati.

Berita disunting daripada Berita Harian

No comments:

Post a Comment