Tuesday, September 20, 2011

KABINET DIJANGKA LULUS DASAR AGROMAKANAN


noh-omar

KUALA LUMPUR: Kabinet dijangka meluluskan penggubalan Dasar Agromakanan Negara (DAN) 2011-2020 pada mesyuarat 28 September ini, sekali gus

menggantikan Dasar Pertanian Negara (DPN) yang tamat penghujung tahun lalu, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar.

Katanya, penggubalan DAN 2011-2020 adalah kesinambungan kepada DPN Ketiga 1998-2010 yang bertujuan memastikan bekalan makanan berasaskan pertanian di negara ini terjamin dan selamat serta meningkatkan pendapatan petani, penternak dan nelayan.

Beliau berkata, DAN 2011-2020 turut memberi tumpuan dalam meningkatkan sumbangan industri agromakanan, memperkasakan modal insan, memantapkan kegiatan penyelidikan dan pembangunan serta mewujudkan persekitaran perniagaan yang diterajui sektor swasta.

Menurut beliau, kebergantungan orang ramai terhadap kerajaan semata-mata dalam memastikan bekalan makanan negara tidak lagi relevan. DAN 2011-2020 dilihat dapat mencetuskan rangkaian perkhidmatan kerjasama antara swasta dengan agensi berkaitan bagi menangani krisis makanan global yang dijangka berlaku 10 tahun akan datang.

Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha kementerian, Raihan Sharif; Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Persekutuan (FAMA), Ahmad Ishak dan Pengerusi Jawatankuasa Penganjuran Pameran Malaysia Agro 2011, Datuk Mohamed Shariff Abd Aziz.

Noh berkata, penubuhan Majlis Benih Negara yang sudah dipersetujui Kabinet baru-baru ini dan beliau sendiri menjadi Pengerusinya membuktikan kementerian serius dalam menangani krisis makanan sedunia itu.

Kita tidak mahu terlalu bergantung dengan mengimport bekalan dari luar. Dengan dianggotai pakar pertanian, penternakan dan perikanan, majlis ini akan mencari jalan bagaimana bagi memastikan masalah bekalan makanan negara dapat ditangani dalam tempoh berkenaan.

Pakar-pakar ini juga memikirkan rantaian bekalan dari anak benih, makanan haiwan hingga bagaimana hendak memasarkannya. Ketika ini kita berjaya menangani masalah daging ayam dan telur hingga satu ketika negara menghadapi lambakan anak-anak ayam.
Disunting Daripada Berita Harian

No comments:

Post a Comment