JITRA: Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Muadzam Shah, bertitah mata pelajaran sejarah yang mula diajar pada peringkat sekolah perlu diteruskan ke institusi pengajian tinggi (IPT) bagi membentuk generasi Malaysia yang matang |
dan maju pada masa depan.
Bertitah pada majlis Konvokesyen ke-25 Politeknik Sultan Abdul Halim Muadzam Shah (POLIMAS), di sini, semalam baginda melahirkan keyakinan pembelajaran sejarah secara berterusan adalah penting kepada sesebuah negara bangsa kerana ia memberi kesedaran kepada generasi baru mengenai sesuatu kejadian yang memberi kesan terhadap kehidupan masa kini.
Titah baginda, sejarah adalah guru kehidupan yang boleh menjadi panduan untuk perancangan, perkembangan dan kemajuan sesebuah negara pada masa depan. Apa yang lebih ketara adalah dengan mempelajari sejarah dan mengambil iktibar daripadanya, generasi baru ini lebih menghargai erti kemerdekaan berasaskan kedaulatan bangsa serta negara secara lebih bermakna serta bijaksana.
Justeru, sejarah negara bangsa itu perlu diketahui, difahami dan diserapkan ke seluruh lapisan masyarakat. Mempelajari sejarah bukan saja untuk pengetahuan, tetapi perlu dijadikan iktibar dan pedoman kepada sesuatu bangsa mengenai apa yang pernah berlaku satu masa dulu, titah baginda.
Sementara itu, baginda turut mengingatkan semua graduan supaya tidak menjadi seperti kacang lupakan kulit yang melupakan asal usul apabila sudah mengecapi kejayaan suatu hari nanti.
Titah baginda, pelajar perlu menghargai jasa segala didikan, tunjuk ajar, dorongan dan bimbingan ibu bapa serta pensyarah yang banyak menyumbang dalam membentuk seorang individu berjaya.
Terdahulu, Pengarah POLIMAS, Kamaruzaman Ismail, berkata seramai 2,309 graduan menerima diploma dan sijil dalam pelbagai bidang pendidikan yang ditawarkan di institusi itu.
Daripada jumlah itu seramai 722 adalah graduan Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Jabatan Kejuruteraan Elektrik (599), Kejuruteraan Awam (594), Jabatan Perdagangan (283) dan 133 Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi.
Berita Disunting Daripada Sumber : Berita Harian
No comments:
Post a Comment