Monday, August 1, 2011

AIM GARIS 3 KETETAPAN TRANSFORMASI MALAYSIA


najib.d

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak yang mempengerusikan mesyuarat pertama Majlis Tadbir Urus Agensi Inovasi Malaysia (AIM) semalam, menggariskan tiga ketetapan dalam proses transformasi Malaysia menjadi negara inovasi untuk




merealisasikan kekayaan harta intelek nasional dan menjana pendapatan rakyat.





Perdana Menteri berkata, ketetapan pertama ialah menggabungkan pendekatan bagi membina sebuah ekosistem yang boleh mendukung hasrat kerajaan menjadi-kan Malaysia negara inovasi. Ini bererti, Malaysia akan melihat pembangunan modal insan, khususnya suntikan pemikiran lebih inovatif dan kritikal dalam sistem pendidikan negara, terutama dari segi kemahiran berfikir dan sebagainya. Kedua, dana yang boleh mendukung usaha inovasi yang boleh negara jalankan dalam negara seperti memperbanyakkan penyertaan ekuiti modal swasta.






Katanya pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Tadbir Urus AIM semalam, ketetapan ketiga pula menggabungkan pendekatan menentukan hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang boleh negara komersialkan, umpamanya harta intelek milik universiti yang kini ada sekitar 1,000 penemuan.







Majlis 16 anggota diterajui Perdana Menteri itu boleh diumpamakan barisan lembaga pengarah yang memberi pandangan dan terbabit dalam pelaksanaan inisiatif AIM, yang ditubuhkan mengikut Akta AIM 2010. Setakat ini, 113 projek berpotensi komersial sudah dikenal pasti dengan 49 sedang diproses melalui makmal pengkomersialan, manakala sehingga Jumaat lalu, 19 projek sudah mencapai tahap memeterai perjanjian komersial.







Najib berkata, AIM akan menilai berapa banyak daripada kira-kira 1,000 penemuan harta intelek oleh universiti tempatan itu dapat diterjemahkan dalam projek yang boleh dikomersialkan. Katanya, mesyuarat pertama Majlis Tadbir Urus AIM turut merumus untuk menggabungkan pendekatan berdasarkan pembangunan ekosistem inovasi yang menekankan projek berasaskan hasil.






Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif, Unit Inovasi Khas di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Kamal Jit Singh, berkata mesyuarat Majlis Tadbir Urus AIM semalam membincangkan draf dasar pelaksanaan transformasi Malaysia menjadi negara inovasi.






Beliau yang turut menganggotai majlis terbabit, berkata draf dasar itu selari dengan Pelan Transformasi Kerajaan (GTP) dan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10). Mereka mendapat persetujuan Majlis Tadbir Urus AIM bahawa draf ini berada di landasan sepatutnya dan haluannya betul. Sekarang pihaknya mahu membawa pelan ini kepada masyarakat akar umbi untuk mendapat maklum balas sebelum dikemukakan kepada Kabinet untuk kelulusan.






Katanya, cara mereka menggubal dasar ini agak berbeza, mereka tidak guna pakar perunding luar atau syarikat perunding, sebaliknya menggubal dasar ini berdasarkan pendapat pakar tempatan dalam bidang tertentu seperti pendidikan, pelbagai industri, kerajaan dan sebagainya.







Katanya lagi, pihaknya menghabiskan kira-kira 2,500 jam masa rundingan bagi menyiapkan draf ini dan memerlukan kira-kira tiga bulan untuk mendapatkan maklum balas orang ramai bagaimana dasar ini dapat mengubah kehidupan mereka seperti sepatutnya berlaku.















Berita disunting daripada sumber : Berita Harian

No comments:

Post a Comment