Tuesday, August 23, 2011

GCSA TINGKATKAN KESELAMATAN SIBER

PUTRAJAYA 23 Ogos – Majlis Teknologi Maklumat Negara (NITC) bersetuju menubuhkan Pertubuhan Keselamatan Siber Global (GCSA) bagi meningkatkan lagi keupayaan dan kesiapsiagaan keselamatan siber negara.

Mesyuarat tahunan yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di sini hari ini mengumumkan GCSA akan bertindak sebagai platform kepada ahli gabungan untuk berkongsi maklumat mengenai keselamatan siber negara masing-masing.

Pertubuhan itu juga akan memberi tumpuan kepada usaha menghimpunkan bakat dalam kalangan negara ahli dan juga dijadikan platform untuk melatih golongan profesional dalam bidang keselamatan siber.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti), Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili pada sidang akhbar selepas mesyuarat tersebut memberitahu, Malaysia mengetuai gabungan GCSA yang akan dibuka kepada negara ahli Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), Forum Serantau ASEAN dan negara-negara membangun.

‘‘Konsep GCSA itu akan diperhalusi oleh kumpulan pakar E-Kedaulatan yang diterajui oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam tempoh terdekat ini.

‘‘Diharapkan konsep itu dapat diperhalusi oleh MKN dalam tempoh tiga bulan ini sebelum kita buat keputusan yang muktamad,” katanya.

Turut hadir timbalannya, Datuk Fadillah Yusof.

Mesyuarat itu dihadiri 32 ahli NITC yang mewakili kerajaan, swasta dan komuniti serta sembilan kumpulan pakar dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Sebanyak lapan kertas kerja dibincangkan membabitkan tiga keputusan yang perlu diambil tindakan segera dan lima lagi merupakan laporan maklumat daripada setiap kumpulan pakar.

Maximus memberitahu, mesyuarat itu turut bersetuju memberi mandat kepada Prasarana Maklumat Kritikal Negara (CNII) untuk mengutamakan penggunaan produk-produk ICT tempatan yang diberi pensijilan MS ISO/IEC 15408.

‘‘Langkah ini mampu meningkatkan sumber pendapatan negara. Pendapatan Kasar Negara (GNI) yang boleh dijana menjelang 2020 dianggarkan RM3 bilion dan sebanyak 5,000 peluang pekerjaan dijangka diwujudkan,” katanya.

No comments:

Post a Comment