Monday, August 1, 2011

CHINA TIADA ALASAN KUAT TUNTUT SPRATLY


bantahan

MANILA: Filipina menyifatkan keengganan China untuk membenarkan sebuah tribunal tajaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memutuskan penyelesaian isu tuntutan wilayah di Laut China Selatan menunjukkan tuntutan Beijing adalah berasaskan undang-undang lemah.


Bagaimanapun, China sekali lagi menegaskan bahawa ia tetap dengan pendirian bahawa ia sepatutnya diselesaikan secara dua hala iaitu antara pihak yang membuat tuntutan.


China dan Filipina mempunyai tuntutan bertindih ke atas sebahagian Laut China Selatan yang dipercayai menyimpan banyak sumber gas dan minyak, bersama Vietnam, Brunei, Malaysia dan Taiwan.

Setiausaha Luar Filipina, Albert del Rosario mengadakan mesyuarat bersama pegawai kanan di Beijing minggu lalu sebelum isu itu dirujuk kepada tribunal PBB namun China menolak cadangan itu kelmarin.

kata Del Rosario dalam kenyataan ringkas sikap China teragak-agak menerima cadangan Filipina boleh menjurus kepada kesimpulan bahawa Beijing mungkin tidak berupaya mengesahkan kedudukan yang dinyatakan menurut Konvensyen Undang-undang Laut PBB.

Filipina mahu pertelingkahan itu dihadapkan ke Tribunal Antarabangsa bagi Undang-Undang Laut, satu badan perundangan bebas yang ditubuhkan oleh konvensyen PBB pada 1982 bagi menguruskan hal sebegitu.

Filipina dan Vietnam sejak beberapa bulan kebelakangan ini menuduh China mengambil tindakan agresif bertambah dalam menguatkan tuntutannya ke atas perairan bertelingkah, termasuk satu insiden di mana China didakwa melepaskan tembakan ke arah nelayan Filipina.

Tuntutan China meliputi satu kawasan berbentuk U seluas 1.7 kilometer persegi (648,000 meter persegi) termasuk Kepulauan Spratly dan Paracel.

Menjawab pandangan del Rosario, jurucakap Kementerian Luar China, Hong Lei, berkata pendirian China konsisten dan jelas. Pertikaian Laut China Selatan sepatutnya diselesaikan menerusi rundingan terus di kalangan pihak yang menuntut mengikut undang-undang antarabangsa.

Tentera China mengkritik keras tindakan tentera Amerika Syarikat pada Isnin lalu kerana mengadakan latihan di perairan yang meliputi tuntutan Beijing dan memberi amaran supaya Washington tidak campur tangan.

Ketika melawat China, Ahad lalu, pemimpin kanan tentera laut Amerika, Laksamana Mike Mullen, berkata Amerika komited untuk mengekalkan kehadirannya di rantau Asia dan menggesa isu itu diselesaikan secara aman.

China menekankan pendiriannya untuk merundingkan pertikaian itu dengan setiap negara lain yang menuntut kawasan berkenaan, strategi yang dianggap sebagai ‘pecah dan perintah’ oleh sesetengah pihak.


Sumber disunting daripada sumber : Berita Harian

No comments:

Post a Comment