Monday, August 1, 2011

PELAN STRATEGIK 10 TAHUN ASEAN


logo-asean

ASEAN dan sumber pelaburan langsung asing (FDI) utamanya, Jepun sedang menimbang untuk membentuk pelan strategik 10 tahun bagi menjadikan rantau ini pusat pengeluaran global yang boleh menyaingi China dan India.


Pelan strategik itu sebaik dibentuk akan menangani aliran rentas perdagangan dan pelaburan dari Jepun ke Asean dan sebaliknya, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Katanya pada sesi dialog dua hari Menteri-Menteri Ekonomi Asean, Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri Jepun (METI) dan Persekutuan Dewan Perniagaan dan Industri Jepun di Asean (FJCCIA), yang dihadiri 250 delegasi, mesyuarat bersetuju membangunkan lagi cadangan membentuk pelan strategik 10 tahun untuk menjadikan Asean lebih menarik bagi perdagangan dan pelaburan.


FJCCIA mewakili 4,441 perusahaan anggota di rantau ini. Antara yang hadir pada dialog itu ialah Menteri Perdagangan Indonesia, Dr Mari Elka Pangestu yang mempengerusikan sesi dialog berkenaan dan Banri Kaieda dari METI.

Pelaburan Jepun di Asean berjumlah AS$5.2 bilion pada 2009.

Jepun kekal sebagai sumber pelaburan penting dengan 13.4 peratus bahagian jumlah pelaburan ke Asean pada tahun berkenaan.

Mustapa berkata, hala tuju baru bagi pelan itu akan menimbang bahagian seperti alam sekitar, tenaga, jaminan makanan, ekonomi hijau, tenaga boleh diperbaharui, perusahaan kecil dan sederhana dan saling hubungan yang akan melengkapkan Perjanjian Perkongsian Ekonomi. Untuk bekerjasama dalam bahagian ini, kita memerlukan pelan strategik.

Antara lainnya, Asean dan Jepun akan bekerjasama menerusi perkongsian sektor awam-swasta bagi meningkatkan produktiviti perkumpulan 10 anggota itu dan daya saing.

Malaysia khususnya, akan bekerjasama dengan negara anggota Asean lain bagi memenuhi pelbagai isu pelaksanaan untuk mewujudkan pasaran serantau dan pangkalan pengeluaran dengan halangan minimum.

Inisiatif ini akan diambil kira dalam semakan Pelan Tindakan Komuniti Ekonomi Asean (AEC), kata Mustapa.

Beliau berkata, amat penting bagi Asean untuk menyelaraskan pelbagai peraturan di bawah perjanjian Asean+1 yang dimeterai dengan China, Jepun, Korea India, Australia dan New Zealand.

Katanya usaha sedang dibuat menerusi empat kumpulan kerja, iaitu bagi peraturan tempasal, prosedur kastam, sistem penamaan tarif dan kerjasama ekonomi.

Beliau menegaskan, usaha juga perlu dipercepatkan bagi menghapuskan halangan bukan tarif yang menyekat aliran bebas perdagangan dalam Asean dan Jepun, termasuk negara Asia Timur lain.


Berita disunting daripada sumber : Berita Harian

No comments:

Post a Comment