Monday, August 1, 2011

KEBEBASAN BADAN KEHAKIMAN DILINDUNGI


cmja

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata Malaysia komited untuk melindungi dan memastikan kebebasan berterusan badan kehakiman di negara ini kerana ia adalah komponen utama dalam

sistem demokrasi dan antara faktor penting bagi pencapaian negara.




Perdana Menteri berkata, badan kehakiman di Malaysia banyak mengalami perubahan sejak merdeka dan pembaharuan sistem itu pada masa depan penting untuk memastikan ekonomi negara mengalami pertumbuhan berterusan selain melindungi kebebasan sivil penduduknya.


Katanya ketika merasmikan Persidangan Majistret dan Hakim Komanwel 2011, tiga dekad pertama selepas kemerdekaan, badan kehakiman bebas daripada pergolakan, tetapi pada penghujung 1980-an menyaksikan perubahan besar dan dilanda kontroversi serta menerima banyak kritikan.

Kemerosotan keyakinan awam terhadap badan kehakiman menyebabkan langkah segera diambil untuk memperkukuhkan dan melindungi kebebasan badan kehakiman.

Teks ucapan Najib dibacakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz. Turut hadir, Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Tun Azmi. Seramai 320 peserta dari 32 negara Komanwel menyertai persidangan empat hari itu.

Najib berkata, selain itu, akauntabiliti badan kehakiman banyak membantu membina keyakinan dalam sistem perundangan dan pengamal undang-undang.

Beliau berkata, memantapkan badan kehakiman sebagai sebuah institusi adalah satu proses berterusan terutama di Malaysia yang penduduknya terdiri daripada pelbagai kaum.

Katanya amat penting bagi mahkamah memenuhi keperluan setiap rakyat dengan melakukan penambahbaikan dan meningkatkan akses kepada keadilan. Justeru, Malaysia sudah melakukan pelbagai pembaharuan komprehensif yang dapat meningkatkan tahap efisien mahkamah secara drastik.

Sementara itu, beliau berkata, persidangan itu dapat meningkatkan persefahaman dan pertukaran pandangan antara pengamal undang-undang dalam negara Komanwel.


Berita disunting daripada sumber : Berita Harian

No comments:

Post a Comment