Monday, August 1, 2011

PKS SERTAI TERAS DIUMUM OKTOBER


teras

KUMPULAN pertama 1,100 syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Bumiputera yang dipilih menyertai program PKS Bumiputera Berprestasi Tinggi (TERAS) di bawah Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) akan diumumkan Oktober ini.

Program TERAS, satu daripada elemen di bawah inisiatif pembaharuan strategik (SRI) model ekonomi baru itu bermatlamat membangunkan generasi usahawan Bumiputera berkelas dunia dalam semua 12 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA).

Menerusi program itu, kerajaan mahu mengubah syarikat Bumiputera terbabit menjadi kumpulan syarikat besar serta berdaya maju dan dapat menyumbang sehingga 20 peratus kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) menjelang 2020.

Ketua Eksekutif TERAJU, Husni Salleh, berkata 1,100 syarikat PKS Bumiputera yang terdiri daripada 100 bersaiz sederhana dan 1,000 bersaiz mikro akan dipilih berdasarkan beberapa kriteria jelas menerusi proses terbuka dan telus.

Proses pemilihan akan dipantau juruaudit yang dilantik berdasarkan beberapa kelas kriteria yang ditetapkan, katanya pada sidang media selepas pelancaran program TERAS di Kuala Lumpur, semalam.


Pelancarannya disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Hadir sama, Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd, Tan Sri Azman Mokhtar dan Ketua Eksekutif SME Corporation Malaysia, Datuk Hafsah Hashim.

Peserta program TERAS akan meraih manfaat menerusi peluang disediakan dalam jalinan rangkaian dan perkhidmatan profesional serta rundingan perniagaan dari segi pengurusan kewangan, rancangan perniagaan, struktur korporat dan pemasaran.

Ini disediakan menerusi kerjasama TERAJU dengan enam agensi lain iaitu Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB), Majlis Amanah Rakyat (MARA), Malaysian Venture Capital Management Bhd (MAVCAP), Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC), PROKHAS dan SME Bank.

Husni berkata, pemilihan PKS Bumiputera untuk program TERAS akan dinilai menerusi beberapa syarat antaranya syarikat berkenaan tidak hanya bergantung kepada kontrak kerajaan, memiliki penarafan minimum tiga bintang Rating Daya Saing PKS (SCORE) serta mempunyai kedudukan kredit yang baik menerusi penilaian Biro Kredit Malaysia.

Tambahnya, syarikat terbabit juga perlu menunjukkan potensi untuk menjadi sebuah entiti perniagaan yang menguntungkan dan boleh berkembang.

Beliau menegaskan, pemilihan PKS Bumiputera ke dalam program itu akan dibuat Lembaga Pemilihan yang dipengerusikan TERAJU yang mana sebuah firma audit bebas akan dilantik untuk mengawasi keseluruhan proses pemilihan.

Berita disunting daripada Berita Harian

No comments:

Post a Comment