Tuesday, August 9, 2011

MISI UNAMID KE DARFUR


KUALA LUMPUR 9 Ogos - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menghantar semula pegawai dan anggotanya menyertai misi keamanan Kesatuan Afrika-Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unamid) ke Darfur, Sudan setelah tujuh bulan ketiadaan anggota pasukan keselamatan itu di negara berkenaan.

Timbalan Pengarah Pengurusan (Latihan), Bahagian Latihan, Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk Abd. Rahim Hanafi berkata, pada tahun lalu, PDRM telah menghantar 17 pegawai dan anggota menyertai Unamid, namun semua mereka selamat pulang ke tanah air pada Januari lalu iaitu selepas setahun bertugas di wilayah bergolak itu.

Beliau berkata, pasukan yang pulang sebelum ini akan diganti oleh 17 pegawai dan anggota PDRM lain yang turut akan bertugas selama setahun di negara tersebut.

"Seramai 17 pegawai dan anggota terbabit berlepas ke Sudan menaiki pesawat Qatar Airlines dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 10 pagi ini.

"Pasukan yang terdiri daripada tujuh pegawai dan 10 anggota itu diketuai oleh Deputi Supritendan Munsang Sabai yang sebelum ini bertugas di Pasukan Gerakan Marin, Kota Kinabalu, Sabah," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Abd. Rahim sebelum itu, turut hadir di KLIA untuk mengucapkan selamat jalan, di samping memberi kata-kata nasihat dan semangat kepada kumpulan berkenaan.

Menurut Abd. Rahim, penghantaran pasukan pengganti ke Darfur menghadapi sedikit kelewatan kerana perlu menunggu kelulusan visa dari pejabat kerajaan Sudan di Khartoum.

Beliau berkata, meskipun berlepas dan bertugas ke Darfur pada bulan Ramadan, ia tidak memberi masalah kepada para pegawai dan anggota terlibat khususnya yang beragama Islam kerana mereka sudah membuat persediaan untuk menyertai misi berkenaan.

"Sebelum berlepas ke Darfur, mereka terlebih dahulu menjalani latihan sebagai persediaan kira-kira tiga minggu di Pusat Latihan Pasukan Gerakan Am (PGA), Ulu Kinta di Perak.

"Saya yakin latihan tersebut mampu membantu mereka menjalankan tugas dengan baik semasa berada di Darfur nanti," katanya.

Beliau memberitahu, kehadiran anggota PDRM memang diperlukan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di wilayah yang bergolak itu.

Menurutnya, kelebihan pegawai dan anggota PDRM ialah mereka berasal dari Malaysia yang rakyatnya terdiri daripada pelbagai kaum.

"Pengalaman itu amat diperlukan untuk jalankan tugas sebagai penasihat kepada pihak keselamatan di negara yang penduduknya majoriti beragama Islam tetapi mempunyai konflik antara etnik," katanya.

No comments:

Post a Comment