Monday, August 1, 2011

TIGA LAGI GLC KE BURSA MALAYSIA


bursaTIGA lagi syarikat milik kerajaan akan disenaraikan di Bursa Malaysia sebelum akhir tahun depan.

Ia adalah antara langkah yang akan diambil kerajaan dalam pelaksanaan Inisiatif Pembaharuan Strategik (SRI) yang dilancarkan semalam.

SRI adalah hasil daripada cadangan Program Transformasi Ekonomi yang antara lain menyarankan kerajaan menyusun semula pembabitannya dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bertujuan meningkatkan lagi kecairan di pasaran saham tempatan, selain memperbaiki kedudukan fiskalnya.

Penyusunan itu juga bermatlamat menyediakan lebih banyak peluang untuk pelabur tempatan dan antarabangsa meraih manfaat daripada pelaburan dalam syarikat berkenaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Ketua Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU), Datuk Seri Idris Jala, berkata dalam usaha menyusun semula pembabitan kerajaan dalam GLC di bawah SRI itu, sejumlah 33 GLC dikenal pasti.

Beliau berkata, Kerajaan akan mempercepatkan pengurangan atau pelupusan pegangannya dalam 33 GLC berkenaan. Bagi tujuan itu, tiga opsyen akan digunakan iaitu mengurangkan kepentingan, penyenaraian atau penjualan secara terus pegangan ekuiti kerajaan kepada pembida yang layak.

Katanya pada sidang media selepas pelancaran SRI di Kuala Lumpur semalam.

Idris berkata, daripada 33 GLC yang sudah dikenal pasti itu, lima akan menyaksikan pengurangan pegangannya oleh kerajaan, tujuh syarikat pula akan disenaraikan, manakala 21 lagi akan dijual secara terus menerusi proses bidaan.

Sebanyak 24 daripada syarikat itu akan menjalani proses yang sudah dikenal pasti untuk mereka itu sebelum akhir tahun depan.

Beliau menambah, MSM Malaysia Holdings Bhd yang senaraikan baru-baru ini adalah empat daripada tujuh syarikat yang dikenal pasti untuk penyenaraian, dengan tiga lagi akan disenaraikan sebelum akhir 2012.

Idris menjelaskan, bagi memudahkan setiap proses pengurangan pegangan kerajaan dalam GLC yang terbabit, kerajaan akan menetapkan paras harga sasaran minimum dan maksimum.

Paras harga ini akan ditetapkan dalam setiap proses pelupusan atau pengurangan kepentingan kerajaan dalam GLC berkenaan.

Idris berkata, ketika ini syarikat yang sudah dikenal pasti itu berada dalam pelbagai peringkat persiapan untuk pengurangan pegangannya oleh kerajaan. Disebabkan setiap syarikat berada dalam situasi berbeza, pengumuman akan dibuat dalam tempoh tertentu oleh pihak pengurusan masing-masing.

Idris berkata, hasil yang diraih kerajaan daripada pengurangan atau pelupusan pegangan dalam GLC berkenaan akan disalurkan ke dalam Akaun Pelepasan Hak Kerajaan Persekutuan atau Akaun Negeri bagi kegunaan tertentu.

Antara lain hasil itu akan digunakan untuk tujuan menampung defisit negara, melabur dalam dana sedia ada, serta untuk kegunaan dana pemudah cara untuk perniagaan.

Berita disunting daripada Berita Harian

No comments:

Post a Comment