KUALA LUMPUR 8 Ogos - Malaysia menggesa negara-negara yang terlibat dalam tuntutan ke atas wilayah maritim di Laut China Selatan menyelesaikan isu itu melalui kaedah diplomatik dan bukannya secara ketenteraan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, negara berkenaan khususnya China yang bertindak menempatkan pasukan keselamatan di wilayah berkenaan perlu melihat bahawa penyelesaian diplomatik mampu memastikan segala tuntutan berlangsung dengan aman.
Atas dasar itu, menurutnya, Malaysia serta negara-negara yang akan menyertai Persidangan Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN di Bali, Indonesia pada Oktober ini perlu menjadikan persidangan itu sebagai platform dalam mencari kaedah penyelesaian terbaik termasuk menolak aktiviti ketenteraan.
''Kerajaan juga yakin bahawa cadangan kita untuk mewujudkan jentera kegunaan khas (SPV) sebagai organisasi perniagaan dalam berkongsi sumber alam di Laut China Selatan dapat direalisasikan dengan mencadangkan agar diadakan perbincangan pelbagai hala, bukan dua hala.
''Segala sumber alam yang ada termasuk hidrokarbon yang dijangka berjumlah 300 bilion tong serta 600 bilion meter kubik gas asli dapat dimanfaatkan oleh masyarakat serantau dan bukan jadi kawasan konflik.
''Perkara-perkara ini akan kita bincangkan dalam persidangan itu melalui perspektif ketenteraan kerana ia membabitkan kapal-kapal tentera laut yang terlibat dengan operasi di kawasan yang menjadi tuntutan bertindih,'' katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menerima kunjungan hormat 10 Duta Besar dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia yang baru di Wisma Pertahanan di sini, hari ini.
Ahmad Zahid berkata, pihaknya tidak terkecuali memantau pergerakan ketenteraan negara-negara yang terlibat dalam tuntutan wilayah maritim terutamanya kepulauan Spratly yang menjadi pertikaian Brunei, China, Filipina, Taiwan, Vietnam termasuk Malaysia.
''Ini lebih-lebih lagi dengan tindakan China yang memperlihatkan keberadaan mereka (tentera) di sana. Kita yakin China tak akan melakukan pencerobohan dan diharap agar tidak berlaku tindak balas terhadap tindakan China itu,'' jelasnya.
No comments:
Post a Comment